GANDINGAN ahli keluarga dan anak-beranak sebagai calon bakal mewarnai Pilihan Raya Umum ke-15. Ini termasuklah penampilan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim (Parlimen Tambun); isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak)... Klik di sini untuk terus membaca

GANDINGAN ahli keluarga dan anak-beranak sebagai calon bakal mewarnai Pilihan Raya Umum ke-15.

Ini termasuklah penampilan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim (Parlimen Tambun); isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak) dan anak sulung mereka, Nurul Izzah (Permatang Pauh).

Anak Lim Kit Siang daripada DAP, Lim Guan Eng akan bertanding di Parlimen Bagan manakala adiknya, Senator Lim Hui Ying di Tanjong.

Daripada Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi dan Jerlun.

Banyak lagi nama keluarga politik yang terkenal di Malaysia sepanjang sejarah, sama ada daripada parti yang sama atau berbeza fahaman politik.

Bekas Perdana Menteri keenam yang kini menjalani hukuman penjara, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah anak Perdana Menteri kedua, Tun Razak Hussein.

Anak Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn iaitu Datuk Seri Hishammuddin pula bakal mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong.

Datuknya, Onn Jaafar ialah pengasas UMNO.Sementara Khairy Jamaluddin yang bertanding di Parlimen Sungai Buloh ialah menantu bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Fenomena politik dinasti ini mendunia sifatnya. Filipina, Indonesia, India, Pakistan dan Sri Lanka masing-masing ada cerita baik dan buruk mengenainya.

Amerika Syarikat (AS) memiliki banyak sekali dinasti politik. Penulis AS, Peter Schweizer menyebut keluarga Bush sebagai "dinasti politik paling berjaya" sepanjang sejarah AS.

Keluarga Bush telah melahirkan dua presiden iaitu George H.W. Bush dan George W. Bush, masing-masing presiden ke-41 dan 43, seorang Gabenor Texas (George W. Bush), seorang Gabenor Florida (Jeb Bush), seorang Pengarah CIA (George H.W. Bush), dan seorang Senator dari Connecticut (Prescott Bush).

Sesiapa sahaja boleh menjadi ahli politik tetapi hubungan kekeluargaan sering memberi kelebihan dan menjadi batu loncatan.

Kajian oleh The Conversation yang disiarkan dalam jurnal Historical Social Research pada tahun 2018 menunjukkan secara purata satu daripada 10 pemimpin dunia datang daripada keluarga politik.

Kajian itu meneliti latar belakang 1,029 eksekutif politik – iaitu presiden dan perdana menteri – di sub-Sahara Afrika, Asia, Eropah, Amerika Utara dan Amerika Latin dari tahun 2000 hingga 2017. Ia mendapati 119, atau 12 peratus, daripada semua pemimpin dunia tergolong dalam keluarga politik.

Cerita ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi ini bukan terjadi dalam politik sahaja. Keluarga mendiang Lim Tang Too di Pulau Pinang mungkin mempunyai ahli keluarga yang paling ramai menjadi doktor. Kesemua mereka berjumlah 45 orang, yang merupakan anak, cucu dan cicit Tang Too.

Mendiang dan isterinya sentiasa memberi penekanan terhadap pendidikan bagi kesemua 11 anak mereka, dan hasilnya, lapan daripada mereka menjadi doktor.

Cikgu Fadli Salleh yang tular baru-baru ini selepas menegur silibus Matematik sekolah rendah yang disifatkan tak masuk akal, rupa-rupanya dibesarkan dalam ‘keluarga guru’.

Kesemua sembilan beradik, lapan ipar, semuanya guru! Mereka mengikut jejak langkah si ayah, Allahyarham Mohamed Salleh Hussain, mantan Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kota Bharu.

Sembilan beradik itu ialah Cikgu Norhana; Cikgu Norasma; Cikgu Mohd Ariff; Cikgu Solihah; Cikgu Dr Salbiah; Cikgu Mohd Fadli; Cikgu Nur Afifah; Cikgu Ahmad dan Cikgu Siti Faizah.

Senarai keluarga besar ini tentulah lebih panjang lagi kalau kita menjengah dunia hiburan dan perniagaan.

Dalam politik, tiada masalah jika anak mengikut jejak langkah bapa atau ibu. Yang menjadi isu adalah apabila anak tersebut gagal menjalankan amanah, bersikap diktator apatah lagi makan duit haram.

Politik anak-beranak juga menyekat peluang individu yang lebih berbakat. Inilah masalah pemusatan kuasa kepada keluarga tertentu.

Amalan yang mementingkan atau melebihkan sanak saudara dan kawan-kawan sendiri sahaja atau disebut sebagai nepotisme inilah yang sering mencetuskan kritikan, kecualilah dia benar-benar layak dan berkebolehan.

Namun selagi namanya demokrasi, dinasti politik akan selalu ada. Sesiapa pun boleh bertanding tetapi akhirnya rakyatlah yang akan membuat pilihan.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca