STRATEGI menampilkan muka baharu dan calon berlatarbelakangkan pendidikan bagi bertanding mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai pemangkin pembaharuan (game changer) dalam pemilihan calon. Setiausaha Agung UMNO, Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

STRATEGI menampilkan muka baharu dan calon berlatarbelakangkan pendidikan bagi bertanding mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai pemangkin pembaharuan (game changer) dalam pemilihan calon.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu membuktikan gabungan parti tersebut serius dalam membentuk satu lapisan kepimpinan baharu untuk masa hadapan.

Ikuti wawancara eksklusif bersama Ahmad Maslan dalam program Sinar Live yang dikendalikan moderator Nurul Riduan Mohd Ashaha bagi mengulas mengenai penampilan calon baharu dan penerimaan masyarakat terhadap calon-calon muda, golongan wanita dan berpendidikan.

NURUL RIDUAN: Bagaimana dengan suasana penamaan calon oleh BN pada Selasa malam?

AHMAD: Malam semalam telah selesai pengumuman nama calon oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kita ada beberapa nama lagi yang akan diumumkan terutama di peringkat negeri iaitu Perlis, Perak, Pahang dan Sabah dalam masa sehari dua ini.

Secara keseluruhannya, BN mencalonkan sekitar 70 peratus muka baharu dan terdapat juga beberapa calon yang pertama kali bertanding dalam Parlimen. Adakah itu menunjukkan isyarat bahawa UMNO ingin tampil berbeza berbanding PRU14 sebelum ini?

AHMAD: Secara keseluruhan kita telah mengumumkan hampir 70 peratus muka baharu dan 85 peratus calon yang berpendidikan. Seperti yang saya sebut sebelum ini, kita ingin melakukan game changer, iaitu mengemukakan calon muka baharu BN.

Ini menunjukkan keseriusan kami untuk menampilkan muka-muka baharu dan membentuk satu lapisan kepimpinan dalam UMNO untuk masa hadapan. Ia juga memenuhi ciri-ciri 'WALI' iaitu 'winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (boleh diterima) dan ‘likeable’ (disenangi). Memang ada satu dua perkara yang kurang positif, tetapi secara keseluruhan kita lihat banyak perkara positif berdasarkan senarai calon yang dikemukakan.

Individu yang ada nama besar dalam UMNO misalnya Datuk Zahidi Zainul Abidin, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak dicalonkan, bagaimana penerimaan itu?

AHMAD: Mereka telah memberikan sumbangan besar kepada parti sebelum ini dan saya kira ini giliran mereka pula untuk memberikan peluang kepada kepimpinan baharu di kawasan seperti Parlimen Ketereh dan Pasir Salak. Berkenaan penutupan bilik gerakan BN di Arau, bilik gerakan tersebut secara rasminya dibuka pada 5 November ini. Jadi kalau nak tutup bilik gerakan itu tidak tepat.

Bagaimana cara BN untuk menghalang kemungkinan wujudnya unsur sabotaj atau tiada kerjasama apabila terdapat nama-nama besar yang tidak tercalon dalam Parlimen tertentu?

AHMAD: Kita mempunyai rancangan untuk mengatasi isu ini sekiranya wujud unsur sabotaj di beberapa kawasan yang dinyatakan. Kita ada rancangan A, B, C dan D untuk mengatasinya. Cuba kita lihat perkara yang positif di tempat lain yang kita kemukakan calon-calon yang hebat. Mudah-mudahan masyarakat dapat menerima calon-calon yang muda, golongan wanita dan berpendidikan.

Sebelum ini ada yang menyatakan individu berpendidikan sukar untuk masuk ke dalam UMNO, tetapi kini kita lihat Presiden BN, Setiausaha Agung BN, ketua wanita dan ketua pemuda dan beberapa lagi mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Saya kira golongan profesional pun ramai yang menerajui kepimpinan UMNO. Jadi, kita tidak ketandusan pimpinan di semua peringkat. Alhamdulillah, kita mengemukakan kepimpinan itu untuk menjadi calon supaya diberikan mandat oleh rakyat.

UMNO pilih parti dulu atau calon dulu?

AHMAD: Dalam konteks UMNO tidak boleh dipisahkan iaitu calon yang berparti dan kalau atas nama dirinya, calon itu tidak akan boleh menang jika bertanding bebas tanpa menggunakan logo UMNO dan BN.

Sebagai contoh, UMNO menghadapi ranjau apabila 16 orang ahli Parlimen melompat, kemudian ada enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat, yang paling terpukul adalah UMNO dalam kes pengkhianatan parti ini. Kami tidak mahu perkara ini berulang. Oleh itu kami memilih dengan berhati-hati supaya tidak ada lagi 16 ahli Parlimen yang melompat.

Mengapa dalam pengumuman malam Selasa, BN memberikan kerusi kepada pemimpin rakan BN?

AHMAD: Apabila kita kata BN bergerak solo, sebenarnya bukan kita bergerak solo. BN ada 10 parti politik di dalamnya iaitu empat parti komponen, UMNO, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan enam Friends of BN iaitu Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

Ini satu lagi perubahan ketara yang kita kemukakan iaitu menghargai kumpulan BN sejak sekian lama, ada yang puluhan tahun ini kali pertama mereka diberi peluang. Saya harap mereka akan bersungguh-sungguh memastikan kemenangan di tempat ditandingi. Ia hadiah kesetian Friends of BN kepada kami dalam susah dan senang, mereka setia.

Ahmad (kanan) bersama moderator, Nurul Riduan Nor Ashaha (kiri) ketika program Sinar Live bertajuk Calon UMNO: Parti atau Diri Sendiri pada Rabu.

Tiada seorang pun pemimpin MIC yang hadir semasa penamaan calon BN. Apa situasi sebenarnya yang berlaku?

AHMAD: Kita tunggu apa kenyataan mereka, saya kira tidak ada perkara yang terlalu besar. Kita dah selesaikan, cuma ada sedikit ‘hiccup’. Seperti Cameron Highlands kita ganti dengan Teluk Intan. Itu telah dipersetujui MIC. Jadi, kita akan selesaikan dalam sehari dua ini.

UMNO dilihat cuba meremajakan parti tapi pada masa sama, tindakan pemimpin tidak sehaluan diibaratkan presiden mencuci parti UMNO yang memberi lebih kekuatan kepada presiden itu sendiri. Adakah itu alasan yang boleh diterima?

AHMAD: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tiada masalah (umum tak bertanding), Tajuddin juga tiada kenyataan negatif. Yang negatif itu seorang iaitu Shahidan, Tan Sri Annuar Musa pun tidak ada perkara negatif. Seorang daripada 191 orang, hanya 0.005 peratus (yang tidak berpuas hati).

Mengapa calon di kawasan Parlimen Tanjung Karang tidak diumumkan?

AHMAD: Macam parti lain tidak umum semua, buat secara berperingkat. Kita dah sebut bahawa kita tidak umum lagi negeri Sabah dan tiga negeri di peringkat DUN, tunggu sehari dua ini kita umum.

Datuk Mastura Mohd Yazid mempersoalkan janji untuk 30 peratus calon wanita. Bagaimanapun perkiraan pengumuman malam tadi hanya 20 orang dan tidak sampai sembilan peratus.

AHMAD: Senarai calon belum keluar semua. Sabah mungkin ada wanita, nak kira peratusan itu masih belum lengkap, negeri belum habis lagi (umum). Empat negeri apabila kita sebut 30 peratus, mereka tahu bahawa peratusan itu daripada keseluruhan wakil rakyat Parlimen, DUN dan senator.

Pengiraan itu mesti berdasarkan perkara tersebut termasuk calon yang telah menjadi ADUN di Johor. Johor mempunyai 25 peratus wanita. Di Melaka ada peratusan tertentu yang melibatkan wanita. Enam negeri belum umum, ia mesti mengambil keseluruhan 30 peratus itu, termasuk Sabah. Datanya belum lengkap. Jadi kita tidak boleh buat rumusan.

Bila sebut muka baharu, masa kita umumkan calon 30 peratus wanita dan 70 peratus muka baharu, kita pun tidak tahu ada enam negeri tidak akan bubar, jadi kita bagi peratusan itu termasuk negeri-negeri tersebut yang tak bubar.

Bagaimana peluang BN untuk kembali berkuasa dengan peratusan kerusi yang tinggi?

AHMAD: Kita berharap untuk menang dalam PRU15 ini dan kita begitu teliti dalam pelbagai sudut yang mana calon-calon juga telah melepasi pelbagai tapisan. Kita juga berharap agar jasa prestasi BN sebelum tahun 2018 sentiasa dijadikan ukuran oleh mereka yang memahami politik.

Saya harap anak-anak muda yang mewakili 51 peratus pengundi berumur 18 ke 40 tahun dan 49 peratus lagi berumur 40 tahun dan ke atas sentiasa melihat dan membuat kajian. Walaupun mereka sebelum ini tidak terlibat secara langsung dalam politik, tetapi senang sahaja untuk mereka mencari maklumat melalui www.umno-online.my untuk segala berita rasmi mengenai UMNO.

Boleh juga layari www.BNNEWS.online.com untuk mengetahui berita-berita tentang BN. Jadi, dua saluran ini boleh dilihat supaya kita boleh dapat maklumat yang betul sebelum membuat keputusan. Kita meletakkan rekod BN sebelum ini untuk diteliti oleh rakyat.

Saya juga ingin memaklumkan, adalah tidak adil untuk mengggelar UMNO sebagai parti rasuah yang dinyatakan oleh pihak luar. Kami sebagai calon pada malam Selasa telah mengangkat sumpah tidak akan melakukan sebarang rasuah atas nama ALLAH SWT di hadapan khalayak.

Satu lagi perkara yang agak saya kesalkan ialah kami mempunyai 3.3 juta ahli UMNO dan yang masuk penjara seorang (Datuk Seri Najib Tun Razak). Lantas, 3.3 juta ini dituduh macam-macam.

Najib itu pun sebenarnya masih ada lagi ada cahaya di hujung terowong kerana semakan kehakimannya belum bermula. Jadi perkara itu adalah tidak adil untuk menuduh sedemikian rupa kepada 3.3 juta ahli UMNO.

Ustaz Kazim mengundurkan diri tidak sampai 24 jam dicalonkan. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

AHMAD: Saya kira beliau ingin mengelak daripada konflik keluarga dalam satu Parlimen yang sama. Beliau mewakili BN dan dalam Parlimen yang sama, adik beradik beliau bertanding juga. Saya kira itu masalah keluarga. Kita menghormati apa yang berlaku dan kita berikan tawaran kepada anak muda, Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud (untuk menggantikan Ustaz Kazim).

Mohd Shafiq Fhadly adalah seorang jurutera di Petronas dan beliau tular di media sosial dengan mengkritik pembangkang. BN menghormati keputusan Ustaz Kazim.

Klik di sini untuk terus membaca