IKAN bilis sudah pupus. Begitulah jawapan yang diterima oleh isteri saya ketika dia bertanya cikgu sekolah anak saya: "Kenapa di Tangkak, nasi lemak tidak ada ikan bilis?”Cikgu anak saya menjawab sambil berseloroh: "Ikan bilis sudah pupus... Klik di sini untuk terus membaca

IKAN bilis sudah pupus. Begitulah jawapan yang diterima oleh isteri saya ketika dia bertanya cikgu sekolah anak saya: "Kenapa di Tangkak, nasi lemak tidak ada ikan bilis?”Cikgu anak saya menjawab sambil berseloroh: "Ikan bilis sudah pupus agaknya.”

Di Tangkak, Johor, sarapan pagi nasi lemak tidak ada ikan bilis atau telur. Yang ada hanya nasi lemak, sambal nasi lemak dan kacang. Lauk-pauk yang lain adalah sebagai tambahan dan ada kos berasingan.

Jika bersarapan nasi lemak, kita kena tambah telur, sama ada telur rebus atau telur mata kerbau. Pilihan lauk yang lain pula ialah ayam goreng. Saya yang mempunyai sifat konservatif tentang nasi lemak agak terkilan juga.

Nasi lemak secara aslinya hendaklah mempunyai nasi, sambal, kacang, ikan bilis atau ikan tongkol, telur rebus sebelah dan timun. Itulah nasi lemak asli yang perlu ada secara hakikinya. Selain itu, barulah boleh ditambah lauk-pauk yang lain.

Terpulang kepada kita sama ada hendak ditambah ayam goreng, kerang, limpa ataupun telur dadar. Secara aslinya lauk-pauk asal nasi lemak tidak boleh dijual berasingan.

Nasi lemak di Tangkak, lauk-pauk yang asli itu anda perlu tambah duit lain. Ada sebuah kedai yang agak terkenal di Tangkak menjual nasi lemak RM1. Nasi lemak RM1 itu seperti yang saya katakan hanya mempunyai nasi, sambal dan kacang.

"Bang, ikan bilis tidak ada ke?” tanya saya ketika makan malam di kedai tersebut.

"Oh, ikan bilis tak ada. Abang boleh tambah lauk lain di kaunter sebelah,” kata penjaga kaunter tersebut.

Saya terus ke kaunter sebelah untuk melihat lauk-pauk tersebut. Ada telur mata kerbau, ayam goreng, bebola ikan dan sosej. Ada juga lauk-lauk lain tetapi saya tidak berkenan kerana pada pendapat saya yang memang konservatif dengan nasi lemak, ia tidak sesuai untuk dimakan bersama.

Ramai pelanggan di kedai tersebut. Nasi lemak kosong itu pun banyak yang sedang dibungkus dan diambil oleh pelanggan untuk dimakan dengan lauk- pauk lain. Setiap seorang kelihatan mengambil beberapa bungkus.

Saya hanya mengambil sebungkus nasi lemak bersama telur mata kerbau sahaja. Kalau ditambah lauk lain, mungkin harganya juga boleh menyebabkan mata terbelalak. Memang kos makan di kedai sedang meningkat naik.

HARGA BARANG MENTAH NAIK

Ada sesetengah kedai meletakkan papan tanda menyatakan terpaksa menaikkan harga disebabkan harga barang mentah naik, cuma saya musykil terutama harga ikan bilis.

Diberitakan harga ikan bilis boleh mencecah RM30 hingga RM60 sekilogram. Dan harga itu setahu saya, di mana-mana tempat pun sama sahaja. Saya hairan ketika bermukim di Guar Chempedak, Kedah, saya boleh sahaja makan nasi lemak bilis telur rebus sejuring berharga RM1.

Walaupun ikan bilis dalam nasi lemak RM1 tidaklah mencecah sehingga 12 ekor, sekurang-kurangnya masih ada ikan bilis dan telur rebus sejuring. Tidak perlu lagi menambah lauk lain.

Kalau masih lapar, boleh beli nasi lemak bilis telur RM1 dua bungkus. Kalau tidak kenyang juga tidak tahulah saya.

Persoalannya, kenapa di Guar Chempedak boleh ada ikan bilis telur tetapi di Tangkak, hanya nasi lemak kosong dan kena tambah lauk. Harga pun kena tambah. Mungkin ada yang boleh menjawabnya.

Cuma satu keistimewaan nasi lemak di Tangkak, sambal atau kuah nasi lemaknya memang sedap. Hampir semua kedai yang saya pergi, sambal yang dibuat hampir sama sedapnya seperti berpakat-pakat.

Berbanding di Guar Chempedak, sambal nasi lemaknya biasa- biasa sahaja. Mungkin sebab sambal agaknya yang menentukan harga nasi lemak mahal atau murah, bukan ikan bilisnya. Agaknyalah.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca