SHAH ALAM - Pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai senarai calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, mencetuskan polemik. Ia berikutan beberapa nama besar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai senarai calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, mencetuskan polemik.

Ia berikutan beberapa nama besar seperti Datuk Seri Shahidan Kassim tidak tersenarai sebagai calon bagi kerusi Parlimen mahupun DUN.

Lebih menarik apabila Shahidan yang merupakan penyandang Parlimen Arau dan penyandang Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dipilih sebagai calon Pas.

Pemilihan pemimpin BN itu diumumkan Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu PRU15 di Dewan Tok Guru, Rusila, Terengganu.

Kedua-dua mereka akan bertanding atas tiket PN.

BN pada Selasa, menggugurkan nama Shahidan untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau dan mengumumkan Datuk Rozabil Abdul Rahman sebagai pengganti calon di kawasan itu.

Ismail yang merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut digugurkan.

Ismail Muttalib menjadi Ahli Parlimen Maran selama empat penggal bermula tahun 2004 dan dalam tsunami politik PRU14 lalu beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Maran dengan majoriti 3,763 undi.

Sementara itu, dua lagi pemimpin Pas iaitu penyandang Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi turut menerima nasib yang sama apabila tidak disenaraikan parti itu.

Bagaimanapun, menariknya mereka berdua bakal bertanding dalam PRU15 menggunakan tiket BN.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mengesahkan perkara itu berkata, Mohd Khairuddin mempertahankan kerusi Kuala Nerus dan Che Abdullah Parlimen Tumpat.

Zambry berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Khamis yang memaklumkan mengenai baki tujuh lagi kerusi dimuktamadkan gabungan tersebut menghadapi PRU15.

"Ia menjadikan jumlah kerusi ditandingi oleh BN bagi kawasan Parlimen adalah 178,” katanya.

Keputusan bertanding atas tiket parti lain dilihat sebagai talian hayat terakhir untuk keempat-empat pemimpin tersebut kekal dalam arena politik dan pentadbiran kerajaan.

Klik di sini untuk terus membaca