SHAH ALAM - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yakin faktor latar belakang pendidikan serta sentimen positif anak muda terhadap Perikatan Nasional (PN) menjadi kunci utama beliau mampu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yakin faktor latar belakang pendidikan serta sentimen positif anak muda terhadap Perikatan Nasional (PN) menjadi kunci utama beliau mampu merampas kerusi Parlimen Machang dari tangan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Menteri Perpaduan Kaum itu berkata, meskipun keputusan pencalonan kerusi panas itu atas percaturan pucuk kepimpinan PN, beliau sangat positif mampu mencipta kejutan ke atas penyandang kerusi Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang juga Pengerusi BN Kelantan.

Ujarnya, meskipun Ahmad Jazlan sudah berkhidmat di kawasan berkenaan lebih empat penggal, Machang masih agak ketinggalan dari aspek pembangunan infrastruktur awam.

"Saya menghormati jasa Ahmad Jazlan yang telah lama berkhidmat di Parlimen Machang, tetapi lebih 88,000 pengundi kawasan itu mahukan rencana pembangunan yang seiring dengan Parlimen jiran seperti Tanah Merah dan Jeli.

"Untuk itu, saya merancang menjadikan agenda pembangunan infrastruktur dan penyaluran pelbagai projek khas kepada penduduk tempatan sebagai manifesto utama saya bagi memacu ekonomi domestik rakyat Machang ke tahap lebih baik.

"Berkenaan peluang merampas kerusi Machang, saya sentiasa menganggap diri sebagai ‘underdog’, tetapi optimis mampu cipta kejutan kerana saya menerima sokongan yang sangat baik bukan sahaja daripada penyokong Pas dan PN Kelantan, bahkan daripada anak rantau Kelantan yang bekerja di Lembah Klang,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas implikasi pertembungan beliau dengan Ahmad Jazlan di Parlimen Machang yang boleh dianggap sebagai salah satu kerusi ‘panas’ yang bakal menjadi tumpuan rakyat pada PRU15.

Sementara itu, seorang lagi calon underdog daripada PN, Dr Muhammad Faiz Na’aman mengakui tidak gentar berhadapan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di kerusi Parlimen Bagan Datuk.

Mengakui terkejut diletakkan di kerusi mencabar berkenaan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu bagaimanapun akur dengan keputusan parti.

"Secara logiknya, saya mungkin hampir tiada peluang untuk menang di kerusi berkenaan, susulan ia dimenangi Ahmad Zahid sebanyak enam penggal dan saya pula calon luar dibawa masuk oleh parti atas keyakinan mampu memberi kejutan.

"Sebagai calon muda bersifat nasionalis dan progresif, saya percaya mampu bawa perubahan kepada rakyat Bagan Datuk dan berharap kemenangan di kerusi ini mampu menjadi platform penting kepada PN untuk kembali tawan Putrajaya,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca