SHAH ALAM - Sudah tiba masanya parti-parti politik menggubal perlembagaan parti agar mengehadkan mana-mana pemimpin yang terlalu lama menjadi wakil rakyat daripada terus dicalonkan dalam pilihan raya umum (PRU).
Penganalisis Politik, Ong Ooi Heng berkata, perkara itu perlu dibudayakan diperingkat parti politik terlebih dahulu sebelum membawa kepada penggubalan dasar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, dengan pembudayaan tersebut ia akan memberi peluang kepada calon lain menjadi muka baharu khususnya pelapis pemimpin muda.
"Bagi jawatan seperti Perdana Menteri, saya rasa wajar untuk Perlembagaan digubal agar tempoh jawatan dihadkan kerana membabitkan kuasa eksekutif. Namun bagi jawatan ahli parlimen biasa, saya tidak melihat keperluan tersebut melainkan ditetapkan oleh parti politik sendiri.
"Kesedaran ini perlu dimulakan oleh parti-parti politik. Apabila mereka menghadkan tempoh pemimpin mereka daripada dicalonkan dalam PRU15, ia akan menjadi satu kelaziman dan budaya. Jadi mungkin tidak perlu lagi digubal di peringkat Perlembagaan Persekutuan melainkan sekiranya wujud tekanan daripada lebih banyak pihak.
"Contohnya seperti isu lompat parti. Pada awalnya ia hanya dibincangkan melibatkan perlembagaan parti namun diberi perhatian serius susulan peristiwa 'langkah Sheraton' sehingga membawa kepada perlaksaan akta," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut beliau berkata, tempoh had yang wajar ditetapkan perlu dibincangkan dalam parti.
Bagaimanapun tambah beliau, pindaan undang-undang wajar ditetapkan untuk mewajibkan setiap ahli parlimen atau Adun mengisytiharkan aset mereka sebagai langkah mengatasi isu ketirisan membabitkan dana parlimen yang diperuntukkan.
"Bagaimana mereka menggunakan dana kewangan kerajaan perlu ada laporan terperinci dan diaudit dengan baik,"katanya.
Pengumuman bakal calon BN bagi PRU15 pada Selasa menyaksikan beberapa pemimpin yang sudah mempertahankan kerusi parlimen mereka selama beberapa penggal digugurkan.
Mereka adalah bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar).
Klik di sini untuk terus membaca