KUALA LUMPUR - Pengumuman calon BN pada Selasa di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menyaksikan berakhirnya legasi Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Tun Hussein di Parlimen Pekan.
Bagi Parlimen Pekan, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Seri Sheikh Mohamad Puzi Sheikh Ali diangkat sebagai calon parti itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengumuman Ahmad Zahid itu sekaligus menafikan segala spekulasi yang mana sebelum ini kerusi Parlimen Pekan, disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diwakili oleh anaknya, Datuk Mohd Nizar atau Nooryana Najwa.
Najib sebelum ini mempertahankan kerusi Parlimen Pekan sejak usia 23 tahun selepas kematian mengejut bapanya pada 14 Januari 1976.
Bagaimanapun pada PRU15 ini, Najib hilang kelayakan bertanding kerana sedang berdepan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
UMNO Bahagian Pekan sebelum ini mengesahkan tiada nama anak Najib dihantar untuk dipilih sebagai calon kerusi Parlimen Pekan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly mengesahkan daripada lima nama yang dihantar kepada pusat untuk memilih calon, tiada nama anak bekas Perdana Menteri ketujuh itu.
Zamri menjelaskan sebaliknya kerusi Pekan akan dipulangkan semula kepada Najib selepas mendapat pengampunan.
"Sesiapa yang dipilih bertanding di situ nanti akan menyerahkan kembali kerusi Parlimen Pekan kepada Datuk Seri Najib selepas mendapat pengampunan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca