AWANG tak pandai sangat nak terjemah dragon slayer ke dalam Bahasa Melayu. Awang gunakan 'penyembelih naga' sahaja. Ada yang kata giant killer atau 'pembunuh raksasa' lebih tepat.
Tapi pokoknya, Datuk Seri Shamsul Iskandar diberikan gelaran itu setelah menumbangkan tokoh besar UMNO Melaka yang juga Ketua Menteri, Tan Sri Ali Rustam (sekarang Tun) dalam PRU14. Pada masa itu Shamsul peroleh majoriti 8,640 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Beliaulah yang dihantar untuk bertarung dengan Tuk Seri Zahid Hamidi di Bagan Datuk. Ramai orang kata, Shamsul tak ada harapan menang. Zahid dah berkubu di situ. Dia Presiden UMNO, tentulah partinya tak mahu beliau kalah.
Tapi apabila Awang congak-congak dan darab-darab, sebetulnya Shamsul boleh juga menggugat. Zahid menang dengan majoriti 5,073 undi. Salah satu DUNnya, Hutan Melintang, kalah dengan 741 undi. Masa itu, dia Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.
Ramai orang mengharapkan Tawfik Tun Dr Ismail akan bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di situ. Tapi jikalau ikut kata Rafizi Ramli, Tawfik mungkin bukan orang yang sesuai di kawasan Parlimen di pedalaman. Beliau mungkin sesuai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bagaimanapun kita tengoklah nanti apakah Shamsul betul-betul akan jadi 'penyembelih naga' sekali lagi.
Klik di sini untuk terus membaca