PENGARAH Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Parlimen Shah Alam yang diterajui selama tiga penggal selepas disahkan bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Pada PRU14 lalu, Khalid menang dengan 55,949 undi meninggalkan calon dari BN, Datuk Azhari Shaari yang mendapat 22,100, manakala calon Pas, Dr Mohd Zuhdi Marsuki dengan 15,194 undi.
Ikuti temu bual wartawan Sinar Premium, Nurul Nabila Ahmad Halimy bersama Khalid bagi menjawab persoalan mengapa beliau memilih bertanding di Parlimen Titiwangsa dan persediaannya bertanding di kerusi panas berkenaan yang dijangka ditandingi Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
SINAR PREMIUM: Apakah yang menjadi faktor utama mendorong YB untuk bertanding di Titiwangsa selepas tiga penggal kekal di Parlimen Shah Alam?
KHALID: Saya sudah memegang Shah Alam selama tiga penggal berturut-turut.
Bagi Amanah (Parti Amanah Negara), kami tidak mahu memegang kawasan itu terlalu lama dan menyerahkan tugas kepada pelapis baharu untuk mengambil alih. Manakala, mereka yang sudah ada nama akan cuba untuk dicalonkan ke kawasan baharu.
Tujuan saya ke Titiwangsa kerana masyarakat sudah tahu siapa Khalid Samad dan saya diberitahu, ada peluang untuk menang di sana. Jadi tidak salah untuk mencuba.
Oleh itu, saya menyerahkan kerusi Parlimen Shah Alam kepada Azli Yusof yang merupakan Ketua Kawasan Amanah Shah Alam.
Azli telah bersama saya sejak tahun 2008 dan pernah menjadi Ahli Majlis, Yang Dipertua Pas Shah Alam serta setiausaha politik saya.
Saya pasti warga Shah Alam sudah mengenalinya kerana dia banyak terlibat dengan parti.
SINAR PREMIUM: Ada yang mendakwa sekiranya calon berpindah Parlimen, ini bermaksud beliau tidak memberi khidmat yang terbaik untuk masyarakat di sana. Apa komen YB?
KHALID: Tiga penggal sudah cukup membuktikan bahawa masyarakat di Shah Alam memilih saya. Malah, kerana kepercayaan yang diberi oleh warga Shah Alam, majoriti undi saya bertambah sejak pertama kali bertanding.
Oleh itu, saya bertukar angin bukan kerana tidak cukup berkhidmat tetapi sudah tiba masanya untuk beralih ke kawasan baharu untuk membantu masyarakat di sana.
Selain itu, Amanah juga boleh menambah Parlimennya.
SINAR PREMIUM: Persaingan di Parlimen Titiwangsa sangat sengit kerana bakal menyaksikan pertembungan pimpinan utama parti antara Amanah dan BN. Adakah YB yakin boleh menang di sana?
KHALID: Saya akui persaingan memang sengit namun saya sentiasa bersedia dan berharap pengundi Titiwangsa boleh terima saya sebagai wakil mereka dengan melihat prestasi saya semasa mewakili Parlimen Shah Alam.
Sebagai bekas Menteri Wilayah Persekutuan, saya berusaha membangunkan Kampong Bharu serta memberi harga yang jauh lebih baik daripada apa yang ditawarkan kepada mereka sekarang ini, selain terlibat dengan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Sebelum ini, Johari menyatakan kesediaannya merampas kembali kawasan berkenaan walaupun tewas pada PRU lepas. Adakah YB merasa tercabar?
Johari juga mempunyai kelebihan kerana sudah lama memegang kawasan itu, namun kekalahan beliau dengan Datuk Seri Rina Harun pada PRU lalu menunjukkan dirinya tidak kebal.
Walhal, Rina yang kurang dikenali itu berjaya memenangi majoriti pada PRU14.
Oleh itu, sebagai seorang yang sudah mempunyai reputasi tersendiri, tidak mustahil warga Titiwangsa mengundi saya dan menolak Johari.
SINAR PREMIUM: Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang juga abang kepada YB mengesahkan tidak akan bertanding pada PRU15 tetapi tetap mengetuai jentera pilihan raya BN. Adakah YB akan mengikut jejak langkah abang untuk bersara selepas PRU ini atau perjalanan politik YB masih panjang?
KHALID: Sejujurnya saya sudah lama berada dalam dunia politik.
Jadi tidak ada masalah untuk saya pencen. Ia bukan suatu perkara yang berat dan saya sanggup untuk pencen pada bila-bila masa.
Malah, apabila saya menyerahkan Parlimen Shah Alam kepada pelapis dan nama saya tidak dipetik untuk bertanding di mana-mana kawasan, saya mungkin sudah pencen.
Untuk masa hadapan, saya ingin melihat keadaan politik semasa terlebih dahulu. Sekiranya saya masih sihat dan parti memerlukan khidmat untuk diturunkan sebagai calon, saya akan pertimbangkannya.
SINAR PREMIUM: Apa cabaran Amanah untuk PRU kali ini dan harapan YB sebagai calon?
KHALID: Bagi Amanah, kerusi Titiwangsa ini penting kerana ia merupakan satu-satunya kerusi di Kuala Lumpur bagi parti Amanah.
Dahulu, kami sudah menyerahkan kerusi Titiwangsa kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kini, ia dikembalikan kepada kami.
Hatta, cabaran Amanah adalah untuk menang 54 kerusi yang dipertandingkan kepada parti.
Terdahulu kami berjaya merangkul sebanyak 11 kerusi dan kini sasaran Amanah adalah sekurang-kurangnya 30 kerusi untuk PRU15.
Klik di sini untuk terus membaca