BENCANA alam tidak boleh dipandang ringan kerana boleh berlaku pada bila-bila masa dan secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran. Perubahan iklim membawa mesej jelas untuk semua pihak bersedia berhadapan dengan peningkatan pelbagai... Klik di sini untuk terus membaca

BENCANA alam tidak boleh dipandang ringan kerana boleh berlaku pada bila-bila masa dan secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran. Perubahan iklim membawa mesej jelas untuk semua pihak bersedia berhadapan dengan peningkatan pelbagai bencana.

Malaysia turut terdedah kepada pelbagai bencana merangkumi banjir, tanah runtuh, aliran puing dan ribut tropika.

Bencana menyebabkan gangguan kepada aktiviti masyarakat dan urusan negara kerana ia melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, kerugian ekonomi dan kemusnahan alam sekitar yang melangkaui kemampuan masyarakat untuk mengatasinya.

Natijahnya, kekerapan bencana seperti banjir telah mengundang rasa trauma dalam kalangan penduduk kerana terpaksa melalui keperitan, kepenatan dan ketakutan yang melampau.

Bencana alam dijangka bertambah kerap dan lebih serius akibat perubahan iklim. Dalam beberapa dekad akan datang, trend peningkatan cuaca ekstrem ini akan berterusan, bukan hanya hujan lebat tetapi keadaan kering dan kemarau disebabkan perubahan iklim.

Peningkatan suhu dunia akan menyebabkan peningkatan kelembapan di atmosfera yang akhirnya turun menjadi hujan ekstrem.

Di Malaysia, episod banjir termasuk banjir kilat semakin kerap dilaporkan.

Banjir di Lembah Klang merupakan paling ketara kerana lazimnya kawasan itu tidak mengalami bencana berkenaan akibat monsun seperti kawasan Pantai Timur.

Banjir di Malaysia pada Disember 2021 merupakan antara kejadian banjir terburuk melanda Semenanjung Malaysia sehingga menyebabkan puluhan ribu orang awam terpaksa dipindahkan. Ini berlaku susulan hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia.

Episod kejadian tanah runtuh turut direkodkan semakin kerap berlaku terutama dengan peningkatan penerimaan jumlah hujan lebat berpanjangan. Antaranya, kejadian tanah runtuh Cameron Highlands di kampung Orang Asli Sungai Ruil, Brinchang pada tahun 2011 berpunca daripada hujan lebat selama satu jam tanpa henti. Enam buah rumah Orang Asli suku Semai tertimbus dan tiga rumah lagi terbenam, manakala tujuh mangsa maut dan tiga parah.

Kejadian siklon tropika dan puting beliung amat jarang melanda Malaysia. Namun pada 2010, puting beliung pernah melanda beberapa negeri di Semenanjung melibatkan Pulau Pinang, Perlis dan Selangor. Bagaimanapun, pada 31 Oktober 2016, puting beliung yang melalui Kampung Sungai Bharu dan pinggir bandar Mergong, Alor Setar, Kedah merosakkan 57 buah rumah.

Seterusnya, kejadian ribut tropika Greg yang membadai Sabah pada 26 Disember 1996 mengorbankan 238 nyawa, 102 orang lagi dilaporkan hilang dengan anggaran kerugian melebihi RM130 juta.

Lebih membimbangkan, berdasarkan data MetMalaysia dan IRIS, lebih 60 gempa bumi direkodkan di Semenanjung Malaysia sejak tahun 1970.

Namun, kebanyakan gempa bumi yang direkodkan berlaku selepas 2006 berikutan gempa bumi besar pada 2004 di Sumatera yang telah mengaktifkan semula sesar utama di Semenanjung Malaysia seperti Sesar Bukit Tinggi, Sesar Lepar dan zon Sesar Seremban.

Ia mengakibatkan beberapa siri gempa bumi bermagnitud lemah di Bukit Tinggi, Jerantut, Manjung dan Kuala Pilah yang lazimnya tidak menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan teruk.

Pada tahun 2015, kejadian gempa bumi telah menggegarkan Ranau, Sabah yang mengakibatkan kejadian tanah runtuh dan aliran puing yang mengorbankan 18 pendaki selain pelbagai kerosakan harta benda.

Hakikatnya, kegagalan kita menguruskan alam secara lestari menyebabkan berlaku bencana alam. Justeru, pelan perancangan jangka masa pendek dan panjang perlu dilakukan supaya bencana tidak memberi impak besar kepada negara dan rakyat.

Kelestarian alam sekitar perlu dijadikan fokus utama negara untuk menghadapi peningkatan dan keseriusan pelbagai bencana dalam tempoh jangka masa panjang.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca