JAYAPURA - Kematian aktivis kemerdekaan Papua, Filep Karma pada Selasa lalu meninggalkan persoalan mengenai masa depan wilayah Indonesia yang bergolak itu. Jasad Filep, 63, ditemukan terdampar di pantai Base-G di Jayapura dan menurut... Klik di sini untuk terus membaca

JAYAPURA - Kematian aktivis kemerdekaan Papua, Filep Karma pada Selasa lalu meninggalkan persoalan mengenai masa depan wilayah Indonesia yang bergolak itu.

Jasad Filep, 63, ditemukan terdampar di pantai Base-G di Jayapura dan menurut pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Papua, Frits Ramandey, tiada indikasi bahawa kematian bekas pemimpin pemisah itu berpunca daripada perbuatan khianat.

Filep yang pernah dihumban selama lebih sedekad di sebalik tirai besi dipercayai meninggal dunia ketika melakukan aktiviti menyelam.

Semasa hayatnya, mendiang secara konsisten menyuarakan kemerdekaan Papua dan dianggap sebagai tokoh penting dalam menyelesaikan konflik di wilayah tersebut tanpa melibatkan sebarang kekerasan.

Namun selepas kematiannya, pemantau menganggap ideologi Filep turut 'terkubur' bersamanya.

"Ketika tokoh ini sudah tiada, boleh dianggap bahawa ideologinya sudah berakhir dan penyelesaian damai Papua juga tidak akan tercapai.

"Kita melihat konflik di Papua tidak dapat diatasi sepenuhnya menerusi dialog, apatah lagi ia berlatarbelakangkan keganasan," kata Ketua Pemantau Jaringan Damai Papua, Adriana Elisabeth.

Pada masa sama, Adriana percaya terdapat beberapa pihak yang memberi pelbagai interpretasi berhubung kematian Filep kerana ia berlaku di tengah-tengah situasi konflik.

Malah katanya, kematian Filep juga tidak akan memadamkan keinginan individu atau kelompok tertentu untuk meraih kemerdekaan daripada Indonesia.

"Oleh kerana konflik masih berlanjutan dan pendirian sesetengah orang termasuk Filep Karma yang menganggap bahawa penyelesaian damai terbaik untuk Papua adalah kemerdekaan tidak akan terhenti.

"Jadi, kematian Filep sudah tentu mendorong penduduk Papua semakin berani mengatakan bahawa adalah lebih baik untuk mengadakan pungutan suara bagi mendapatkan kemerdekaan," ujarnya.

Perjuangan tetap diteruskan

Sementara itu, Jurucakap Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB), Sebby Sambom menegaskan bahawa kematian Filep tidak akan memadam perjuangan mereka untuk menuntut kemerdekaan.

"Meskipun Filep sudah tiada, namun kematiannya tidak sesekali melunturkan semangat perjuangan kami.

"Malah, kematiannya memberikan kami semangat untuk terus berjuang tambahan pula kami kini sudah memiliki kebangkitan nasional melalui organisasi-organisasi yang sehaluan," ujar Sebby.

Sejak 2018, TPNPB meningkatkan serangan terhadap anggota keselamatan Indonesia yang ditempatkan di Papua.

Menurut laporan Institut Analisis Dasar Konflik (IPAC) yang berpangkalan di Jakarta, peningkatan kekerapan serangan adalah disebabkan TPNPB memperoleh lebih banyak senjata dengan menyerbu dan mencuri daripada pos tentera, pembelian rentas sempadan dan penjualan haram senjata kerajaan oleh pegawai korup.

Pelajar Papua mengadakan perhimpunan di Surabaya menuntut pungutan suara untuk kemerdekaan wilayah itu pada tahun lalu.

Berpendirian teguh

Filep dianggap sebagai tokoh yang berpendirian teguh dan memiliki pandangan bahawa Papua lebih baik jika tidak bersama Indonesia.

Mendiang adalah tahanan politik yang dipenjarakan kerana menaikkan bendera Bintang Kejora dan disabitkan bersalah kerana cuba melancarkan gerakan kemerdekaan pada 2004.

Pihak berkuasa bersetuju mengurangkan hukumannya (menjalani 11 tahun daripada 15 tahun penjara) kerana berkelakuan baik.

Pembebasannya pada waktu itu tertangguh selama beberapa bulan selepas dia enggan mengaku bersalah, antara syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sebaik melangkah keluar dari penjara, Filep disambut penuh emosi beratus-ratus penyokongnya.

Difahamkan, pembebasannya pada 2015 adalah sebahagian daripada pengampunan yang diberikan Presiden Joko Widodo (Jokowi) terhadap sejumlah tahanan politik di Papua.

Sejurus dibebaskan, Filep kembali mengulangi ikrarnya untuk terus memperjuangkan kemerdekaan Papua secara aman.

Kematian

Filep ditemukan tidak bernyawa oleh penduduk di pantai Base-G, Jayapura pada Selasa lalu.

Berdasarkan keterangan keluarga, kematiannya berpunca akibat lemas semasa melakukan aktiviti menyelam.

Di lokasi kejadian, polis menemui peralatan memburu ikan, motosikal dan pelampung.

Ketua Siasatan Jenayah Kota Jayapura, Asisten Komisioner Dean Mackbon berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan penduduk dan membuat kesimpulan awal bahawa punca kematiannya adalah disebabkan lemas.

Pun begitu, agensi Hak Asasi Manusia Amnesty International Indonesia mendesak pihak berkuasa melakukan penyiasatan telus bagi menentukan punca sebenar kematian Filep.

"Siasatan jenayah amat penting untuk menentukan sama ada kematian Filep akibat perbuatan khianat kerana sebelum ini beberapa aktivis yang lantang di Papua menjadi sasaran kekerasan.

"Apa lagi, mendiang amat terkenal kerana membela nasib Orang Asli Papua," kata Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Usmad Hamid. - Agensi


Info

- Papua adalah bekas tanah jajahan Belanda yang terletak di daerah barat Pulau New Guinea.

- Walaupun kaya dengan khazanah alam, ia antara wilayah termiskin di Indonesia dan menjadi pusat kepada pemberontakan puak pemisah sejak sedekad lalu.

- Presiden Jokowi melawat Papua dan wilayah berdekatan Barat Papua beberapa kali ketika pemerintahannya dan mengadakan dialog dalam usaha membina kepercayaan dengan masyarakat Orang Asli Papua.

- Bagi mengurangkan jurang ekonomi antara kedua-dua wilayah, kerajaan di bawah pemerintahan Jokowi secara konsisten membangunkan beberapa infrastruktur termasuk jalan raya dan kemudahan penjagaan kesihatan, walaupun antaranya dimusnahkan pemisah Papua.

- Papua diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka pada 1961 tetapi negara jiran, Indonesia menguasai wilayah itu dengan cara paksa pada 1963. Jakarta secara rasmi menguasai Papua pada 1969 dengan mendapat undian dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ia dianggap sebagai palsu.

Klik di sini untuk terus membaca