BEIJING - Pihak berkuasa China menutup pintu utama Shanghai Disney Resort berkuatkuasa serta merta dengan mengurung pengunjung di taman tema tersebut sehingga mereka disahkan negatif Covid-19. Tindakan tersebut dibuat selepas pihak Disney... Klik di sini untuk terus membaca

BEIJING - Pihak berkuasa China menutup pintu utama Shanghai Disney Resort berkuatkuasa serta merta dengan mengurung pengunjung di taman tema tersebut sehingga mereka disahkan negatif Covid-19.

Tindakan tersebut dibuat selepas pihak Disney menyatakan pusat tersebut ditutup sementara waktu yang bermula jam 11.39 pagi (waktu tempatan) 'mengikut keperluan pengawalan penyakit berjangkit'.

Video disiarkan dalam media sosial China, Weibo menunjukkan pengunjung berlari ke pintu pagar sejurus pengumuman itu sebelum mengetahui mereka telah dikurung dalam taman tema terbabit.

Kerajaan bandar yang mengeluarkan notis atas talian menyatakan bahawa pengunjung wajib melakukan ujian Covid-19 sehingga mendapat keputusan negatif sebelum dibenarkan keluar dari pusat hiburan itu.

Seorang wanita memakai pelitup muka semasa melancong di Bandar Disney di Shanghai. - AFP

Tambahnya, pengunjung yang memasuki taman tema sejak Khamis lalu, mesti mendapatkan tiga ujian negatif Covid-19 selama tiga hari berturut-turut dan mengelak daripada menyertai aktiviti berkumpulan.

Taman tema dan resort seluas 390 hektar meliputi Shanghai Disneyland, Disneytown dan Wishing Park. Pihak resort sebelum ini memberitahu bahawa mereka mengehadkan pengunjung akibat sekatan Covid-19.

Taman tema sama pernah ditutup selama dua hari pada penghujung November lalu dengan mengurung lebih 30,000 orang pengunjung selepas pihak berkuasa mengarahkan mereka menjalani ujian Covid-19.

"Pihak kami akan memaklumkan kepada tetamu sebaik sahaja kami mempunyai tarikh yang disahkan untuk menyambung semula operasi taman ini," kata Disney.

Pekerja kesihatan melakukan ujian Covid-19 di Shanghai. - AFP

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, China melaporkan 2,699 jangkitan Covid-19 pada Isnin termasuk 10 kes tanpa gejala di Shanghai.

Shanghai, sebuah bandar mega dan juga hab utama ekonomi kedua terbesar dunia bergelut penutupan premis perniagaan dan pusat hiburan selama berbulan-bulan sejak awal tahun ini akibat pandemik Covid-19.

Artis-artis persembahan memakai pakaian watak animasi sempena pembukaan taman tema Disney di Shanghai. - AFP

Ia ditambah polisi kerajaan yang terikat dengan dasar sifar Covid-19 sehingga menyebakan ujian besar-besaran dan tempoh kuarantin sangat lama sehingga mencetuskan kemarahan orang awam. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca