BARISAN Nasional (BN) bertindak berani mempertaruhkan ramai muka baharu dan juga calon muda sebagai satu proses rejuvenasi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Tindakan berani BN itu berdasarkan strategi sama yang digunakan... Klik di sini untuk terus membaca

BARISAN Nasional (BN) bertindak berani mempertaruhkan ramai muka baharu dan juga calon muda sebagai satu proses rejuvenasi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tindakan berani BN itu berdasarkan strategi sama yang digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang menyaksikan BN menang mudah di kedua-dua negeri tersebut.

Ikuti wawancara eksklusif Sinar Live dikendalikan moderator, Nurul Riduan Nor Ashaha bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga calon BN Parlimen Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya membicarakan mengenai strategi rejuvenasi BN, isu semasa parti itu dan peluang BN pada PRU15.

SINAR HARIAN: Bagaimana perkembangan Datuk untuk menghadapi PRU15 nanti?

FATHUL BARI: Alhamdulillah, seperti yang telah diumumkan saya antara yang disenaraikan sebagai calon untuk Parlimen Kangar di bawah parti BN. Syukur kepada ALLAH dan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti atas kepercayaan diberikan.

- Pada malam pengumuman calon, kita dapat lihat senarai awal diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, 70 peratus calon adalah muka baharu. Jadi, sejauh mana Datuk melihat penampilan calon BN ini dapat menambat hati pengundi generasi X dan Y yang bertambah dalam PRU15 kali ini?

Saya lihat presiden parti menunaikan apa yang beliau janjikan iaitu melakukan rejuvenasi parti di mana menampilkan muka baharu sama seperti di PRN Melaka dan Johor dengan harapan mendapat kepercayaan pengundi khususnya anak muda yang mahu lihat ada perubahan dan lonjakan daripada parti cukup bersejarah ini. Sebelum ini BN memerintah kemudian diuji dengan kekalahan dan bangkit kembali dengan semangat penyatuan ummah.

Terdapat krisis perbezaan pandangan dan sebagainya sehingga terbentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kemudiannya wujud kerajaan BN dengan membawa semangat Keluarga Malaysia lebih kepada penyatuan dan toleransi sehingga mengekalkan kerajaan dalam tempoh setahun lebih. Saya kira ini satu usaha dan langkah yang diambil bukan sahaja oleh presiden bahkan merupakan satu keputusan bersama yang dinyatakan bukan sahaja dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO tetapi dalam Perhimpunan Agung UMNO.

Mudah-mudahan ia memberikan satu nafas baharu kepada UMNO dan memberikan satu pandangan positif anak muda khususnya kepada perubahan dan usaha yang dilakukan.

- Seperti Datuk katakan tadi ia mengulangi strategi PRN Melaka dan Johor dengan menampilkan majoriti muka baharu dan calon muda. Strategi itu nampak menjadi untuk diketengahkan pada PRU15. Namun dalam keadaan situasi semasa, adakah calon baharu dikemukakan BN kali ini selaras dengan aspirasi ‘WALI’ atau adalah orang presiden sendiri?

Pada saya, tentunya pemilihan calon ini adalah keputusan Top 5 dan kemudian Top 5 berbincang dengan pengerusi perhubungan negeri. Apa isi perbincangan saya tidak tahu. Hasilnya seperti yang kita lihat walaupun timbul pelbagai krisis seperti ada yang dicalonkan dan ada yang tidak, pada saya itu perkara yang biasa berlaku.

Seperti mana kalau kita tengok Pakatan Harapan (PH) sendiri pun hadapi isu sama sehingga berlaku pemecatan Pengerusi Amanah Kedah. Itu satu lumrah dalam politik bahkan dalam mendepani situasi politik hari ini yang masing-masing melihat ada peluang untuk membentuk sebuah kerajaan dengan kekuatan masing-masing atau melihat daripada perspektif pembentukan coalition selepas PRU15.

Mungkin ada yang melihat dari perspektif itu. BN dengan parti komponennya, jadi kita mengharapkan kita menang majoriti untuk bentuk kerajaan. Apa juga pendirian diambil untuk menyenaraikan calon ini saya kira dan harapkan ia adalah satu pandangan yang kolektif sepertimana dijanjikan kepimpinan parti dan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO iaitu diputuskan oleh Top 5. Jadi harapnya berlaku seperti mana yang saya harapkan.

- Jika kita beralih ke Perlis, pada PRU13 Datuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dan kurang bernasib baik selepas itu tercicir. Sekarang ini diberi peluang untuk merampas Parlimen Kangar daripada PKR, jadi macam mana kali pertama perasaan menerima amanah daripada pucuk pimpinan supaya ambil tugas ini?

Mungkin 10 tahun yang lalu saya agak naif dalam memahami rencam politik tanah air khususnya politik di kawasan yang mana UMNO ini berbeza daripada parti yang lain. UMNO ini teras politiknya adalah khidmat. Sebab itu kita tidak mudah untuk berpindah ke sana ke mari dan ia akan berbalik kepada siapa yang paling lama berada di situ, siapa yang telah berkhidmat dengan masyarakat di situ dan siapa yang ada dalam hierarki parti di situ.

Tetapi itu tidak berlaku dalam PH. Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Port Dickson terus ke Tambun. Rakan-rakan mereka daripada DAP, Pulau Pinang ke Gelang Patah dan sebagainya. Itu berlaku dalam parti lain. Tetapi, UMNO tidak boleh. Kita ada hampir berbelas ribu cawangan di seluruh Malaysia dengan purata satu cawangan antara 100 hingga 300 orang ahli setiap cawangan.

Ini jumlah yang cukup besar. Parti ini telah mempunyai struktur cukup lama. Saya cerita perkara ini bahawa untuk faham bahawa saya naif 10 tahun lepas kerana kita tidak tahu rupanya struktur dalaman UMNO seperti itu. Kita masuk ke kawasan yang bukan kawasan kita dan akhirnya kita menghadapi cabaran soal jentera dan memahami gerak kerja pilihan raya di kawasan tersebut.

Mungkin kita pandai isu nasional dan boleh menjawab isu Pas atau PKR pada ketika itu tetapi isu di kawasan adalah sangat berbeza. Hari ini, Alhamdullilah dari Arau saya berpindah ke Kangar, dulu saya dalam struktur bahagian di Arau kemudian sebelum PRU lepas saya berpindah ke Kangar.

Ketika ini saya Timbalan Ketua UMNO Kangar, saya berkhidmat menggerakkan jentera saya sendiri tentunya dengan sokongan daripada struktur parti di Kangar. Alhamdullilah saya dapat memahami selok- belok dan setidaknya memahami rencam dan rentak politik di sesuatu kawasan. Ia adalah UMNO style.

- Kalau kita imbas balik pemilihan calon di Perlis, dua calon boleh dikatakan senior Datuk iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin tidak terpilih. Dari situ wujud kemungkinan yang akan berlaku contohnya cah keting, boikot dan situasi yang memberikan hentaman kepada BN oleh wakil lama di Perlis itu. Adakah ia bakal melemahkan BN di Perlis?

Pertama sekali saya harapkan ada penyelesaian untuk mereka berdua. Keduanya, untuk berlaku adil, saya tidak nafikan Shahidan mempunyai sumbangan besar kepada orang di Arau khususnya dari sudut kewangan, sumbangan dan daripada apa jua bencana di Arau, dia adalah orang pertama yang sampai untuk selesaikan masalah. Itu satu perkara yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa, orang Perlis tahulah bagaimana cara dia berbelanja untuk orang di kawasan dia khususnya. Itu perkara positif yang orang luar kena tahu.

Orang luar melihat tindakan yang presiden ambil itu mungkin dari sudut optik persepsi orang muda hari ini yang nak ada rejuvenasi dalam UMNO. Tetapi, dari satu sudut realitinya, orang ini dah berkhidmat dan ada kekuatan. Sebab itu, apa yang terbaik adalah cari penyelesaian menang-menang.

- Apa pesanan untuk penyokong Datuk di Kangar nanti?

Saya mengharapkan dan memohon jasa baik anda semua untuk undi BN P002 Kangar. Insya-ALLAH selepas ini kita akan bertemu di kawasan dan telitilah website saya Fathulbari.my. Itulah sekadar yang saya mampu dalam tempoh empat, lima tahun ini berkhidmat sebelum Covid-19, semasa dan pasca Covid-19 ini. Demikian yang saya hidangkan kepada pengundi untuk membuat penilaian sendiri. Undilah BN dan undilah yang terbaik demi kestabilan dan kemakmuran negara kita.

Klik di sini untuk terus membaca