DALAM usahanya membangkitkan kesedaran orang Melayu terhadap kesan buruk Malayan Union, tokoh ulung Datuk Onn Jaafar berbasikal masuk kampung keluar kampung untuk berkempen.
SN Datuk Abdullah Hussain menerusi autobiografinya bertajuk Sebuah Perjalanan menceritakan bagaimana pada tahun 1930-an, ahli-ahli Persaudaraan Sahabat Pena (Paspam), sebuah pertubuhan sosial yang berasaskan seni dan sastera, tetapi pada masa sama menjadi pemangkin kepada peringkat awal kebangkitan nasionalisme Melayu, menggunakan majlis-majlis pertemuan, surat-menyurat serta penulisan di akhbar dan majalah sebagai medium berkempen bagi menyuburkan gerakan mereka.
Kira-kira 25 tahun lalu, saya berkenalan dengan seorang aktivis politik veteran yang terlibat dalam kempen pilihan raya umum pertama iaitu pada tahun 1959.
Masih terngiang-ngiang ceritanya mengenai kesukaran berkempen ketika itu. Naik bot, rakit, jip dan bukit menjadi sebahagian caranya.
Pernah dia dan rombongannya berjalan kaki berjam-jam untuk ke sebuah perkampungan di pedalaman Perak kerana tiada kenderaan yang boleh sampai ke situ disebabkan jalannya terlalu sempit dan becak. Di pertengahan jalan, hujan. Mereka terpaksa singgah menumpang di sebuah pondok dalam dusun durian dan meneruskan perjalanan hanya selepas hujan berhenti.
"Kami sampai setelah Maghrib. Ceramah yang dijadualkan pada sebelah petang terpaksa diadakan selepas Isyak. Di kampung itu tidak ada bekalan elektrik, satu-satunya lampu pam yang ada pula rosak, jadi berceramahlah kami bertemankan pelita minyak tanah.
"Kerana tiada pembesar suara, apabila hujan turun semula terpaksalah berhenti ceramah sebab suara masing-masing tidak cukup kuat untuk meningkah bunyi hujan. Malam itu kami tidur di surau dan esoknya baru ceramah disambung semula.”
Demikianlah gambaran jerih payah pada masa lalu. Semuanya kisah benar bukannya dibuat-buat sekadar sebagai ‘konten’ untuk Youtube atau TikTok.
Tetapi sesukar mana pun ia, atas nama perjuangan kerja-kerja kempen itu berjalan juga kerana kata orang, perjuangan itu ibarat percintaan, semakin perit semakin indah.
Politik saya bermula zaman negara mengalami transisi dari manual kepada automatik, dari keluarkan duit guna buku kepada ATM, dari mesin taip kepada komputer dan seterusnya.
Pun begitu saya sempat juga merasa pengalaman berkempen cara orang lama. Pernah beberapa kali masuk ke kampung-kampung yang tiada bekalan elektrik dengan mengusung bateri atau jenerator bagi kegunaan memasang lampu atau pembesar suara. Pernah juga saya berceramah di bawah cahaya lampu pam macam arwah aktivis yang saya ceritakan di atas.
Penyediaan bahan kempen pada masa dahulu juga bersifat manual. Risalah-risalah bertulisan tangan, atau yang ditaip atas kertas pendua sebelum ‘digelek’ dengan mesin 'cyclostyle' bagi menghasilkan salinannya, pengedaran bahan kempen dari tangan ke tangan atau dalam kes tertentu secara pos, mewarnakan setiap musim pilihan raya, mengiringi pemasangan sepanduk, bendera dan poster.
Waktu berkempen pada masa dahulu terbatas sehingga tengah malam sahaja. Yang sanggup berembun mungkin boleh memanjangkan tempohnya sejam dua lagi dengan berkempen di kedai kopi.
Tetapi bukan semua tempat ada kedai yang dibuka sehingga dinihari. Jadi, pada masa itu jika ada aktivis politik yang memberitahu dia berkempen sehingga ke pagi, dia layak dicurigai sebab selalu juga berlaku musim kempen menjadi musim orang pasang satu lagi.
Sekarang ini corak kempen banyak berubah. Walaupun kaedah-kaedah konvensional masih diguna pakai, namun dominasinya berkurangan. Ia diganti oleh kaedah-kaedah baharu yang lebih pantas, meluas dan berkesan. Kempen boleh dilakukan 24 jam sehari tanpa mengira di mana ada berada.
Yang penting ada peranti dan akses internet. Modalnya sekarang cuma bawa telefon atau tablet atau komputer riba, selain daripada pasukan yang menjadi jentera.
Tetapi setakat sekarang kehadiran di lapangan masih diperlukan. Tidak kira secanggih mana medium teknologi yang digunakan rakyat (baca: pengundi) masih mahu melihat wajah anda, masih mahu merasa sentuhan anda.
Bagaimanapun, tiga empat dekad lagi keadaan mungkin berbeza. Tiada lagi istilah turun padang, tiada lagi program-program kempen cara lama, tiada lagi poster, sepanduk dan bendera di dunia nyata. Semuanya dilakukan di dunia maya, di ruang siber.
Di situlah tempat pengundi dan calon berinteraksi. Bukan pelik kalau yang menjadi calon ketika itu bukan lagi manusia tetapi robot-robot dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Sebab itu kalau sekarang ini kita mendapat pemimpin yang ala-ala robot, jangan mengeluh. Biasa-biasakanlah diri sementara menanti kemunculan robot sebenar...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca