USAI BN mengumumkan nama 165 calon bertanding bagi parti itu pada Selasa, maka mula gegak-gempita suara penyokong pemimpin-pemimpin politik koalisi itu yang kecewa nama 'tuan' mereka digugurkan pada Pilihan Raya Umum ke-15... Klik di sini untuk terus membaca
USAI BN mengumumkan nama 165 calon bertanding bagi parti itu pada Selasa, maka mula gegak-gempita suara penyokong pemimpin-pemimpin politik koalisi itu yang kecewa nama 'tuan' mereka digugurkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hal ini kerana daripada keseluruhan calon kerusi Parlimen dinamakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sejumlah 12 penyandang kerusi Parlimen dikenal pasti tidak dicalonkan semula dan digugurkan pada PRU kali ini.

Antara kelompok pemimpin berkenaan adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan); Datuk Seri Idris Jusoh (Besut); Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas) dan bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak).

Selain itu, nama besar lain turut tidak dicalonkan adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau); Menteri Sains, Inovasi dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara); Menteri Perpaduan Kaum, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi); Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan bekas Pengerusi Lembaga Getah Malaysia, Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Hakikatnya bagi Najib, alasan bekas Pengerusi BN itu tidak dicalonkan adalah jelas kerana beliau sedang menjalani hukuman penjara, manakala Nazri, Idris dan Ahmad Nazlan pula sudah menyatakan hasrat bersara politik lebih awal.

Namun bagi lapan nama besar lain dalam BN tidak dicalonkan, keputusan 'berani' Ahmad Zahid itu ternyata mencetuskan ribut dalam cawan koalisi itu ketika ini.

Sebagai contoh, Shahidan berikrar untuk mempertahankan kerusi Arau biarpun bertanding atas tiket PN manakala Zahidi pula menegaskan beliau enggan menyokong calon baharu dipilih menggantikannya pada PRU15.

Dalam pada itu, Annuar seakan-akan memberi isyarat untuk kekal mempertahankan kerusi Ketereh menggunakan platform politik baharu apabila menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan perjalanan politik beliau selepas ini.

Bagi dua calon wanita yang digugurkan iaitu Mastura dan Halimah, bekas penyandang kerusi Kuala Kangsar itu difahamkan mempersoalkan tindakan penguguran mereka selain menyifatkan Zahid seolah-olah tidak memenuhi janji peletakan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada PRU15.

Secara permukaannya, keputusan nekad Ahmad Zahid dan BN membariskan lebih 70 peratus muka baharu dan menggugurkan ramai 'warlord' politik ini seolah-olah satu tindakan 'bunuh diri' dan berupaya menjejaskan peluang kemenangan koalisi itu kelak.

Namun, jika dianalisis dari sudut lebih mendalam, keputusan Ahmad Zahid sudah boleh diduga memandangkan sebahagian besar pemimpin 'otai' digugurkan adalah merupakan pemimpin kluster 'Putrajaya' yang dianggap cenderung menyokong musuh ketat UMNO iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Daripada keseluruhan senarai pemimpin kluster Putrajaya itu, hanya Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap), Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad (Parit Sulong) dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (Sungai Buloh) yang terselamat, biarpun Khairy nyaris tersingkir kerana tiada kerusi diperuntukkan buat beliau sebelum itu.

Selain cenderung menyokong PN, kelompok pemimpin kluster Putrajaya ini juga sangat lantang mengkritik dan menentang beberapa keputusan parti.

Justeru, pastinya ramai mahu melihat adakah keputusan besar BN itu akan memberi implikasi besar terhadap peluang parti untuk mempertahankan semua kerusi disandang 'warlord' berkenaan pada PRU15.

Berdasarkan pemerhatian penganalisis politik bebas, Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad, UMNO-BN kini berdepan risiko kehilangan sekurang-kurangnya enam kerusi Parlimen ekoran keputusan pengguguran lapan pemimpin 'otai' berkenaan.

Jelas beliau, dengan Shahidan dan Annuar difahamkan bakal mempertahankan kerusi disandang mereka iaitu Arau dan Ketereh atas tiket PN, empat calon BN untuk kerusi Parlimen Padang Besar (Zahidi), Tenggara (Dr Adham), Pasir Salak (Tajuddin) dan Maran (Ismail Abdul Mutalib) mungkin berdepan penolakan besar jentera parti di bahagian itu.

"Soal sama ada akan berlaku cah keting di beberapa kerusi disandang calon heavyweight BN yang tidak tercalon kali ini, itu hanya boleh dilihat selepas hari penamaan calon pada 5 November hadapan.

"Bagaimanapun, timbul persoalan mengapa pemimpin bersifat winnable candidate seperti Annuar, Shahidan, Adham Baba dan Tajuddin digugurkan begitu sahaja walaupun membawa kemenangan besar parti di kerusi ditandingi pada PRU14.

"Kalau menggunakan alasan untuk meremajakan parti, mengapa pula Pengerusi BN memberi peluang kedua kepada calon-calon 'recyle' yang kalah teruk pada PRU14 seperti Datuk Seri Nur Jazlan Mohamad (Pulai)?," ujarnya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Saiful Bahar


Dari sudut pandangan positif, Saiful Bahar melihat tindakan BN memperkenalkan muka baharu terutama dalam kalangan pemuda adalah isyarat baik parti itu sedang bergerak ke arah politik lebih progresif dan berdaya saing.

"Cuma saya berharap dengan tempoh masa ke hari penamaan calon yang masih berbaki dua hari lagi, pucuk kepimpinan BN dapat mengkaji semula keputusan kontroversi berkenaan demi mengelakkan koalisi berada dalam keadaan rugi.

"Mengenai langkah mencalonkan lebih banyak calon muda dan wanita, ia satu tindakan tepat dengan calon diketengahkan sememangnya memenuhi kriteria Winnable, Acceptable dan Likeable (WALI) ditetapkan BN," tambah Saiful Bahar lagi. Klik di sini untuk terus membaca