SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sedia maklum bahawa dalam pilihan raya, tidak semua orang akan dicalonkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Presiden Bersatu itu berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sedia maklum bahawa dalam pilihan raya, tidak semua orang akan dicalonkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, bukan Mohd Rafiq seorang sahaja yang kecewa tidak dicalonkan tetapi ramai berasakan sedemikian.

"Tapi sebahagian besar masih berpegang teguh kepada kedudukan mereka dalam Bersatu.

"Yang saya dengar di bahagian Tangga Batu, selain daripada dia, yang lain itu masih kekal berada di situ,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Rafiq sebelum ini dilapor mengumumkan keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta pada Ahad.

Pengumuman peletakan jawatan itu susulan beliau tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Tangga Batu, Melaka walaupun sudah enam tahun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.

Tambah Muhyiddin, tindakan Mohd Rafiq yang keluar parti itu tidak memberi kesan kepada Bersatu di Tangga Batu.

"Kita serah kepada dia dan ucap terima kasih atas segala sumbangan yang telah dibuat sewaktu menjadi ahli Bersatu,” ujarnya.

Laporan Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, calon-calon gabungan itu yang akan diumumkan pada hari ini terdiri daripada tokoh-tokoh sedia ada selain muka-muka baharu berkelayakan tinggi.

"Sebahagian besarnya merupakan tokoh-tokoh terbaik,” katanya.

Pertandingan banyak penjuru di Pagoh bukan luar biasa

Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan pertandingan banyak penjuru di Parlimen Pagoh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini bukan perkara luar biasa.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, ketika pilihan raya sebelum ini juga beliau berhadapan dengan banyak penjuru di kawasan berkenaan.

"Ini bukan luar biasa. Saya sudah berada di sana hampir lebih 40 tahun. Saya fikir orang di Pagoh sudah biasa dan mesra dengan saya.

"Saya sudah beri perkhidmatan terbaik sampai ke taraf menyediakan segala bentuk kemudahan termasuk universiti, sekolah, bantuan kepada semua bangsa dan kaum,” katanya.

Dalam PRU14 lalu, Muhyiddin memperoleh majoriti 6,927 undi menewaskan calon BN, Ismail Mohamed dan calon Pas, Ahmad Nawfal Mahfodz.

Dijangkakan dalam PRU15 kali ini, Muhyiddin bakal berdepan sekurang-sekurangnya empat penjuru di Pagoh.

Beliau turut melahirkan keyakinan mampu menguruskan kawasan Pagoh dan mengharapkan sokongan itu berkekalan.

"Mereka kata nak lawan saya, saya alu-alukan kerana kita mengamalkan demokrasi. Rakyat yang akan memutuskan apa sahaja mereka nak di kawasan Pagoh,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca