SHAH ALAM - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias tidak melihat ada isu besar buat beliau dan keluarga, jika adiknya yang juga penceramah terkenal, Mohd Kazim Elias mahu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias tidak melihat ada isu besar buat beliau dan keluarga, jika adiknya yang juga penceramah terkenal, Mohd Kazim Elias mahu bertanding di Parlimen Larut.

Hal ini kerana bekas ADUN Batu Kurau itu berpandangan sekiranya Mohd Kazim atau lebih dikenali Ustaz Kazim bertekad mahu kekal bertanding atas tiket BN, beliau melihat keputusan itu sebagai satu pertembungan 'adik-beradik yang sihat bagi menyuburkan amalan demokrasi di Parlimen itu.

Mengakui agak terperanjat apabila mendengar nama Ustaz Kazim diumumkan sebagai calon BN pada malam Selasa, Mohd Najmuddin bagaimanapun percaya keputusan adiknya untuk menarik diri daripada bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas kehendak beliau yang mahu menumpukan usaha berdakwah melalui Pusat Pendidikan Al-Baraqah.

"Sejujurnya saya lebih awal ditawarkan menjadi calon PN pada PRU15 dan Ustaz Kazim pun tahu mengenai perkara itu. Oleh itu, dia pun memutuskan untuk menolak tawaran bertanding kerusi Parlimen Larut atas tiket BN pada peringkat awal sebab saya dah masuk bertanding.

"Agak terperanjat juga bila nama dia disebut jadi calon (BN) semalam (Selasa). Tapi kalau dia hendak tanding pun tiada isu kerana ia masih pertembungan sihat, platform parti berbeza dan kerusi ditandingi pun berlainan.

"Apa pun saya hormat keputusan beliau tarik diri dan percaya ia dibuat atas faktor beliau mahu menumpukan fokus dakwah melalui Pusat Pendidikan Al-Baraqah," ujarnya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas mengenai keputusan mengejut Ustaz Kazim menarik diri daripada bertanding sebagai calon BN di kerusi Parlimen Larut pada PRU15, sehari selepas diumumkan sebagai calon oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

HUT

MOHD NAJMUDDIN

Sekiranya Ustaz Kazim kekal bertanding di kerusi berkenaan, beliau dijangka bertembung dengan Menteri Dalam Negeri dan juga Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta calon Pakatan Harapan (PH), Zolkharnain Abidin.

Susulan itu penarikan diri Ustaz Kazim, BN telah menamakan calon baharu iaitu Ketua Penerangan Pemuda UMNO Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Untuk rekod, Mohd Kazim pernah menolak pelantikan sebagai anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Disember tahun 2013 oleh bekas Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, beliau juga pernah menolak tawaran untuk bertanding atas tiket BN di salah satu kerusi DUN di Parlimen Larut yang turut meliputi DUN Selama, Kubu Gajah dan Batu Kurau, pada PRU14.

Dalam pada itu, Mohd Najmuddin yang pernah menjadi pegawai khas bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, turut berpengalaman menyandang kerusi DUN Batu Kurau selama dua penggal pada tahun 2008 hingga 2013.

KAZIM

KELUARGA DAN POLITIK

Selain Ustaz Kazim dan Mohd Najmuddin, seorang lagi adik-beradik mereka iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Larut, Hasbullah Elias juga pernah menjadi ADUN Kubu Gajah pada tahun 2013 hingga tahun 2018.

Dalam perkembangan lain, Mohd Najmuddin percaya pengalaman luasnya sebagai bekas wakil rakyat di DUN Batu Kurau selain faktor pertalian kekeluargaan yang ramai di situ bakal menjadi modal utama pihaknya untuk menawan kerusi kubu kuat UMNO itu buat kali pertama pada PRU15.

"Saya boleh sifatkan peluang menang adalah 50-50, tetapi saya yakin sokongan kuat Pas, susur galur kekeluargaan saya dan pengalaman sebagai bekas YB menjadi kelebihan untuk saya menang kerusi DUN Batu Kurau pada PRU15.

"Walaupun kita mengetahui DUN Batu Kurau merupakan kubu kuat UMNO-BN, tetapi sehingga kini aspek pembangunannya masih agak perlahan berbanding DUN-DUN lain di Perak.

"Saya juga melihat keperluan PN untuk meneruskan agenda perpaduan ummah sebagai asas utama mengapa saya perlu menang pada pilihan raya kali ini kerana kita tidak mahu Parlimen Larut berterusan terpalit dengan isu perpecahan Melayu dan Islam," tegas Mohd Najmuddin.

Klik di sini untuk terus membaca