SHAH ALAM - Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa pada Rabu berkongsi satu pendaftaran pertubuhan yang dikenali sebagai Muafakat Nasional dengan beliau sendiri memegang jawatan sebagai presiden.
Berdasarkan sijil pendaftaran yang dimuat naik Annuar di Facebooknya, pertubuhan itu beralamat di Klang, Selangor dan telah diluluskan pendaftaran dan ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 19 September 2019.
Terdapat beberapa individu rapat dengan Annuar yang berada dalam senarai ahli jawatankuasa pertubuhan iaitu Setiausaha Politiknya, Datuk Budiman Mohd Zohdi dan Setiausaha Sulit, Datuk Mohammed Azam Ismail serta Setiausaha Media, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Lain lain adalah Datuk Shahrul Nizam Yunos selaku setiausaha pertubuhan manakala bendahari, Wizanie Zerith Shah Putra Shahrul Nizam.
Turut sama, Wizananie Ezreen Shah Putri Shahrul Nizam dan Datin Farah Umaira Paruwis.
Sementara itu, Annuar dalam hantaran sama memaklumkan, masih ada landasan untuk terus berkhidmat atas jalan kebaikan dan kebajikan terutama mengajak ke arah perpaduan dan penyatuan ummah.
"Islam dan umat Melayu harus kekal kuat dan berkuasa. Kita kuat jika bersatu padu.
"Berdiri dalam saf yang dipimpin dengan jelas hala tuju, kepimpinan bermutu.
"Biarpun terbuang, harus kekal sebagai pejuang yang terbilang," kata beliau.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Annuar, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz memaklumkan tidak mengetahui mengenai perkara tersebut.
"Saya tidak tahu, tunggu (perkembangan lanjut) nanti," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan barisan calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November depan.
Annuar tidak tercalon dan tempatnya digantikan Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin.
Annuar menang Parlimen Ketereh pada 2018 dengan majoriti 4,626 menewaskan Mohd Radzi Md Jidin (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Wan Ismail Wan Jusoh (Pas).
Muafakat Nasional dikenali secara meluas sebagai gabungan Melayu dan Islam antara UMNO dan Pas namun berdepan kemelut apabila Pas memilih untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional.
Sebelum ini pada 30 Disember 2020, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan pendaftaran nama Muafakat Nasional di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mungkin berdepan masalah kerana nama tersebut didakwa telah digunakan pihak lain.
Difahamkan ada usaha untuk mendaftarkan Muafakat Nasional tetapi tidak dapat didaftarkan kerana nama itu sudah ada orang yang guna dan ada didaftarkan di RoS.
Klik di sini untuk terus membaca