SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh dianggap sebagai ‘ibu pilihan raya’ apabila rekod jumlah calon bertanding kerusi Parlimen dijangka lebih ramai berbanding pilihan raya-pilihan raya sebelum ini.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, berdasarkan kiraan setakat Jumaat, hampir 800 calon menawarkan diri untuk bertanding dan beliau percaya akan berlaku peningkatan sebelum pusat penamaan calon dibuka pada hari ini.
Beliau berkata, tidak mustahil angka itu akan melepasi 1,000 orang termasuk Sabah dan Sarawak.
"Saya rasa PRU kali ini adalah ‘ibu pilihan raya’ kerana bakal merekodkan calon paling banyak, sekali gus memberi persaingan sangat sengit. Kalau diperhatikan pada PRU14 kebanyakan kerusi Parlimen adalah satu lawan satu, hanya beberapa kerusi sahaja menawarkan calon bebas,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai PRU15 yang dikatakan mencipta rekod jumlah calon paling ramai berbanding pilihan raya-pilihan raya sebelum ini.
Sivamurugan berkata, disebabkan jumlah yang besar itu, persaingan sengit akan berlaku terutama melibatkan pertembungan calon gergasi di beberapa Parlimen.
Sementara itu, Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, persaingan antara calon dijangka sengit terutama melibatkan empat atau lebih penjuru.
"Memang akan ada persaingan jika melibatkan lebih dua penjuru. Ini kerana, perpecahan undi akan menjadi lebih besar.
"Saya menjangkakan kebanyakan kerusi akan menyaksikan kemenangan dengan majoriti mudah di bawah 5,000 undi.
"Malah, mungkin ada kerusi yang menang majoriti tidak sampai 1,000 undi,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca