TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli memberikan ingatan kepada anggota parti itu untuk berhenti bercakap mengenai pengkhianat. Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, tiada guna jika berulang kali... Klik di sini untuk terus membaca

TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli memberikan ingatan kepada anggota parti itu untuk berhenti bercakap mengenai pengkhianat.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, tiada guna jika berulang kali menyentuh tentang pengkhianat kerana ia hanya ‘membakar’ anggota parti yang terkesan dengan Langkah Sheraton tetapi tidak kepada pengundi.

Dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, Rafizi turut memberitahu akan mengambil tindakan terhadap ‘malaun’ yang menyebarkan audio suaranya yang diedit, seolah-olah beliau mengatakan DAP merosakkan pemimpin Melayu dalam kerjasama politik.

Banyak lagi yang dikongsinya, termasuk perdana menteri alternatif sekiranya Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tumbang di Tambun, dalam program Sinar Live yang dikendalikan moderator, Fahiz Ariff.

FAHIZ: Apakah kecenderungan pengundi muda berdasarkan unjuran oleh PKR?

RAFIZI: Sebenarnya, tak ada orang yang tahu. Jika ada sesiapa terutamanya ahli politik di Malaysia ini kata dia tahu pengundi muda yang pertama kali mengundi ini undi siapa, dia bohong. Data yang kami ada setakat ini, tidak konklusif.

Cuma, dapatan setakat ini memberikan gambaran pengundi muda terutamanya berumur 18 hingga 21 tahun, maksudnya yang baharu bekerja, habis universiti dan sekolah ini, pendedahan mereka terhadap politik sangat kurang.

Mereka juga tidak faham sangat situasi sebenar sebab kebanyakannya bukan dapat gaji. Kalau bercakap pasal gaji tak cukup, mereka tak faham sebab mereka bukannya yang mengeluarkan duit dan menanggung keluarga untuk membeli barang.

Jadi, banyak isu itu sebenarnya masih lagi bukan dalam radar sebahagian besar pengundi muda. Hanya pengundi muda yang betul-betul ambil tahu sahaja yang faham tapi golongan itu kecil. Sebab itu tiada pihak yang boleh membacanya.

Cuma yang membuatkan saya sejuk hati, dapatan setakat ini menunjukkan selalunya kecenderungan pengundi kali pertama ini mengundi mengikut undian ibu bapa mereka.

Maksudnya, kalau mak ayah mereka PKR, maka mereka akan undi PKR sebab mereka lahir dan membesar dalam keluarga PKR.

Kalau keluarga mereka UMNO, mereka akan pilih UMNO. Itu yang saya lihat, ada gambaran dan memberikan sedikit kelebihan kepada PKR dan PH sebab golongan yang dalam kategori ibu bapa mereka iaitu golongan berusia 30 hingga 50 tahun ini, memang ‘hardcore’ PKR dan PH.

Sebab mereka yang paling tertekan dengan isu ekonomi. Jadi, soal gaji, harga barang, pinjaman, golongan inilah yang paling sakit kepala sebab mereka berada di puncak yang menanggung beban kewangan. Mereka yang bekerja dan merasai semua.

Kalau golongan ini terus kekal menjadi tegar PKR dan PH terutamanya bagi kerusi separa bandar dan campuran yang rata-ratanya ditandingi PKR.

Ada kemungkinan besar keluarga mereka berpandangan begitu, mereka pun akan mengundi seperti itu.

Tapi sebenarnya, tiada data yang konklusif yang menunjukkan setakat ini, macam mana golongan pengundi kali pertama ini akan mengundi.

Jadi, bergantung kepada parti, bagaimana mereka meyakinkan ibu bapa mereka, dengan harapan ibu bapa mereka faham dan beri wahyu kepada anak-anak untuk undi siapa.

FAHIZ: Kita melihat beberapa percaturan dibuat PH dalam menetapkan calon ‘heavyweight’ yang bertukar kerusi kali ini. Berdasarkan ketetapan yang dibuat dan strategi yang dilakukan, sejauh mana realistik PH boleh menang berdasarkan perubahan kerusi itu?

Rafizi

RAFIZI: Untuk memenangi pilihan raya, ada beberapa komponen besar. Berdasarkan pengalaman saya menguruskan kempen pilihan raya, saya merumuskan ada paling kurang tiga komponen besar untuk menang secara keseluruhannya.

Pertamanya, komponen naratif nasional. Maksudnya, bagaimana orang secara keseluruhannya di seluruh negara, apa pandangan dan rasanya pada sesuatu parti.

Kalau PKR, bagaimana mereka rasa PKR itu, melibatkan ‘mood’ rakyat dan keterujaan rakyat tanpa mengambil kira faktor-faktor tempatan. Ini komponen pertama dan yang paling besar.

Komponen kedua adalah komponen tempatan. Kalau menjalankan kempen mengenai calon, ia juga mengenai jentera.

Mengambil contoh di Pantai Timur, sokongan itu sebenarnya memang menolak BN dalam pilihan raya lepas dan tidak gemar pada Pas.

Tetapi pengundi atas pagar yang tak nak BN, tidak yakin PH boleh tewaskan UMNO sebab mereka rasa jentera dan keberadaan parti-parti PH di Kelantan dan Terengganu ini terlalu rendah sebab Pas dah lama.

Jadi, walaupun mereka tak suka UMNO dan mereka juga bukan gemar sangat pada Pas, tapi tak apa sebab mereka lihat Pas lebih berupaya menewaskan UMNO. Jadi, faktor tempatan itu adalah faktor jentera.

Faktor ketiga adalah faktor digital kerana 67 ke 70 peratus rakyat Malaysia dan pengundi mendapat berita politik daripada media sosial.

Jadi, apabila kami meletakkan calon-calon besar ini, kami telah mengambil kira ketiga-tiga faktor. Maksudnya, ia tidak semestinya meletakkan calon besar itu di satu kerusi semata-mata kerana kita nak dia menang kerusi itu.

Ia sebenarnya kadang-kadang, apabila meletakkan strategi ini, sumbangan calon itu kepada naratif nasional.

Dia mungkin tiada kesan yang sebegitu besar di kerusi itu tetapi dia ada kesan besar di naratif nasional dan dia membantu semua calon yang lain.

Jadi, itu pendekatan yang kami ambil bila kami tengok dan susun semua itu, kita gabungkan semua.

Soal kebolehmenangan, kesan, pengaruh setiap tokoh itu dengan kumpulan pengundi yang berbeza.

Kami yakin, setiap percaturan dan strategi itu sebenarnya menyumbang terutamanya kepada naratif nasional dengan meyakinkan pengundi di seluruh Malaysia yang kita lebih bersih, cekap, berkemahiran dan kita meletakkan calon profesional dan berpendidikan.

Setiap calon kita itu ada ‘audience’ sendiri di seluruh negara.

FAHIZ: Mengenai kerusi-kerusi PKR dan PH yang menang PRU14 tapi dikhianati oleh beberapa pemimpin ‘katak’. PKR meletakkan nama-nama besar atau ‘heavyweight’ di kerusi tersebut. Nampaknya ada mesej jelas yang PKR ingin sampaikan?

RAFIZI: Sebenarnya, tak ada. Saya kurang selesa kalau kempen kita sebut soal itu kerana kita nak masuk pilihan raya.

Sebab itu saya berikan ingatan dan nasihat kepada dalaman PKR, jangan sentuh sangat soal pengkhianat.

Kalau lihat pada ucapan saya, jarang sangat saya sentuh pasal mereka ini. Sebabnya, rakyat sedar apa yang mereka buat dan tahu.

Tapi, pilihan raya ini adalah tentang masa depan negara, tentang masalah rakyat, tentang kerangka pentadbiran yang jauh lebih besar.

Kalau contohnya nak masuk pilihan raya, kita kempen sebut pasal Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), Zuraida (Datuk Zuraida Kamaruddin), orang parti mungkin berasa seronok, rasa luka lama itu tetapi rakyat tak ambil kisah pun.

Tak penting bagi mereka kerana yang penting adalah kalau kamu menang, kami dapat apa. Macam mana kamu nak selesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat.

Saya tiada strategi sebab itu tak boleh dibaca. Orang kata, hantar orang ini untuk lawan, tiada. Secara umumnya, keputusan kita meletakkan calon di semua kerusi sebenarnya secara rawak.

Maksudnya, kita mencari siapakah yang kita rasa paling sesuai untuk berkhidmat dengan cara yang terbaik di kerusi itu. Ia bukan sebab ini nak kejar itu dan sebagainya.

Adalah pimpinan PKR yang mungkin bila beri ceramah kepada pengundi yang sakit hati kepada mereka (Azmin dan Zuraida), terutamanya penyokong parti, mereka suka dengar perkara sebegini.

Tapi, itu bukan pertimbangan kita untuk memastikan bahawa yang paling penting calon terbaik yang kalau dia menang, dia boleh menyumbang kepada rakyat. Kita tengok dekat kerusi mana yang akan ada sokongan dan jentera yang kuat serta penerimaan rakyat.

Sebab itu, orang tidak pernah tahu yang sebenarnya calon kita di Ampang adalah Rodziah Ismail (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga) dan bukannya Nurul Izzah sebagaimana yang disebut sesetengah pihak.

Bukan, ia memang untuk Rodziah sebab dia orang lama dan antara pengasas wanita PKR. Sebenarnya, Rodziah lebih awal sebagai pimpinan wanita daripada Zuraida. Zuraida datang kemudian. Jadi di Selangor ini, pimpinan wanita yang paling kanan adalah beliau.

Cuma, oleh kerana kerusi Ampang itu kerusi untuk calon wanita, jadi yang paling kanan, kita hantar Rodziah. Dia juga adalah Exco dan orang sudah kenal cuma kita tak sebut.

Jadi, tak ada sangat mesej tertentu kepada pengkhianat. Saya lebih bimbang kalau kempen PKR dan PH terlalu bercakap pasal pengkhianat.

Sebab itu semasa pengumuman calon, saya kata tutup buku dan tak payah bercakap lagi pasal mereka. Paling penting adalah rakyat.

Baik Zuraida atau Azmin, saya tiada emosi sebenarnya. Yang lepas, lepaslah. Dia buat dosa, dia jawab. Orang kalau buat orang lain marah, orang akan hukum dia tapi bukan hal kita nak pergi kejar dia.

Hal kita adalah bagaimana nak meletakkan calon yang terbaik supaya apabila calon itu menang, dia akan menjadi wakil rakyat yang baik di situ.

FAHIZ: Ramai penganalisis politik yang bercakap tiada satu pun gabungan parti yang akan membentuk kerajaan sendirian selepas PRU15. Soalnya, jika PH mahu bekerjasama, dengan siapa?

RAFIZI: Itu bukan perbincangan yang dibuat sekarang. Kita nak masuk berlari 100 meter. Mana ada orang nak masuk, sebelum lari bincang kalau aku dapat nombor tiga, macam mana.

Orang pecut sampai 100 meter hingga menang. Kalau tak menang, kita bercakap kemudian. Kalau tak boleh bentuk kerajaan, sudah tentu ia berdasarkan keputusan yang dibuat oleh rakyat masa itu.

Kita akan menanti keputusan rakyat dan kita boleh baca daripada situ, isyarat rakyat bentuk gabungan yang macam mana. Tapi kalau masuk pilihan raya dan fikir macam mana nak bentuk kerajaan, rakyat tak suruh macam itu dan mereka menyampah.

Kalau nak masuk pilihan raya, tugas pimpinan dan parti politik adalah meyakinkan rakyat, membentangkan cara dan menampilkan calon yang berwibawa supaya rakyat boleh buat pilihan.

Rakyat tak minta kita sibuk fikir bagaimana nak bentuk kerajaan. Jadi, sebenarnya saya tak tahu pimpinan lain tapi saya tutup terus soal itu.

Bagi saya, saya nak pecut. Saya nak berlatih betul-betul dan pecut sampai menang. Kalau nak pecut tapi fikir nombor dua, nombor tiga, memang tak menang. Itu sikap saya dan begitu juga PKR sekarang.

FAHIZ: Sewaktu PRU14, isu 1MDB dimainkan sebegitu rupa sehingga menyebabkan berlakunya gelombang tsunami politik. Bagi PRU15 kali ini, kita melihat kepada isu kapal tempur pesisir (LCS) tetapi ia tidak sekuat 1MDB, atau adakah saudara menyimpan sedikit isu ini dan akan bongkar nanti?

RAFIZI: Kita tengok dalam tempoh setahun yang lepas, memang sepanjang masa sebenarnya bila kita ukur apa isu yang betul-betul mempengaruhi keputusan undi rakyat, sepanjang masa ia adalah kos sara hidup daripada zaman ‘tok kaduk’ lagi.

Isu itu kekal dalam 30 ke 40 peratus, konsisten sepanjang masa. Yang begitu beza sedikit seperti soal isu rasuah dan berkaitan perkauman.

Tapi dalam tempoh setahun lepas, saya tengok jumlah rakyat Malaysia yang meletakkan keputusan pengundi mereka itu akan ditentukan oleh soal rasuah, makin naik setiap bulan.

Apabila pengundi ditanya antara isu-isu ini, isu mana yang paling penting dalam menentukan undi mereka, kos sara hidup masih lagi 40 peratus tetapi rasuah sudah sampai ke 20 peratus.

Kira-kira tiga tahun lepas semasa zaman MN, isu rasuah rendah iaitu 4 hingga 5 peratus. Zaman PH selama 22 bulan, isu rasuah tak pernah lebih 2 ke 3 peratus.

Jadi, maksudnya bila berkempen, kita kena bercakap mengenai isu yang menjadi pertimbangan besar rakyat. Pertimbangan besar rakyat sekarang adalah kos sara hidup dan rasuah.

Penganalisis hanya memberi pandangan tetapi mereka tiada data. Kita tak tahu, otak manusia ini bukan ‘on’ dan ‘off’, kita bukan robot.

Maksudnya, bila kononnya 1MDB dah selesai, isu itu sudah hilang. Ia sebenarnya memberi persepsi lapis demi lapis, jadi rakyat Malaysia memang dah tahu masalah rasuah memang ada dan besar.

Mereka tak lupa tentang 1MDB, cuma mereka tak sukalah, kata parti politik ini tidak ada modal lain ke. Kita cerita pasal kehidupan yang payah, kamu asyik cakap 1MDB, jadi mereka tak nak.

Tapi, bila PN mengambil alih kemudian melibatkan balik UMNO dalam kerajaan pada tahun 2020 selepas Langkah Sheraton, boleh nampak dari sebulan ke sebulan pertimbangan rakyat mengenai rasuah makin naik.

Dari 3 ke 4 peratus semasa PH, sekarang naik ke 20 peratus.

Wawancara eksklusif bersama Rafizi (kanan) dalam program Sinar Live yang dikendalikan moderator, Fahiz Ariff.

FAHIZ: Baru-baru ini, tular semula video yang kononnya rakaman audio suara saudara yang mengkritik DAP dengan mengatakan DAP merosakkan pemimpin Melayu dalam kerjasama politik. Apa komen dan justifikasi saudara?

RAFIZI: Saya ingat, dalam bulan November 2019. Semasa itu saya sudah bersara daripada politik tetapi ada satu kumpulan yang pujuk saya dan kata nak dengar pandangan saya mengenai keadaan politik kerana PH ketika itu buntu mengenai permainan perkauman yang menyerang DAP bertalu-talu.

Janji kumpulan itu adalah, ia perjumpaan tertutup, tak ada rekod dan sebagainya. Pada masa itu, tidak banyak perbincangan mengenai strategi. Tapi, ada seorang ‘malaun’ dalam itu yang merekodkan tapi rekod itu tak berlaku jujur sebab dia edit.

Jadi, konteksnya, saya ditanya kenapa orang Melayu ini tidak peduli pasal rasuah. Kenapa Melayu sebut pasal DAP, mereka marah.

Jadi, saya menerangkan bahawa persepsi Melayu itu ada pelbagai. Untuk mengatakan Melayu itu kalau undi UMNO atau Pas, mereka tak peduli pasal rasuah tak betul.

Untuk mengatakan juga bila undi Melayu ini takut dan ada sedikit kebimbangan mengenai DAP, kita tak boleh tolak 100 peratus sebagai ini permainan UMNO.

Tak juga kerana kita kena meletakkan diri kita dalam keadaan pengundi Melayu itu. Kenapa mereka fikir macam tu. Saya terangkan kenapa mereka fikir begitu.

Tapi, dia tak ambil bahagian lain dalam konteks saya menerangkan punca dan pandangan sesetengah orang Melayu.

Ada orang Melayu yang merasakan mereka melihat DAP ini, bila mereka tengok rekod dan bila tidak diterangkan dengan baik oleh PH sendiri dan tiada jawapan, sudah tentu mereka rasa ini nak ambil kesempatan dan itu membantu naratif UMNO dan Pas.

Jadi, saya terangkan kalau nak kita selesaikan masalah ini, jangan kata Melayu kalau mereka undi UMNO dan Pas, mereka tak peduli pasal rasuah.

Sebab itu orang marah kepada PH. Kamu sebut begitu seolah-olah Melayu itu tak cerdik. Hanya kerana mereka suka UMNO dan Pas kerana bimbang tentang DAP, bukan bermakna mereka suka tentang rasuah tetapi kebimbangannya itu dijawab.

Sebabnya adalah ada yang tanam, ada yang sebut, ada orang berikan rentetannya.

Tapi, sudah tentulah ‘malaun’ itu dia nakal. Dia ambil dan edit dan itu yang digunakan sekarang. Orang yang bertanggungjawab itu, saya tahu siapa orangnya kerana dia adalah salah seorang anggota PKR.

Selepas pilihan raya nanti, kita akan ambil tindakan sebab dia berniat jahat. Jadi, bab itu saya tak bimbang kerana saya hidup dalam lensa rakyat ini selama 10 tahun.

Pandangan saya konsisten, orang Melayu tahu dan bukan Melayu juga tahu. Adakalanya orang suka dan yang tak suka, cuma saya merasakan ada isu-isu yang saya rasakan tak boleh dilihat daripada perspektif sempit partisan semata-mata.

Kalau PH untuk bercakap pasal Melayu, tak boleh semata-mata kata ini sebenarnya permainan persepsi oleh UMNO dan BN, kita kena jawab.

Untuk menjawab itu, kita kena faham kenapa mereka rasa begitu. Klip yang diambil itu dia ambil masa tengah terang bab itu. Ada segelintir yang berfikiran begitu dan kita kena jawab.

FAHIZ: Selepas seketika berundur, saudara kembali ke pentas politik dan terus menang pemilihan parti sebagai Timbalan Presiden. Kredibiliti saudara begitu terserlah dan semestinya menjadi salah satu nama yang bakal menjadi Presiden parti pada masa hadapan. Adakah saudara pernah terfikir ke arah itu?

RAFIZI: Saya tak tahu orang lain tapi saya sebenarnya tak pernah ada rancangan untuk menjadi ahli politik sepanjang masa.

Cuma PKR ini adalah organisasi yang saya sertai dan mula daripada muda dan menjadi keluarga. Kadang-kadang, bila PKR perlukan khidmat kita, tak baik untuk kita mengecewakan harapan orang.

Soal masa depan menjadi presiden dan sebagainya, saya tak tahu, macam dahululah pada 2018 saya berkempen.

Sampai masa, saya rasa tugas dan misi saya telah selesai dan habislah misi saya. Itulah saya tak faham orang politik ini tidak reti ‘draw a line’ seolah-olah hidup mereka tiada misi.

Cuma, saya selalunya tegas dan untuk saya melaksanakan amanah ini, saya perlu beberapa perkara termasuklah mandat.

Jadi, saya jadi timbalan presiden bukan sebab nak duduk dalam bilik ni. Saya sebenarnya perlukan mandat yang jelas daripada anggota parti untuk saya melakukan pembaharuan.

Bila saya dapat mandat, saya buat kerja. Bila habis kerja, terpulanglah bila saya nak bersara pada umur berapa.

FAHIZ: Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim tumbang di Tambun, siapakah Perdana Menteri alternatif PH?

RAFIZI: Insya-ALLAH, saya tak rasa Datuk Seri Anwar akan tumbang sebab kami dah semak.

Tinggal sekarang ini yang terbuka adalah, apakah PH boleh menang mencukupi 112 kerusi.

Kita fokus yang itu, soal Tambun bagi saya insya-ALLAH. Melihatkan kepada laporan di lapangan, saya rasa itu perkara tidak berbangkit.

Klik di sini untuk terus membaca