HARI ini adalah proses penamaan calon. Selepas ia selesai, maka bermulalah pesta pilihan raya dengan kemeriahan berkempen. Sudah tentu kita teruja untuk melihat dan merasainya selepas beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelumnya hambar... Klik di sini untuk terus membaca

HARI ini adalah proses penamaan calon. Selepas ia selesai, maka bermulalah pesta pilihan raya dengan kemeriahan berkempen. Sudah tentu kita teruja untuk melihat dan merasainya selepas beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelumnya hambar disebabkan pandemik Covid-19.

Disebabkan selepas ini tumpuan penulisan yang lebih serius dan kritikal akan dibuat sepanjang tempoh berkempen, penulisan kali ini mengambil pendekatan untuk lebih bertenang.

Maklumlah suhu politik setiap kali pilihan raya sering panas dan tegang. Maka, lebih baik kita mulakan dengan santai sahaja.

Ketika parti-parti politik mengumumkan calon masing-masing, senarai calon Barisan Nasional (BN) paling mengujakan. Bagi orang BN, mereka teruja mahu mengetahui siapa bakal terpilih.

Bagi bukan orang BN, sudah tentulah mahu tahu nasib tokoh-tokoh besar BN selepas spekulasi bersebaran.

Berbanding parti-parti politik lain, BN juga antara yang paling lewat mengemukakan senarainya. Lewat satu hal, sudah umum pun masih kontroversi sampai ada yang sudah tercalon pun menarik diri daripada menjadi calon. Itu pun masih ada beberapa kawasan, calonnya masih berahsia.

Apa pun yang berlaku di sebalik tirai, dalam mana-mana pilihan raya, yang penting sebenarnya adalah pengundi, bukannya parti.

Benar dari perspektif pengundi, calon merupakan faktor terpenting dalam pertimbangan mereka setiap kali mengundi. Justeru, parti politik sentiasa menekankan kriteria ketat dalam memilih calon masing-masing.

KUASA PRESIDEN

Masalahnya, calonlah yang sering menjadi isu besar untuk parti setiap kali pilihan raya. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak.

Pada masa sama, salah letak calon akan menjejaskan parti secara langsung. Silap langkah daripada kerusi menang, boleh jadi kerusi terbang.

Sukar untuk mana-mana parti datang dengan calon sempurna. Pertimbangan untuk memilih calon dibuat menerusi penilaian 360 darjah. Walaupun presiden parti berkuasa penuh memilih calon, pertimbangan parti sentiasa jadi asas perkiraan.

Namun dari perspektif pengundi, calon dilihat dari sisi berbeza. Kalau pengundi luar bandar, aspek personaliti, khidmat dan sering tunjuk muka menjadi pilihan utama. Kalau tidak mesra, jarang hadir undangan dan culas menyumbang, besar kemungkinan akan ditendang.

Sebaliknya pula pengundi bandar. Mereka lebih melihat calon dari perspektif lebih makro. Aspek ideologi, integriti dan isu-isu diketengahkan lebih mendapat perhatian mereka.

Pengundi bandar lebih faham bahawa siapa pun terpilih, aspek perkhidmatan pasti dilaksanakan kerana itulah tugas dan tanggungjawab seorang Yang Berhormat (YB).

Perlu diingatkan, menjadi YB adalah lebih daripada sekadar wakil rakyat. Tujuan seseorang dipilih menjadi wakil rakyat adalah untuk menjadi suara mewakili kawasan tertentu, sebagai ahli legislatif di Parlimen bagi menggubal dan membahaskan dasar-dasar utama negara.

Walaupun definisi konsep wakil rakyat yang sebetulnya adalah sedemikian, namun tafsiran umum pula mengistilahkan wakil rakyat sebagai orang yang perlu menyelesaikan permasalahan rakyat sehinggakan mereka lebih banyak menyelesaikan masalah tidak sepatutnya, berbanding perkara berkaitan undang-undang dan pentadbiran.

Justeru, tekanan sebeginilah yang kadangkala memesongkan wakil rakyat untuk memainkan peranannya dengan baik dan berkesan. Mereka lebih menjadi ‘pusat setempat’ untuk semua masalah rakyat sampai hal-hal kecil seperti rumput panjang, longkang tersumbat dan sampah tak dibuang pun mereka kena selesaikan.

Ia sudah tentu akan mengganggu masa dan membantutkan tumpuan mereka yang sepatutnya digunakan bagi mencorakkan dasar-dasar berkualiti untuk negara.

Lebih parah, mereka dituntut pula menyelesaikan hal-hal rakyat yang mungkin sifatnya remeh dan peribadi. Disebabkan itulah, ada YB akhirnya tumpas dan terpaksa bertindak menggunakan kedudukan serta pengaruh bagi memenuhi permintaan rakyat yang kadang-kadang melampau.

Akhirnya mereka menjadi wakil parti berbanding menjadi wakil rakyat. Terjerumus ke sisi gelap kuasa dan pengaruh.

Begitulah beratnya peranan dan dilema menjadi seorang YB. Namun, hairan juga, di sebalik semua itu ia tetap tidak menggerunkan sesiapa pun, malah masih berebut-rebut juga jadi calon semata-mata mahu bergelar YB.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca