INSIDEN 10 hari lalu itu jelas menimbulkan satu tanda tanya besar dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia.
Keributan petang 25 Oktober lalu menyaksikan berbilion pengguna aplikasi WhatsApp di seluruh dunia tidak dapat berhubung sesama sendiri untuk beberapa jam.
Di Malaysia, ramai kelihatan hilang punca seketika, semuanya gara-gara gagal melayari aplikasi WhatsApp. Timbul satu persoalan di benak pemikiran penulis. Apakah WhatsApp terlalu menguasai kehidupan rakyat Malaysia.
Penulis sendiri yang ketika ini berada di Pekanbaru, Indonesia, tidak terkecuali terkesan dek insiden ini.
Kegagalan menghubungi anak berusia 19 tahun di Malaysia selepas bertalu-talu menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp menyebabkan penulis hampir sakit jantung.
Pada masa yang sama, penulis menerima berpuluh pesanan ringkas (SMS) dan Facebook Messenger, bertanyakan apa sudah jadi dengan WhatsApp.
Pada tarikh tersebut perkhidmatan aplikasi WhatsApp terganggu lebih tiga jam. Apa pelajaran yang boleh kita belajar daripada insiden ini?
Jelas sekali sepanjang tempoh tiga jam itu ramai sukar menumpukan perhatian kepada pekerjaan. Dalam erti kata yang ringkas, ramai hilang punca gara-gara gagal melayari aplikasi WhatsApp.
Beberapa hari kemudian, laman web Pemantauan Status Perkhidmatan WhatsApp, DownDetector melaporkan penurunan jumlah pengguna secara mendadak sepanjang tempoh itu kerana kegagalan mengakses aplikasi tersebut.
Pemilik WhatsApp, Mark Zuckerberg, yang membeli aplikasi tersebut menerusi syarikat Meta Inc pada 2014 dengan nilai AS$19 bilion (RM90 bilion), menegaskan beliau sedar dengan masalah dihadapi pihaknya.
Namun, sehingga kini, WhatsApp belum memberi punca musibah tersebut.
Sebenarnya, ini bukan kali pertama WhatsApp berdepan isu berkenaan. Pada 5 Oktober tahun lalu, tiga aplikasi media sosial iaitu Facebook, WhatsApp dan Instagram gagal dilayari pengguna setia.
Insiden berkenaan menyebabkan Zuckerberg rugi hampir AS$6 bilion (RM28.4 bilion) gara-gara saham jatuh menjunam. Zuckerberg kemudian memohon maaf kepada pengguna setianya.
Sehingga akhir tahun ini, WhatsApp diramal memiliki lebih 2.3 bilion pengguna aktif dengan lebih 100 bilion mesej dihantar setiap hari di seluruh dunia. Pada 2012, pengguna WhatsApp hanya 100 juta dengan 1 bilion mesej dikirim setiap hari.
Angka tersebut meningkat mendadak sehingga 30 bilion mesej sehari daripada 900 juta pengguna pada 2015.
Sehingga Jun 2022, sejumlah 98.7 peratus responden di Malaysia menyatakan aplikasi komunikasi kegemaran mereka ialah WhatsApp.
Ketika ini, bilangan pengguna telefon pintar di Malaysia dianggar mencecah 29.46 juta. Ia diramal meningkat kepada 30.74 juta menjelang 2025.
Daripada jumlah tersebut, pengguna WhatsApp di Malaysia melebihi 22 juta pengguna dan diramal meningkat kepada 25 juta menjelang 2025.
Penulis tertanya-tanya bagaimana WhatsApp menjadi sangat popular dalam tempoh yang singkat? Penulis percaya ia ada kaitan dengan kebolehupayaan aplikasi WhatsApp dipasang pada hampir mana-mana peranti.
Aplikasi ini yang menawarkan penyulitan ‘hujung-ke-hujung’ atau ‘end-to-end’ untuk mesej sekali gus menyebabkan ia sesuai untuk kaedah komunikasi berkumpulan.
Senario ini disebut ALLAH SWT dalam Surah Al-Israa' ayat [17:36-37] bermaksud, "Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta untuk dipertanggungjawabkan; Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.”
Penulis mendapati WhatsApp memiliki banyak fungsi yang mudah digunakan. Antara ciri menarik WhatsApp ialah Can Create Groups dengan hanya one share link button.
Chat with yourself pula membolehkan berbual dengan diri sendiri bagi menyimpan nombor sendiri.
Kehebatan ketara ialah WhatsApp Application Security yang mengandungi ciri khas bagi meningkatkan keselamatan aplikasi mesej segera seperti WhatsApp boleh dibuka kodnya hanya dengan cap jari pengguna.
Bagaimanapun, apa juga kehebatannya, penulis berharap rakyat Malaysia mampu untuk mengendalikan diri sendiri ketika WhatsApp berdepan musibah.
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca