MINGGU lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menerima lebih 900 aset pelbagai jenis yang disumbangkan Amerika Syarikat (AS).... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menerima lebih 900 aset pelbagai jenis yang disumbangkan Amerika Syarikat (AS).

Antara aset-aset bakal diterima merangkumi Glock 17 Gen 4, M4 Carbine, jaket kalis peluru, spotter scope dan sistem radio peribadi. Selain ‘perolehan percuma’, Kementerian Pertahanan melalui perbincangan berterusan dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikatakan telah dan akan melaksanakan perolehan aset baharu pelbagai jenis dalam masa terdekat.

Pemberian melibatkan kira-kira 900 peralatan dan kelengkapan ini sememangnya diterima dengan tangan terbuka oleh Paskal, berkemungkinan bagi menampung pelbagai keperluan yang tidak dapat diatasi, walaupun Kementerian Pertahanan pada bajet untuk 2022 telah memberi peruntukan khas kepada unit tersebut.

Dalam Bajet 2022, RM14 juta telah dikhaskan bagi menggantikan peralatan utama Paskal dan Pasukan Khas Udara (Paskau) seperti payung terjun dan alat selam litar tertutup, dua peralatan yang kini bakal diberikan percuma oleh AS.

Sejak 2018 sehingga tahun ini, AS telah membelanjakan kira-kira RM1 bilion dengan pelbagai bantuan berupa aset dan perkhidmatan. Antara aset yang terlibat ialah tiga pesawat PTDI CN-235 yang diubah suai dan 12 dron ScanEagles. Kedua-dua jenis aset bakal digunakan bagi tujuan rondaan dan pengawasan kawasan maritim negara.

Bantuan yang diberikan AS terhadap Paskal merupakan satu strategi yang kini giat dilaksanakan negara tersebut untuk mengimbangi pengaruh China terhadap Malaysia di kawasan perairan Laut China Selatan.

Dalam usaha Malaysia memperkukuhkan benteng pertahanan maritimnya, perolehan aset melalui pemberian secara percuma sememangnya salah satu cabang strategi geopolitik negara kuasa dunia terhadap negara lain.

Ini dilakukan demi memastikan pengaruh serta pergantungan negara penerima terhadap aset dan kelengkapan ketenteraan menjadi jaminan terhadap sokongan negara tersebut kepada mereka di lapangan konflik mahupun di arena politik antarabangsa pada masa hadapan.

Walau apa pun tujuan sebenar perolehan percuma AS kepada TLDM, khususnya Paskal, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ini tindak balas terhadap perkembangan hubungan ketenteraan antara seteru utamanya di rantau ini iaitu China dengan Kementerian Pertahanan Malaysia antara tahun 2015 dan 2018.

Pada tahun 2015, buat pertama kalinya satu latihan fizikal dikenali sebagai Aman-Youyi 2015 dilaksanakan melibatkan 2,200 anggota daripada kedua-dua negara. Seramai 1,160 pegawai dan anggota pasukan tentera China (PLA) dari cabang darat, laut dan udara telah terlibat.

Setahun sebelumnya, latihan sama telah dikendalikan tapi hanya melibatkan latihan simulasi bukan fizikal atau ‘Table-top’. Latihan selama enam hari itu diadakan di Selat Melaka dan merupakan latihan ketenteraan terbesar antara kedua-dua negara.

Aman-Youyi 2016 pula melibatkan 600 anggota tentera China dan ia memberi fokus kepada latihan peperangan di daratan, ikhtiar hidup, penjejakan serta tempur di kawasan penempatan.

Pada 2018, latihan Aman-Youyi 2018 pula berlangsung selama lapan hari dengan 1,300 pegawai dan anggota tentera China. Latihan ini melibatkan elemen operasi maritim serta darat. Walaupun berlaku perubahan tampuk pemerintahan di negara ini, latihan tersebut terus dilaksanakan bagi menghormati perjanjian yang telah dipersetujui kerajaan terdahulu.

Selain itu, lawatan ke negara ini oleh pegawai kanan China seperti Xu Qiliang yang mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada Menteri Pertahanan dan Fang Fenghui, Ketua Staf PLA selain persetujuan negara untuk memperoleh kapal ronda dari China telah mencemaskan pemikir-pemikir geostrategi AS.

Kini Amerika Syarikat dilihat mahu merapatkan jurang keakraban pengaruh ketenteraannya dengan negara ini.

Walau apa pun, kepimpinan negara yang bakal dilantik melalui pilihan raya dalam tempoh terdekat perlu membuat rumusan lebih praktikal, pragmatik dan berada di landasan telah ditetapkan Dasar Pertahanan Negara mengenai kepada siapa pergantungan pertahanan negara perlu disandarkan.

Kita jangan terlalu ghairah dengan pergantungan kepada ‘sisa-sisa’ atau lebihan kelengkapan yang tidak lagi mahu diguna pakai angkatan tentera negara kuasa dunia.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca