KEGANASAN dilakukan oleh tentera Israel meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini di utara Tebing Barat iaitu wilayah Palestin yang dijajah sejak tahun 1967 oleh rejim Zionis terutama di kawasan Nablus dan Jenin.
Pertempuran berlaku hampir pada setiap hari antara tentera Israel dan lelaki-lelaki bersenjata Palestin sejak peningkatan penentangan ke atas rejim Zionis bermula Mac lalu dengan Nablus semakin menjadi sasaran operasi Israel berikutan kemunculan kumpulan bersenjata baharu iaitu gabungan pejuang 'The Lion's Den' s atau sarang singa.
Israel telah menjajah Tebing Barat sejak Perang Enam Hari berlaku pada tahun 1967 dengan melibatkan negara-negara Arab seperti Mesir, Syria dan Jordan.
Sejak Mac lalu, Israel telah melancarkan sejumlah serbuan di utara Tebing Barat termasuk Nablus dan Jenin berikutan gelombang serangan yang menyasarkan Israel tetapi turut menyebabkan ramai penduduk Palestin termasuk pejuang-pejuangnya terkorban.
Seorang wartawan wanita Palestin dan Amerika Syarikat (AS), Shireen Abu Akleh ditembak mati dengan sebutir peluru mengenai kepalanya di Jenin ketika membuat liputan serbuan tentera Israel pada Mei lalu yang sebelum ini rejim Zionis menafikan pihaknya bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.
Sehubungan itu, pada Oktober lalu terdapat jumlah tertinggi penduduk Palestin yang terkorban akibat tindakan kejam rejim Zionis di Tebing Barat termasuk di Baitulmaqdis Timur, menurut data yang dikumpulkan oleh Middle East Eye (MEE).
Tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 29 penduduk Palestin di Tebing Barat pada bulan lalu sekali gus menjadikan Oktober bulan paling maut setakat ini dalam apa yang dikatakan oleh pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa sebagai tahun paling ramai yang maut.
Menurut analisis MEE, ia juga merupakan angka kematian tertinggi di Tebing Barat dalam tempoh sebulan sejak Mei tahun lalu semasa penduduk Palestin membantah serangan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dan pengusiran penempatan Syeikh Jarrah serta pengeboman di Semenanjung Gaza.
Bilangan angka kematian itu diperoleh PBB sejak ia mula mengira jumlah kematian secara sistematik pada tahun 2005, menurut Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) di wilayah Palestin yang dijajah baru-baru ini.
PERTEMPURAN
Ia menyatakan antara 11 dan 24 Oktober lalu insiden pertempuran harian melibatkan penduduk Palestin, peneroka-peneroka haram Yahudi dan tentera Israel di Tebing Barat berterusan manakala 10 penduduk Palestin melibatkan dua kanak-kanak serta seorang askar Israel terkorban.
Dalam tempoh itu seramai 650 lagi penduduk Palestin dan sembilan orang Israel cedera.
Secara keseluruhan, sejak laporan OCHA itu didedahkan, seramai 623 penduduk Palestin termasuk sekurang-kurangnya 69 kanak-kanak cedera akibat tindakan kejam tentera rejim Zionis di seluruh Tebing Barat dangan 46 daripadanya ditembak dengan peluru hidup.
Menurut analisis MEE, sekurang-kurangnya lima daripada penduduk Palestin yang terkorban pada Oktober lalu adalah disebabkan oleh tembakan daripada pasukan keselamatan Israel.
Yang paling muda terkorban itu ialah Mahmoud Mohammad Samoudi berusia 12 tahun dari Jenin dan dia meninggal dunia di sebuah hospital pada 10 Oktober lalu akibat luka tembakan Israel yang dialaminya pada 28 September semasa serbuan dilakukan pasukan keselamatan rejim Zionis.
Lebih separuh daripada penduduk Palestin yang terbunuh pada bulan lalu kemungkinan besar tidak bersenjata apabila mereka ditembak, menurut pegawai dan laporan media Palestin.
Seramai lima belas orang lagi ditembak ketika menjadi penonton dalam protes penentangan terhadap tentera Israel semasa serbuan tentera rejim Zionis atau serangan para peneroka haram Yahudi yang mendapat perlindungan pasukan keselamatan rejim Zionis.
Lebih kejam lagi, pada 3 Oktober lalu, juga tentera Israel melepaskan tembakan ke arah tiga orang penduduk Palestin semasa mereka berada di dalam sebuah kenderaan ketika pulang dari kerja sehingga menyebabkan dua daripada mereka meninggal dunia dan mencederakan seorang lagi.
Bagaimanapun, pasukan keselamatan rejim Zionis menyatakan ketiga-tiga penduduk itu cuba melakukan rempuhan dengan kereta tetapi tuduhan itu kemudian dinafikan oleh saksi dan mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut.
Dalam kejadian yang jarang-jarang berlaku, seorang anggota kanan kumpulan bersenjata Lions' Den' s terkorban pada 23 Oktober lalu dalam satu kejadian yang dianggap sebagai letupan yang disasarkan di Kota Lama Nablus dengan penduduk Palestin menuduh Israel berada di belakang serangan itu.
Namun, Tentera Israel tidak mengulas mengenai letupan itu.
Dua anggota Pertahanan Awam yang merupakan sebahagian daripada Perkhidmatan Keselamatan Palestin terkorban pada 28 Oktober lalu selepas mereka ditembak di sebuah pos tentera dalam satu kejadian yang masih tidak jelas bagaimana ia boleh berlaku.
Lima lagi terbunuh semasa pertempuran bersenjata dengan tentera Israel semasa serbuan dilakukan di bandar Jenin dan Nablus, utara Tebing Barat.
Semua kematian yang berlaku itu adalah disebabkan oleh tindakan kejam rejim Zionis yang menjajah Tebing Barat sejak meletusnya Perang Enam Hari pada tahun 1967. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca