SHAH ALAM - Tengku Razaleigh Hamzah pada usia 85 tahun menjadi satu-satunya pemimpin BN dinamakan sebagai calon terus-menerus sejak 1986 untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Tengku Razaleigh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tengku Razaleigh Hamzah pada usia 85 tahun menjadi satu-satunya pemimpin BN dinamakan sebagai calon terus-menerus sejak 1986 untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tengku Razaleigh sebelum itu merupakan Ahli Parlimen Ulu Kelantan sejak 1974 sebelum kawasan bertukar nama kepada Parlimen Gua Musang pada tahun 1986.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan nama Tengku Razaleigh dalam majlis pengumuman calon parti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.

Tengku Razaleigh juga merupakan wakil rakyat yang paling lama berkhidmat di negara ini iaitu sejak tahun 1969 dengan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Kelantan Barat.

Tengku Razaleigh yang merupakan putera raja dari Kelantan dan juga bapa saudara kepada Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dilahirkan pada 13 April 1937.

Menyingkap perjalanan karier politiknya, Tengku Razaleigh mula mengabdikan diri bersama UMNO sejak tahun 1962 dan dilantik menjadi Ketua UMNO Bahagian Ulu Kelantan.

Tengku Razaleigh memegang portfolio Menteri Kewangan bermula 5 Mac 1976 hingga Julai 1984 dan seterusnya Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Ahmad Zahid mengumumkan Calon BN sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.

Episod suram Tengku Razaleigh bermula selepas kekalahannya merebut jawatan Presiden UMNO menentang Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 April 1987 di mana beliau tewas 43 undi sekaligus menyaksikan peralihan kerjaya politiknya.

Kekalahan itu menjadi pembuka jalan buat Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46, mengambil semangat penubuhan UMNO pada tahun 1946, bersama-sama beberapa pemimpin lain antaranya Tan Sri Dr Rais Yatim.

Bagaimanapun, beliau bersama Rais kembali semula bersama UMNO selepas Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996.

Selepas kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, Tengku Razaleigh membuat kemunculan semula dengan bertanding jawatan Presiden UMNO namun beliau tewas di tangan Ahmad Zahid.

Pada PRU15 ini, Tengku Razaleigh akan menentang calon Pakatan Harapan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Asharun Uji manakala Perikatan Nasional masih belum mengumumkan siapa yang bakal bertanding di Parlimen berkenaan.

BIODATA:

Tengku Razaleigh Hamzah Umur: 85 tahun

Tarikh lahir: 13 April 1937

Asal: Kota Bharu, Kelantan

Isteri: Allahyarham Cik Puan Sri Nur Yvonne Abdullah

Beliau merupakan anak kepada Menteri Besar Kelantan ke-11, Tengku Sri Maharaja Hamzah Tengku Raja Muda Tengku Long Zainal Abidin Pendidikan: 1959 – Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi Queen’s University of Belfast

POLITIK:

Sejak 1986 – Ahli Parlimen Gua Musang

1971 – Ahli Majlis Tertinggi UMNO

1973 – Bendahari UMNO

1975 – Naib Presiden UMNO

1988 – Presiden Parti Melayu Semangat 46

1996 – Kembali sertai UMNO

2018 – Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO

KERAJAAN:

1976 – Menteri Kewangan

1984 – Menteri Perdagangan dan Industri

Klik di sini untuk terus membaca