SHAH ALAM - Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menasihatkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak sekadar menabur pelbagai janji projek pembangunan kepada penduduk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menasihatkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak sekadar menabur pelbagai janji projek pembangunan kepada penduduk Parlimen Kuala Selangor hanya pada musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semata-mata.

Sebaliknya bekas Menteri Kesihatan itu turut mencabar Tengku Zafrul yang dicalonkan bertanding di Parlimen Kuala Selangor atas tiket Barisan Nasional (BN), benar-benar menyelami denyut nadi dan sedia berkhidmat kepada 102,000 pengundi kawasan itu, sekali pun jika beliau kalah pada 19 November ini.

Menghormati keupayaan semua pencabarnya termasuk pesaing daripada Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA), Dr Dzulkefly berkeyakinan prestasi cemerlang beliau sewaktu berkhidmat selama tiga penggal di Parlimen Kuala Selangor bakal diterjemahkan dalam bentuk sokongan padu pengundi kawasan itu kelak.

"Saya tidak pernah gentar berdepan dengan mana-mana pencabar termasuk Tengku Zafrul sendiri.

"Cuma saya hendak nasihatkan beliau, pastikan pelbagai janji pemberian dan dan peruntukan pembangunan kepada rakyat itu tidak hanya rancak sewaktu kempen PRU15 semata-mata.

"Rakyat hendak tengok juga kalau BN gagal bentuk kerajaan Pusat kelak, mampukah Tengku Zafrul bekerja dan turun padang sepanjang masa untuk mereka dalam keadaan kewangan yang terkekang?

"Ingat rakyat bukan hanya menilai sebanyak mana peruntukan disalurkan sewaktu kempen PRU, tetapi mereka akan memerhati prestasi perkhidmatan ahli politik untuk keseluruhan tempoh penggal perkhidmatan," tegas Dr Dzulkefly kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas implikasi pertembungan beliau dengan Tengku Zafrul di Parlimen Kuala Selangor yang boleh dianggap sebagai salah satu kerusi 'panas' yang bakal menjadi tumpuan rakyat pada PRU15.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sekurang-kurangnya terdapat 22 kerusi 'panas' dikenal pasti bakal menjadi medan ujian parti politik bagi mempertaruhkan nama-nama pemimpin besar.

Selain Dr Dzulkefly dan Tengku Zafrul, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli daripada GTA dan Timbalan Yang Dipertua Pas Kuala Selangor, Mohd Fakaruddin Ismail sudah mengesahkan hasrat mencuba nasib di Parlimen berkenaan.

Sheikh Omar

Bagi calon Pakatan Harapan (PH) bertanding kerusi Parlimen Ayer Hitam, Sheikh Omar Bagharib Ali, beliau lebih selesa bergelar calon 'underdog' pada saat berdepan cabaran getir menentang Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kelak.

Ujar Naib Pengerusi DAP Johor itu, dengan Parlimen Ayer Hitam mengalami penambahan lebih 20,000 pengundi pada PRU15, beliau percaya PH lebih berpeluang untuk merampas kerusi deposit tetap MCA itu.

"Saya anggap situasi pertembungan saya dengan Ka Siong adalah seumpama David melawan Goliath, di mana Ka Siong sudah berkhidmat di situ selama empat penggal, manakala saya pula menjadi wakil rakyat di kawasan DUN Paloh bersebelahan Parlimen itu.

"Namun dengan kadar penambahan pengundi muda dan daftar automatik sebanyak 20,000 orang, saya rasa tidak mudah untuk Ka Siong menang kali ini sekiranya kadar peratusan rakyat keluar mengundi tinggi.

"Saya tidak mahu berkeyakinan terlalu tinggi, tetapi saya percaya peluang PH untuk menang kerusi Parlimen Ayer Hitam kali ini adalah sangat besar susulan rakyat kawasan itu mahu melihat perubahan dari aspek pembangunan infrastruktur," katanya.

Untuk rekod, pada PRU14 lalu, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong tewas dengan majoriti 303 undi kepada Ka Siong yang turut memenangi kerusi berkenaan buat penggal keempat.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah, Adly Zahari pula percaya faktor pemilihan beliau sebagai anak tempatan adalah kelebihan utama PH untuk merampas kerusi Parlimen Alor Gajah pada PRU15, berbanding penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (PN) dan Ketua Penerangan BN, Shahril Sufian Hamdan.

Adly Zahari - Foto Bernama

Berjanji akan menunaikan agenda pembangunan Alor Gajah untuk dijadikan bandar satelit, Adly yang pernah menjadi Ketua Menteri Melaka bagaimanapun mengakui hasrat itu tergendala setelah kerajaan PH dijatuhkan di peringkat negeri dan pusat.

Tegasnya, daripada keseluruhan tiga aspek pendidikan, perumahan dan industri yang dijanjikan kepada penduduk Alor Gajah, hanya rencana pembangunan perumahan sahaja yang berjaya dilaksanakan beliau sewaktu menjadi ketua menteri.

"Berdasarkan latar belakang Pak Wan (Mohd Redzuan) dan Shahril, mereka bukan anak tempatan berbanding saya yang memang dilahirkan di Durian Tunggal, salah sebuah DUN dalam Parlimen Alor Gajah.

"Saya juga sebenarnya sudah mendekati pengundi Alor Gajah sejak berpuluh tahun lagi dan yakin kapasiti saya yang pernah menjadi ketua menteri bakal memberi kelebihan untuk rakyat kawasan itu lebih mengenali saya.

"Keseluruhannya, saya merasakan PH mempunyai kelebihan besar untuk menang di Parlimen Alor Gajah. Isu masalah dalaman dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga sudah selesai apabila Ketua PKR cabang Alor Gajah, Ginie Lim sudah komited untuk membantu jentera kami," luah beliau lagi.

Klik di sini untuk terus membaca