SHAH ALAM - Ketika ini koalisi parti politik mengambil pendekatan menggugurkan beberapa nama pemimpin 'heavyweight' atau muka lama sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ia dengan alasan mahu meremajakan parti supaya kekal relevan memancing pengundi muda daripada generasi Y dan Z.
Namun begitu, di sebalik yang berlaku dalam beberapa siri pengumuman calon parti-parti, timbul rasa tidak kepuasan hati melibatkan pemimpin yang tidak dicalonkan sehingga ada yang bertindak mahu memboikot dan akan bergerak solo sebagai calon Bebas.
Bahkan ada juga nama yang digugurkan, dikatakan tidak sehaluan dengan ketua parti tertentu walaupun menunjukkan prestasi cemerlang.
Sudah tentu kata Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, tindakan menggugurkan nama pemimpin heavyweight berkenaan hanya dilihat sebagai mahu 'mencuci' dan bukannya bertujuan untuk meremajakan parti.
"Tindakan menawarkan muka-muka baharu atas dasar meremajakan parti hanya sekadar alasan untuk menghalalkan ‘dendam mencuci parti’ dengan menggugurkan muka-muka lama (heavyweight) yang tidak sehaluan kepimpinan sesebuah parti,” ujarnya kepada Sinar Premium.
Ulas beliau, hal ini jelas kelihatan apabila terdapat pemimpin veteran dengan prestasi sekadar ‘cukup makan’ masih dikekalkan sebaliknya yang mempunyai prestasi membanggakan digugurkan.
"Inilah padah dalam politik apabila teraju sesebuah parti (presiden) berkuasa untuk mengekalkan atau menggugurkan seseorang,” katanya lagi.
Tambah Kok Seong, tindakan tidak menamakan atau menggugurkan pemimpin heavyweight yang berprestasi tinggi juga boleh dianggap helah untuk menamatkan kerjaya politik seorang pemimpin.
Dalam pada itu, Kok Seong turut mengakui corak pemilihan pengundi PRU15 pada 19 November depan akan dipengaruhi faktor calon atau pemimpin yang dipertandingkan oleh sesebuah parti.
"Pengundi dilihat cenderung memilih calon yang boleh memberi khidmat terbaik dan bukan sekadar parti mana yang diwakilinya.
"Sekiranya pemimpin heavyweight itu amat berpengaruh dan terbukti telah menjalankan tugas dengan baik kepada masyarakat namun tidak dicalonkan atau digugurkan pada saingan PRU15, maka tidak mustahil peluang untuk parti tersebut menang mungkin sekadar 50/50.
"Apatah lagi sekiranya pemimpin heavyweight yang digugurkan atau tidak dicalonkan pernah menang dalam PRU14 yang lalu, ini membuktikan mereka memang sepatutnya dikekalkan. Jasa mereka perlu dikenang dan bukannya dipinggirkan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca