PELBAGAI cara digunakan oleh para penyeludup dadah untuk menyeludup pil captagon ke Timur Tengah termasuk menggunakan biri-biri sehingga mengejutkan pihak berkuasa di negara-negara Arab yang bertungkus lumus membanteras penyeludupan... Klik di sini untuk terus membaca

PELBAGAI cara digunakan oleh para penyeludup dadah untuk menyeludup pil captagon ke Timur Tengah termasuk menggunakan biri-biri sehingga mengejutkan pihak berkuasa di negara-negara Arab yang bertungkus lumus membanteras penyeludupan narkotik.

Captagon ialah salah satu dadah haram di Timur Tengah yang paling banyak digunakan dan berkait rapat dengan methamphetamine atau meth iaitu satu lagi pil perangsang sintetik yang lebih mujarab dan kini banyak dikeluarkan di makmal-makmal haram di Syria dan Lubnan.

Pada kebiasaanya pil itu diambil dengan menelannya melalui mulut tetapi ia juga boleh dihancurkan dan dihidu serta menjadi popular dalam kalangan pelajar serta pemandu teksi di Timur Tengah kerana mereka boleh berjaga malam termasuk golongan profesional yang berharap untuk kekal fokus dalam tempoh lama.

Pada awal 1960-an, captagon telah dipatenkan di Jerman dan pertama kali digunakan untuk merawat gangguan defisit perhatian dan narkolepsi atau masalah tertidur tetapi kemudian diharamkan pada tahun 1980-an, namun ia menjadi salah satu ubat haram paling popular di Timur Tengah.

Di jalan-jalan di Riyadh, Arab Saudi, pil berwarna putih yang dicop dengan bunga itu dijual dari AS$6 (RM28.48) hingga AS$27 (RM128.14) dan ia amat dalam kalangan penggunanya kerana mempunyai kualiti terbaik.

Caroline Rose iaitu penganalisis kanan dari New Lines Institute di Amerika Syarikat (AS) yang menyiasat perdagangan pil tersebut berkata kepada AFP bahawa captagon boleh meningkatkan produktiviti dan dikenali sebagai dadah rekreasi.

Kebanyakan pil itu mengandungi amphetamine dan penyalahgunaannya boleh menyebabkan kerosakan saraf, masalah otot serta jantung manakala pelbagai bahan yang terdapat di dalamnya juga boleh mendatangkan risiko kesihatan serius.

Berikutan popularitinya, beberapa buah delima besar digunakan untuk menyeludup masuk pil tersebut ke Arab Saudi pada April 2021 apabila pihak berkuasa menemuinya disembunyikan di dalam buah itu ketika penghantaran dibuat melalui kapal ke pelabuhan Jeddah.

Lebih daripada 5.3 juta pil itu ditemui oleh pihak berkuasa menyebabkan negara tersebut melarang import buah-buahan dan sayur-sayuran dibawa masuk ke Arab Saudi dari Lubnan.

Mengikat senjata atau dadah pada haiwan ternakan untuk melintasi sempadan adalah helah penyeludupan lama manakala kartel Amerika Latin pernah mengambil langkah lebih jauh dengan menjahit beg kokain dan heroin ke dalam anjing dan binatang lain.

Menggunakan haiwan ternakan untuk menyeludup dadah turut digunakan di Kuwait.

Pada November 2021, pihak berkuasa Kuwait telah menemui 17 kilogram (kg) pil captagon di dalam perut biri-biri import hidup dan bungkusan dadah tersebut berjaya dikeluarkan dari perut haiwan itu selepas ia disembelih.

Pihak berkuasa Lubnan juga menemui sembilan juta pil tersebut yang disembunyikan dalam sejumlah oren plastik palsu ketika ia sedang dihantar ke Kuwait pada Disember 2021 sekali gus menyebabkan beberapa orang ditangkap.

Seminggu sebelum itu, sebanyak 1.1 juta pil yang disumbat ke dalam limau-limau plastik ditemui oleh pihak kastam Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan anggaran mencecah sehingga AS$15.8 juta (RM74.85 juta).

Buah zaitun juga digunakan oleh para penyeludup dadah untuk membawa masuk pil tersebut ke Jordan yang mana pihak berkuasa negara berkenaan berjaya menemui 37,000 pil tersebut yang disembunyikan di dalam buah berkenaan pada tahun 2015.

Seorang suspek dilaporkan ditangkap dan ribuan buah zaitun dimasukkan pil captagon yang dibungkus dalam beg plastik kecil dirampas.

Dalam pada itu, unit dadah Syria telah menahan seorang lelaki pada Disember tahun lalu berhubung penemuan 160,000 pil tersebut di dalam buah zaitun.

Pada September lalu, pihak berkuasa Syria mengumumkan ia telah merampas sebanyak 24kg captagon yang telah dihancurkan dan dibentuk semula supaya ia kelihatan seperti mangkuk tembikar menyebabkan seorang lelaki telah ditangkap di Damsyik selepas cubaannya menyeludup dadah tersebut dipatahkan.

Pihak berkuasa Arab Saudi turut menemui lebih daripada dua juta pil tersebut yang disembunyikan dalam penutup balang pes tomato pada Julai 2021 selepas ia melakukan pemeriksaan melalui mesin X-ray.

Pesawat ringan turut digunakan untuk menyeludup pil yang popular itu di Iraq.

Pada Jun lalu, pasukan keselamatan Iraq melepaskan tembakan ke arah sebuah pesawat udara mikro ringan berhampiran sempadan Kuwait, namun juruterbangnya berjaya melarikan diri tetapi satu juta pil captagon ditemui dalam pesawat yang ditinggalkan itu.

Agensi Perisikan dan Penyiasatan Persekutuan negara tersebut berkata bahawa ia memasuki ruang udara Iraq dari Iran dan pihaknya telah mendapat maklumat menyebabkan pesawat tersebut ditembak sehingga memaksa juruterbangnya membuat pendaratan cemas.

Bagaimanapun, juruterbang itu kemudian bertindak melarikan diri ke sempadan negara jiran. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca