HAMPIR setiap lima tahun, negara kita akan menyambut ‘hari raya demokrasi’. Sebagaimana biasa, ramai yang tawarkan diri untuk bertanding bagi menempatkan diri dalam institusi demokrasi.
Sejujurnya, saya bukan pakar dalam menganalisis politik, namun saya cuba mengulas corak pemikiran dan tingkah laku calon yang ingin mendapatkan undi serta sejauh mana pengundi dipengaruhi, menurut perspektif psikologi.
Sebetulnya, bidang psikologi merupakan suatu kajian saintifik terhadap proses pemikiran dan tingkah laku manusia. Ia bertujuan untuk memahami bagaimana dan kenapa tingkah laku serta proses pemikiran sebegitu boleh berlaku.
Menurut perspektif psikologi, sikap individu adalah selari dengan kerangka taburan normal kecenderungan individu. Justeru, sikap memilih calon pada pilihan raya juga berdasarkan kerangka yang sama.
Menurut kerangka tersebut, seramai 16 peratus individu akan berada dalam kelompok menentang dan 16 peratus berada dalam kelompok menyokong. Dalam kelompok 16 peratus tersebut, terdapat dua peratus yang sangat ekstrem menentang dan menyokong.
Pendek kata, sokongan dan tentangan mereka umpama ‘tolak tidak rebah dan tikam tidak lut’.
Pun begitu, masih terdapat 68 peratus yang bersikap ‘atas pagar’ atau undecided voters. Ia bermakna, kelompok 68 peratus tersebut tentunya menjadi rebutan. Waktu itulah, yang kurap dan berkudis sanggup didakap, yang buta sanggup dipimpin dan yang tidak berupaya sanggup didukung.
Tidak dinafikan, kebanyakan ahli politik mempunyai kemahiran berpidato bagi menarik pengundi. Segala elemen pengucapan awam sebagai penghibur, pemberi maklumat, pelawak, pemujuk, penghasut dan pemberi semangat diadun dengan begitu baik sekali.
Yang penting, mereka berjaya mengherot-berotkan pemikiran pengundi agar terus menyokong mereka walaupun diri dan parti bukanlah sehebat mana.
TABUR JANJI
Apa yang diherot-berotkan kepada pemikiran kita? Paling utama, mereka akan memastikan pengundi sangat percaya bahawa mereka adalah paling suci dan bersih, manakala penentang mereka adalah kotor serta amat buruk.
Pelbagai pendekatan digunakan untuk ‘meracuni’ pengundi seperti melabel, menabur janji dan memfitnah bagi menjayakan agenda tersebut.
Bagi memperkukuhkan ‘racun’, permainan persepsi atau tanggapan dipersembahkan kepada pengundi sehingga kita takut untuk mengundi parti lawan. Tambahan pula, dengan teknologi yang canggih, mereka mempergunakan sepenuhnya social media algorithm bagi memperkasakan persepsi tersebut.
Jadi, tidak hairanlah segala propaganda berkaitan parti dan calon pilihan raya memenuhi platform media sosial bagi mempengaruhi pemikiran serta tingkah laku pengundi agar menyokong mereka.
Berkaitan dengan elemen psikologi dalam politik, banyak kajian membuktikan kepimpinan dalam politik banyak mempengaruhi pengundi terutama pengundi baharu.
Bagi mereka, first impression atau tanggapan pertama terhadap seseorang pemimpin itu sangat penting. Pemimpin sesebuah parti perlu menunjukkan mereka mempunyai karakter yang kuat, berintegriti, jujur, boleh menghadapi pelbagai cabaran, bijak berdiplomasi, berpandangan jauh, berdisiplin, berani, ikhlas serta bersungguh-sungguh menjalankan tugas sebagai pemimpin.
Bagi pemimpin yang terpalit dengan rasuah dan pelbagai kesalahan tingkah laku serta moral, terang-terangan akan ditolak oleh pengundi. Begitu juga dengan pemimpin yang mewah gaya hidupnya.
Menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Dari Hati ke Hati - "Gaya hidup mewah adalah racun amat berbahaya yang dapat memusnahkan kekuatan sesuatu bangsa. Sebab, dengan kemewahan, orang ingin hidup melebihi daripada kekuatannya, Tepat bunyi pepatah lama yang terkenal ‘katak hendak jadi lembu’.
Pada hemat saya, memilih calon pada pilihan raya perlu dilihat dari sudut yang lebih luas atau bigger picture. Kita perlu calon yang berwibawa dan berwawasan bagi memenuhi agenda nasional, bukannya agenda peribadi.
Undi kita sangat mahal, pilihlah dengan naluri dan rasional, bukannya beremosi.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca