SETIAP kali di musim Pilihan Raya Umum (PRU) kita akan diperdengarkan dengan manifesto parti-parti yang bertanding. Manifesto ini adalah janji-janji atau hasrat yang ingin dicapai oleh parti-parti yang bertanding sekiranya mereka menang... Klik di sini untuk terus membaca

SETIAP kali di musim Pilihan Raya Umum (PRU) kita akan diperdengarkan dengan manifesto parti-parti yang bertanding.

Manifesto ini adalah janji-janji atau hasrat yang ingin dicapai oleh parti-parti yang bertanding sekiranya mereka menang membentuk kerajaan dalam sesuatu PRU. Ia menjadi kerangka utama kearah menggariskan dasar negara apabila mereka berkuasa kelak.

Secara tidak langsung, manifesto ini digunakan oleh calon-calon yang bertanding daripada pelbagai parti politik sebagai cara untuk menagih undi dan sokongan daripada pengundi masing-masing untuk menunjukkan sejauh mana mereka dan parti mereka serius dalam merangka masa depan negara dan menyelesaikan apa juga rintihan rakyat.

Manifesto ini biasanya juga digunakan oleh para penganalisis politik untuk menilai sejauh mana realistiknya sesetengah janji yang dibuat oleh parti-parti politik.

Ada antaranya yang menjanjikan bulan dan bintang dan ada pula yang menganggapkan bahawa manifesto ini bukan kitab suci.

Apapun tanggapannya, ia adalah janji yang dibuat untuk meyakinkan rakyat tentang apa yang calon-calon ini perjuangkan. Sekiranya ada pengundi yang percaya dengan apa yang dijanjikan maka sudah tentu mereka mengharapkan agar janji itu dikotakan apabila calon dan parti atau koalisi calon sudah memerintah negara kelak.

Kitab suci atau tidak, jangan kita berani berjanji kalau hanya untuk dimungkiri. Kalau kerbau dipegang talinya, manusia dipegang pada janjinya.

Jangan permainkan harapan rakyat. Sebab itu sebelum parti-parti politik menabur janji dan mengumumkan manifesto masing-masing, ada baiknya mereka membuat kajian dan melihat keperluan rakyat dan negara.

Gunakan data dan bukti empirikal daripada hasil kajian ilmiah dalam mengolah dan menyediakan manifesto masing-masing dan melihat sejauh mana realistiknya apa yang mereka janjikan.

Sudah tentu rakyat terbanyak mengharapkan agar semua parti politik meletakkan kemajuan negara sebagai perkara yang paling penting dalam manifesto mereka, diikuti dengan keamanan dan kesejahteraan.

Ini masanya parti-parti politik memahat kepercayaan rakyat dengan berusaha untuk mengembalikan kegemilangan negara.

Ianya akan tercapai hanya dengan mengemukakan dasar yang prihatin kepada penderitaan rakyat disamping mengetengahkan calon-calon yang berketerampilan, berwawasan, serta berpelajaran tinggi.

Parlimen penggal akan datang ini memerlukan perubahan daripada segi wajah dan pemikiran wakil rakyatnya. Kita tidak boleh lagi bertoleransi dengan memilih wakil yang boleh menjatuhkan maruah dan reputasi Dewan Rakyat sebagai dewan yang mulia dengan jenis manusia yang sanggup mengeluarkan hujah-hujah yang unparliamentary.

Ahli-ahli Parlimen akan datang haruslah menunjukkan kematangan daripada cara mereka berhujah dan berdebat sesuai dengan apa yang mereka janjikan dalam manifesto.

Maka waktu berkempen inilah masa yang paling baik untuk calon-calon mengetengahkan idea mereka tentang bagaimana mereka akan mewakili rakyat terbanyak.

Sebagai contoh, semasa berkempen inilah mereka perjelaskan apakah langkah-langkah yang akan diambil bagi menentukan Malaysia kembali dihormati di persada dunia sesuai dengan manifesto parti masing-masing.

Inilah masanya untuk calon-calon dan parti yang mereka wakili menunjukkan gagasan serta wawasan masing-masing termasuk matlamat perjuangan mereka untuk dinilai oleh para pengundi.

Ini perlu dilakukan dengan memahami secara mendalam bahawa sesebuah negara yang merdeka perlu didokong dengan satu dasar yang dapat memajukan negara, memakmurkan rakyat agar dapat hidup dengan harmoni dan bahagia.

Sebab itu semua parti politik harus memberi keutamaan dalam manifesto mereka masing-masing kepada soal kemajuan negara sambil mengambil kira masalah yang mendepani kita pada waktu ini iaitu masalah kesihatan rakyat dengan pandemik Covid-19 yang masih mengancam nyawa, keselamatan rakyat serta cabaran ekonomi yang semakin meruncing.

Atas sebab itu perlu ada satu komitmen yang menunjukkan keprihatinan parti-parti politik untuk terus menjaga dan mempertahankan rakyat terbanyak kepada perkara-perkara asas berikut; paling utama adalah untuk memberi kesihatan yang terbaik untuk semua; menentukan pertumbuhan ekonomi yang mapan; menjaga keselamatan dan ketenteraman seluruh rakyat; memelihara keharmonian kepelbagaian kaum dalam negara; serta menghormati kelestarian alam sekitar kita.

Manifesto-manifesto ini harus dengan jelas menunjukkan bahawa parti-parti yang bertanding dalam PRU15 bukan hanya menabur janji, tetapi membuat penyataan komitmen kepada semua usaha yang telah mereka janjikan.

Paling penting pada saya, semua parti harus mendasari semua komitmen dalam manifesto yang mereka bentuk dengan perkara paling asas sekali iaitu menghormati tadbir urus atau governans dan akan membudayakan integriti.

Rakyat harus menjadikan ini janji yang semua parti politik harus tepati dan laksanakan sekiranya mereka mahukan undi kita. Semoga Malaysia bertambah baik.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca