SHAH ALAM - Jentera parti dan calon-calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan supaya berkempen secara sihat selain tidak melanggar peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jentera parti dan calon-calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan supaya berkempen secara sihat selain tidak melanggar peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, calon-calon juga perlu menerangkan manifesto pilihan raya yang dibawa dengan jelas kepada pengundi sepanjang tempoh berkempen.

"Mereka (calon) haruslah berkempen secara sihat dan bijaksana seperti yang disebutkan dalam undang-undang mengikut tempoh rasmi kempen SPR.

"Calon dan parti politik yang terlibat perlu menjelaskan manifesto pilihan raya parti kepada pengundi dengan lebih terperinci, elakkan fitnah dan provokasi serta menghina satu sama lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Abdul Aziz turut mengingatkan jentera parti politik untuk mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya mahu mengadakan ceramah di tempat terbuka atau kawasan yang dibenarkan.

Sebelum ini SPR menerusi kenyataan memaklumkan, kertas penamaan calon boleh diserahkan bermula jam 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di 222 Pusat Penamaan Calon (PPC).

Pihak yang terlibat dalam proses berkenaan termasuk calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua atau seorang daripada mereka perlu hadir di PPC.

Sementara itu, berdasarkan laman web rasmi SPR, individu akan hilang kelayakan menjadi calon sekiranya didapati atau disahkan sebagai orang tidak sempurna akal, bankrap yang belum lepas atau memegang jawatan berpendapatan.

Selain itu, seseorang yang telah disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah di dalam Persekutuan, dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun, didenda tidak kurang RM2,000 dan belum menerima pengampunan juga hilang kelayakan menjadi calon.

Klik di sini untuk terus membaca