1 November 2022, Datuk Hussamuddin Yaacub dengan rasminya melepaskan jawatan Pengerusi dan Penerbit Kumpulan Karangkraf. Teraju syarikat kini dipikul oleh tenaga muda, Firdaus Hussamuddin sebagai Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan dan juga Pengarah Eksekutif Kumpulan Karangkraf.
Timbalan Pengerusi, Datuk Muhammad Nasir Haji Hamzah turut melepaskan jawatannya. Selain Firdaus, pasukan pengarah dan pengurusan terdiri daripada adik dan juga sepupunya.
Ada yang sinis memperli kononnya peralihan ini seperti syarikat keluarga dalam drama Megah Holdings. Saya tersenyum kerana rupa-rupanya ramai yang terbina 'world view' akibat menonton drama.
Tetapi saya yang pernah bertugas selama 27 tahun di kumpulan ini, kenal sangat dengan kesemua tenaga mudanya. Akmal Eirfan Mohd Fawzi, Farah Hussamuddin, Azizi Fickry dan juga Izzat Izhar Muhammad Nasir. Mereka kesemuanya layak dengan jawatan masing-masing. Kesemuanya berkelulusan, terlatih, berdisiplin dan tinggi adab.
Saya menyaksikan semua ini kerana mereka membesar di depan mata. Malah, mereka pernah bekerja di bawah saya dan kemudian saya pula bekerja di bawah mereka. Resepi, formula, budaya dan model bisnes Kumpulan Karangkraf tiada di syarikat-syarikat media yang lain. Agaknya, sebab itulah banyak syarikat-syarikat media tempatan lain sudah menguncup, berpindah milik atau menghilang.
Kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Saya pula kata, tempat jatuh bangun lagi dikenang, inikan pula tempat bertugas. Saya menyertai Kumpulan Karangkraf sejak Januari 1991 walaupun pada mulanya berasa ragu.
Maklumlah sebelum itu kesemua tempat kerja saya memberi saya gaji yang tidak setimpal, selalu dibayar gaji separuh-separuh dan ada juga yang tidak membayar gaji tepat pada masanya. Lagi pula, syarikat ini diuruskan oleh adik-beradik dan sepupu Datuk Hussamuddin. ‘Boleh ke adik beradik berniaga?’ Itu antara persoalan di minda saya sebelum menyertai syarikat penerbitan majalah, akhbar dan buku yang paling pantas berkembang ketika itu.
Syarikat yang terletak di rumah kedai tiga blok, tiga tingkat di Taman Tun Dr Ismail ketika itu bukanlah sebuah syarikat yang mewah. Ada karpetnya yang berlubang dan roda kerusi pusing saya, ada yang hilang. Agaknya sebab itulah perut saya tak buncit ketika itu kerana asyik menggunakan otot perut untuk mengimbangkan tubuh bila duduk bekerja!
Namun, baru enam bulan bertugas sebagai Editor majalah kartun Gelihati, Datuk Husammuddin yang lebih mesra dipanggil Haji mengarahkan saya untuk mengetuai Jabatan Pemasaran. Tidak sampai setahun, saya memohon jawatan sebagai Pengurus Latihan dan kemudiannya ditugaskan sebagai Pengurus Sumber Manusia.
Sebagai anggota pengurusan pertengahan, ada ketikanya saya menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah. Di situlah saya lihat Haji serta Datuk Nasir, Encik Fickry, Encik Fahim dan Encik Fathy (ketiga-tiga arwah, al-Fatihah) bermesyuarat secara profesional. Saya menyaksikan mereka berbincang dan bertelagah sampai merah-merah muka.
Tapi selepas bermesyuarat, mereka bersembang dan bergelak ketawa sebagai saudara. Persaudaraan yang kukuh inilah yang menjadikan Karangkraf sebuah syarikat keluarga yang kental. Maka terjawablah persoalan saya bahawa adik-beradik boleh bersama dalam sebuah syarikat.
Karangkraf berkembang pesat hingga pada 2003 tercatat sebagai syarikat yang paling banyak penerbitan berbahasa Melayu oleh di Malaysia Book of Records. Ketika itu ia menerbitkan 27 buah majalah. Ia juga adalah syarikat penerbitan pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi desktop publishing ketika syarikat-syarikat besar yang lain masih menampal reka letak halaman sebelum cetakan.
Tidak semua yang indah dilalui oleh syarikat ini. Ia pernah mengalami bencana alam. Kilang cetaknya di Petaling Jaya pernah terbakar dan pernah beberapa kali juga ditenggelami banjir. Pada 2002, Karangkraf berpindah ke kompleks baharunya yang canggih di Shah Alam, Selangor.
Kemudian saya diarahkan untuk menerajui syarikat penerbitan buku Alaf 21 hingga menjadi household name dengan kualiti penerbitannya. Karangkraf juga melahirkan akhbar Sinar Harian pada 2006 hingga terkenal kerana laporannya yang telus dan tulus. Saya sempat menerajuinya selama sembilan tahun. Penggunaan internet turut dirangkul oleh akhbar ini. Ia segera menarik lebih sejuta pengikut di Facebook sekitar tahun 2010.
Inilah syarikat yang telah membina kerjaya saya dan kerjaya keluarga ribuan warga kerjanya. Ia dinamik kerana kecekapan pasukannya melayarkan bahtera mengharung gelombang dan membelah samudra pancaroba. Pasukan baharu ini akan meneruskan legasi yang terukir dalam sejarah penerbitan negara.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca