SHAH ALAM - Parti politik diingatkan untuk tidak menawarkan manifesto bersifat keterlaluan sehingga dilihat terlalu populis menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Sebaliknya, setiap parti yang berusaha mendapatkan mandat dalam... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti politik diingatkan untuk tidak menawarkan manifesto bersifat keterlaluan sehingga dilihat terlalu populis menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, setiap parti yang berusaha mendapatkan mandat dalam pentadbiran pada pilihan raya kali ini perlu membawa sesuatu perkara lebih bersifat realistik dan menjamin kehidupan rakyat.

Pakar ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh para pemimpin dan calon politik adalah seperti isu gaji minimum rakyat.

Ujarnya, ramai isi rumah kini berpendapatan di bawah RM2,000 sedangkan kos sara hidup semakin tinggi.

"Itu antara yang dilihat boleh diusahakan dan diletakkan dalam manifesto pilihan raya oleh mana-mana parti.

"Walaupun nampak sukar, tapi ia boleh diusahakan memandangkan semenjak tujuh tahun lepas negara kita mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat. Namun 50 peratus daripada isi rumah di Malaysia tidak menikmati faedah tersebut,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Barjoyai juga menasihatkan supaya mana-mana pihak yang menjadi kerajaan selepas PRU15 ini supaya mewujudkan satu skim keselamatan yang bersifat menyeluruh.

Jelas beliau, skim keselamatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat masa sekarang, dilihat tidak menyeluruh dan hanya melindungi isi rumah bekerja.

"Kerajaan boleh usahakan satu skim berbentuk wakaf dengan membuat potongan melalui perbelanjaan harian serta dimasukkan dalam tabungan keselamatan.

"Saya bagi contoh, apabila seseorang individu membeli barang atas talian di mana-mana aplikasi atau e-dompet dengan harga RM10, melalui perbelanjaan itu kerajaan potong sebanyak RM1 dan simpan untuk persediaan kecemasan,” ulasnya.

Beliau juga menambah, kerajaan baharu nanti boleh memotong beberapa peratus daripada hasil perbadanan nasional seperti Petronas untuk disumbangkan ke dalam skim keselamatan rakyat.

"Contohnya, kerajaan boleh potong sebanyak 30 peratus daripada keuntungannya, jadi rakyat dapat menikmati sebahagian daripada keuntungan negara secara langsung,” katanya.

Tidak realistik

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, apa sahaja manifesto yang hendak dijalankan perlu mengambil kira kekuatan kewangan negara.

Ujar beliau, antara perkara yang tidak realistik untuk diletakkan dalam manifesto adalah seperti penghapusan tol.

"Ia amat sukar untuk dilaksanakan, tapi boleh cuba pada tol-tol tertentu kerana bergantung kepada kewangan ekonomi negara,” jelasnya.

Mohd Faisol tidak menolak wujudnya relevan di sebalik penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika hendak diusahakan.

"Ia boleh dihapus secara berperingkat dan diganti dengan skim biasiswa atau pinjaman boleh ubah,” simpul beliau.

Klik di sini untuk terus membaca