SHAH ALAM - Penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menegaskan dirinya masih ahli Pas walaupun mengesahkan dirinya bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menegaskan dirinya masih ahli Pas walaupun mengesahkan dirinya bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Kenyataan Che Abdullah itu hadir selepas Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mendedahkan beliau sah akan bertanding di Parlimen Tumpat atas tiket BN pada Khamis.

"Ya saya akan bertanding atas tiket BN. Saya juga masih ahli Pas,” kata Che Abdullah secara eksklusif kepada Sinar Premium pada Khamis.

Che Abdullah sebelum ini tidak dicalonkan oleh Pas kerana gagal mendapat kelulusan daripada Majlis Syura Ulama seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas tindakannya mewakili BN, ini jawapan ringkas Che Abdullah.

"Sebenarnya saya telah pun...macam telah lama disingkirkan dari Pas. Saya tidak boleh komen banyak tentang perkara ini,” katanya.

Pada PRU14 lalu, Che Abdullah menang dengan majoriti 17,500 undi sekali gus menewaskan calon BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau memperoleh undian sebanyak 47,041 undi, BN (29,541) manakala PKR (10,003).

Ahmad Jazlan ketika ditemui pemberita di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan menyifatkan Che Abdullah adalah calon boleh menang dan BN lega apabila tawaran dibuat itu diterimanya.

"Teka teki sudah terjawab dan Che Abdullah akan bertanding atas tiket BN di Parlimen Tumpat

"BN memberi laluan kepada Che Abdullah kerana beliau boleh menang,” katanya sambil menjelaskan akar umbi UMNO Bahagian Tumpat juga menerima baik kehadiran Che Abdullah.

Selain Che Abdullah, nama lain yang digugurkan Pas adalah penyandang Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang sukarela memberi laluan kepada calon muka baharu, Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Nik Mohamad Abduh pada PRU14 meraih 36,188 undi menentang BN yang diwakili Datuk Dr Awang Adek Hussin (32,896) dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Zulkifli Zakaria (3,292).

Klik di sini untuk terus membaca