KRISIS kos sara hidup tinggi di London, United Kingdom (UK) memberi kesan kepada warganya sehingga ada di antara mereka yang tidak menjamah makanan selama beberapa hari berikutan harganya melonjak naik di pasaran.
"Ini (Bank Makanan) di London benar-benar telah menjadi penyelamat kepada saya," kata Michael Cox iaitu seorang lelaki berusia 51 tahun yang tidak makan dalam tempoh dua hari dan akhirnya memutuskan untuk melawat salah satu daripada bank makanan tersebut yang bilangannya semakin meningkat di Britain.
"Saya tidak mempunyai wang. Jadi, saya akan mencubanya (mengunjungi Bank Makanan)," kata Cox yang sebelum ini tidak pernah meminta bantuan untuk menyara diri tetapi kini terpaksa mendapatkan bantuan dari bank tersebut.
Beratus-ratus orang pada Isnin lalu beratur di hadapan Bank Makanan di Hackney, timur London bersama kupon bagi membolehkan mereka mengumpulkan bakul makanan untuk tiga hari kerana ia menyediakan barangan asas kepada mereka yang memerlukan.
Masing-masing menerima campuran barang makanan yang disesuaikan dengan keperluan dan saiz keluarga masing-nasing yang mana kebanyakannya adalah sumbangan daripada orang ramai di tengah-tangah kenaikan harga makanan dan tenaga serta lonjakan inflasi di UK.
Angka inflansi tersebut meningkat lebih 10 peratus pada bulan September iaitu yang tertinggi daripada mana-mana negara Kumpulan Tujuh (G7) yang dianggotai oleh tujuh buah negara kaya sekali gus memberikan lebih banyak tekanan pada belanjawan isi rumah di negara itu.
"Sekarang dengan krisis kos sara hidup, orang ramai tidak boleh membayar bil mereka dan membeli makanan. Mereka perlu memilih salah satu daripadanya. Kami semakin menyedari perkara itu," kata seorang penyelia Bank Makanan, Johan Ekelund seperti dilaporkan AFP.
Ekelund berkata, dia bimbang tentang kedatangan cuaca sejuk dan prospek bil pemanasan yang akan melangit secara tiba-tiba mula dihantar di depan pintu rumah orang ramai.
Perang di Ukraine yang berlaku selepas Rusia menyerang negara tersebut pada 24 Februari lalu memburukkan lagi keadaan dengan UK tidak lagi mengimport komoditi tenaga dari Moscow.
Sidoine Flore Feumba iaitu seorang jururawat siswazah yang menerima bantuan bayaran kebajikan kerajaan berkata, dia tidak lagi mampu untuk memberi makan kepada tiga orang anaknya dan 'memanaskan' rumahnya bagi mengelakkan mereka daripada kesejukan.
SUKAR
"Kehidupan sekarang agak sukar. Saya mendapat kredit sejagat yang tidak mencukupi untuk hidup saya sendiri kerana inflasi meningkat dengan cepat. Jadi, saya mendapati bahawa Bank Makanan adalah pilihan terakhir saya untuk memenuhi keperluan saya," katanya.
Pada Sabtu lalu, Bank Makanan di Hackney, London mencatatkan rekod bilangan pengunjung yang datang untuk mendapatkan bantuan dengan peningkatan permintaan kira-kira dua kali ganda berbanding tempoh sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Keadaan itu adalah sesuatu yang baharu, kata Tanya Whitfield iaitu Ketua Perkhidmatan Bank Makanan Hackney tetapi menjelaskan bahawa peningkatan pada waktu tertentu dalam kos-kos asas juga memburukkan lagi keadaan.
"Semua orang melihat pasta sebagai pilihan yang murah tetapi ia bukan lagi pilihan yang murah," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.
Bilangan pengunjung yang datang dan meminta makanan tanpa perlu mereka memasaknya adalah sesuatu yang mengejutkan dan jumlahnya meningkat pada setiap minggu, tambahnya.
Beliau berkata, satu lagi kesan daripada krisis kos sara hidup yang tinggi ialah orang kurang mempunyai wang untuk diberikan kepada orang lain pada tahun ini kerana pihaknya agak sibuk dengan kutipan dan sumbangan tuaian daripada sekolah-sekolah serta gereja-gereja ketika ini.
Namun, buat masa ini sekolah-sekolah lebih suka melangkau koleksi perayaan menuai kerana ramai ibu bapa yang didapati bergelut dengan kos sara hidup dan mereka tidak mahu memberi tekanan tambahan kepada keluarga, katanya.
Bank Makanan baharu akan dibuka pada petang Jumaat dan bagi memenuhi keperluan penduduk yang bekerja sepenuh masa pula bakal dibuka pada bulan Disember.
Krisis kos hidup tinggi itu juga menyebabkan harga minyak sayuran telah meningkat sebanyak 65 peratus dalam tempoh setahun manakala harga pasta juga melonjak 65 peratus dengan kenaikan harga dua barangan tersebut telah meningkat paling pantas, menurut penyelidikan eksperimen yang diterbitkan oleh Pejabat Perangkaan Kebangsaan baru-baru ini.
Menurut kumpulan pengguna yang dikenali sebagai Which, berjuta-juta rakyat Britain telah mengabaikan waktu makan, berdasarkan tinjauan pendapat yang melibatkan seramai 3,000 orang dan didedahkan kepada umum pada Oktober lalu.
Justeru, walaupun UK kaya tetapi terdapat penduduknya yang tidak makan selama beberapa hari atau tidak kerap menjamah makanan seperti sebelum krisis inflansi tinggi dan perang Ukraine berlaku. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca