GANDINAGAR - Sekurang-kurangnya 141 orang terbunuh di negeri Gujarat, barat India selepas jambatan pejalan kaki era kolonial tiba-tiba runtuh pada Ahad. Kejadian tersebut mengakibatkan orang ramai terhumban ke dalam sungai selepas kabel... Klik di sini untuk terus membaca

GANDINAGAR - Sekurang-kurangnya 141 orang terbunuh di negeri Gujarat, barat India selepas jambatan pejalan kaki era kolonial tiba-tiba runtuh pada Ahad.

Kejadian tersebut mengakibatkan orang ramai terhumban ke dalam sungai selepas kabel penyokong kepada jambatan gantung berusia 142 tahun itu terputus.

Menurut pihak berkuasa, hampir 500 orang termasuk wanita dan kanak-kanak berada di atas struktur berkenaan semasa kejadian berlaku di Morbi.

Media tempatan melaporkan kejadian itu berlaku pada jam 6.40 petang (waktu tempatan) ketika orang ramai melakukan ritual keagamaan sempena perayaan Diwali.

"Jumlah korban mungkin akan meningkat apabila operasi SAR (mencari dan menyelamat) diteruskan,” kata ketua polis di Morbi, P Dekavadiya.

Beliau berkata, dalam tempoh 24 jam lalu, hampir 200 mangsa berjaya diselamatkan, manakala puluhan lagi masih hilang.

Jambatan di Sungai Machchhu sekitar 200 kilometer (km) di barat bandar utama Gujarat, Ahmedabad dibuka semula kepada orang ramai minggu lalu selepas ditutup selama tujuh bulan untuk pengubahsuaian.

Lintasan era kolonial yang dikenali sebagai Julto Pool sepanjang 230 meter (m) itu dibina semasa pemerintahan British pada 1880 dan ia merupakan tarikan pelancong yang popular di kawasan tersebut.

Setakat ini punca jambatan runtuh belum diketahui tetapi pihak berkuasa tempatan tidak menolak tragedi itu berlaku akibat kesesakan kerana cuti umum.

Setakat ini 141 orang disahkan meninggal dunia, manakala puluhan lagi hilang dalam kejadian jambatan gantung runtuh di Sungai Machchhu.

Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan jambatan gantung berkenaan sesak pada siang hari dengan pejalan kaki.Pihak berkuasa juga menghentikan aliran air dari empangan berdekatan, sekali gus melancarkan operasi SAR susulan paras air berkurangan.

Saksi dakwa pengunjung sengaja goyang jambatan

Sementara itu, saksi terselamat mendakwa beberapa pengunjung yang berada di atas struktur berkenaan sengaja menggoyang jambatan gantung tersebut.

"Saya menyedari beberapa remaja bergurau sesama mereka apabila bertindak melompat dan mengenjut sehingga menyebabkan jambatan gantung itu bergoyang.

"Malah, ada beberapa pengunjung kelihatan sukar berjalan selepas struktur tersebut mula terhuyung-hayang.

"Perbuatan remaja tersebut boleh mendatangkan bahaya, jadi saya ambil keputusan untuk membawa ahli keluarga turun daripada jambatan kerana bimbang perkara buruk berlaku,” kata Vijay Goswami dari Ahmedabad.

Tambah Goswami, dia turut memaklumkan perbuatan remaja tersebut kepada petugas yang mengawal akses ke jambatan gantung berkenaan, namun aduannya tidak dipedulikan.

"Petugas hanya mahu kaut untung. Mereka menjual tiket tanpa mengehadkan jumlah orang ramai di atas jambatan,” ujarnya.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan detik-detik terakhir sebelum jambatan gantung di Morbi runtuh.

Gujarat tubuh jawatankuasa khas siasatan

Kerajaan tempatan Gujarat pada Isnin menubuhkan jawatankuasa lima anggota terdiri daripada penjawat awam dan pegawai tertinggi polis untuk menyiasat insiden jambatan gantung runtuh di Morbi.

Menteri Dalam Negeri Gujarat, Harsh Sanghavi berkata, antara ahli dalam panel siasatan tersebut termasuk Setiausaha Jalan dan Bangunan, Sandeep Vasava; Pesuruhjaya Pentadbiran Perbandaran, Rajkumar Beniwal dan Ketua Siasatan Jenayah, Subhash Trivedi.

Tambahnya, siasatan akan dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat kecuaian manusia yang menyumbang kepada tragedi tersebut.

"Insiden di Sungai Machchhu telah difailkan sebagai kes jenayah di bawah peruntukan Kanun Keseksaan India termasuk Seksyen 304 iaitu membunuh dan Seksyen 308 iaitu perbuatan sengaja menyebabkan kematian,” kata Sanghavi.

Pada Isnin, operasi SAR disambung bagi mengesan mangsa yang masih hilang. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca