SHAH ALAM - Kerusi Parlimen Alor Gajah, Melaka bakal menyaksikan tiga ‘gergasi’ akan bertanding mewakili parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang merupakan calon muka... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerusi Parlimen Alor Gajah, Melaka bakal menyaksikan tiga ‘gergasi’ akan bertanding mewakili parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang merupakan calon muka baharu Barisan Nasional (BN) akan ‘berentap’ dengan dua lagi pemimpin ternama iaitu bekas Ketua Menteri Melaka daripada Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari dan penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof daripada Perikatan Nasional (PN).

Meskipun dilabel sebagai calon muda, Shahril Sufian dilihat mempunyai kelebihan dengan mengambil kira statusnya sebagai ‘orang penting’ UMNO.

Adly pula bukan calang-calang calon memandangkan beliau juga memiliki pengikutnya yang tersendiri.

Bagi Mohd Redzuan atau lebih dikenali sebagai Pak Wan, kedudukannya selaku penyandang kerusi itu memberi kelebihan kepadanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pak Wan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PH menang dengan majoriti 6,980 undi.

Sementara itu, Parlimen Tambun, Perak juga tidak kurang hebatnya dengan PH mencalonkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala PN mengekalkan penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal, Anwar

Anwar yang ‘berpindah’ daripada Parlimen Port Dickson sememangnya mempunyai aura walaupun bukan anak jati kawasan berkenaan.

Presiden PKR yang diangkat sebagai calon Perdana Menteri PH itu dijangka memberi cabaran besar buat Ahmad Faizal yang menang PRU14 lalu dengan majoriti 5,320 undi. Beliau juga adalah anak tempatan manakala Anwar orang luar.

Di Parlimen Gombak menyaksikan pertembungan dua calon tumpuan melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Besar terkini, Datuk Seri Amirudin Shari (PH).

Amirudin

Jika dinilai dari prestasi pada pilihan raya sebelumnya, Mohamed Azmin yang menang dengan majoriti besar iaitu 48,721 atas tiket PH mempunyai kelebihan dan boleh dikatakan sebagai favorite pengundi di Parlimen berkenaan.

Namun Amirudin adalah tokoh politik yang sudah lama berakar umbi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua selain reputasi baik sebagai ketua kerajaan Selangor.

Kedua-dua mereka mempunyai kelebihan, namun sejauh mana sokongan terhadap kedua-dua figura ini masih menjadi tanda tanya.

Di Parlimen Pagoh, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mempertahankan kerusi itu yang disandangnya sejak 1995 selepas memenangi PRU9.

Beliau akan dicabar calon BN, Datuk Razali Ibrahim yang juga bekas Ahli Parlimen Muar selama tiga penggal iaitu pada PRU11, PRU12 dan PRU13 sebelum tewas kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan majoriti 6,953 atas tiket PH.

Muhyiddin sememangnya terkenal dalam kalangan pengundi kawasan tersebut namun kelebihan dimiliki Razali tidak boleh diketepikan sekali gus diramal akan memberi saingan sengit kepada bekas Perdana Menteri itu.

Di kerusi Bagan Datuk, Perak, Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat mempunyai kelebihan untuk menyaingi calon heavyweight PH, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Ahmad Zahid yang cuba mempertahankan kerusi bagi penggal ketujuh selepas menjadi Ahli Parlimen Bagan Datuk sejak 1995 mempunyai ramai penyokong setia, namun pada masa sama beliau terpalit kes rasuah dan berdepan kemungkinan dipenjarakan.

Shamsul Iskandar, 48, yang juga penyandang kerusi Hang Tuah Jaya di Melaka dianggap giant killer selepas beliau menewaskan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Tun Mohd Ali Rustam pada PRU13.

Di Titiwangsa pula, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang bertanding mewakili PH akan menerima tentangan calon BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Khalid, 65, mempertaruhkan rekod cemerlangnya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan ketika pentadbiran kerajaan PH selain berjaya mempertahankan kerusi Shah Alam selama tiga penggal.

Johari pula pernah bergelar Menteri Kewangan II dari 2016 hingga 2018 selain merupakan bekas Ahli Parlimen Titiwangsa.

Klik di sini untuk terus membaca