APAKAH signifikan tarikh 19 November? Jika ikutkan carian internet, tarikh 19 November telah menyaksikan banyak peristiwa penting dalam sejarah manusia, antaranya pada 19 November 1969, legenda bola sepak Brazil, Pele menjaringkan gol... Klik di sini untuk terus membaca

APAKAH signifikan tarikh 19 November? Jika ikutkan carian internet, tarikh 19 November telah menyaksikan banyak peristiwa penting dalam sejarah manusia, antaranya pada 19 November 1969, legenda bola sepak Brazil, Pele menjaringkan gol ke-1,000 dalam kerjaya bola sepak profesional beliau.

Pada hari sama Pele menjaringkan gol bersejarah, berada 384,400 kilometer nun jauh dari padang bola ketika Pele masih meraikan gol beliau, kapal angkasa Apollo 12 berjaya mendarat di bulan, bukan logo parti politik tetapi planet satelit kelima terbesar dalam Sistem Suria.

Bagi rakyat Malaysia pula, 19 November ini adalah hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). PRU kali ini amat meriah kerana menampilkan pertarungan banyak penjuru di hampir semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Ia termasuk beberapa persaingan blockbuster yang melibatkan tokoh-tokoh lama dahulunya satu kem tetapi kini mewakili kem politik berbeza.

Menyedari kepentingan untuk kekal relevan dengan generasi muda dan lebih mendekati jutaan pengundi baharu, parti-parti politik juga mengetengahkan ramai muka baharu dan muda.

Ia bagi memberi kesegaran kepada pengundi muda yang sudah muak dengan muka-muka lama bertanding sejak zaman ibu bapa mereka masih di bangku sekolah.

CALON MUDA

Muka-muka baharu seperti Fadzli Mohamad Kamal (DUN Dong, UMNO, Pahang), Mohd Nizar Najib (DUN Peramu Jaya, UMNO, Pahang), Shaiful Hazizy (Parlimen Merbok, UMNO, Kedah), Armizan Mohd Ali (Parlimen Papar, GRS, Sabah), Khairul Firdaus Akbar Khan (Parlimen Batu Sapi, GRS, Sabah), Syahredza Johan (Parlimen Bangi, DAP, Selangor), Felicia Wong (Parlimen Seremban, MCA, Negeri Sembilan) dan ramai lagi calon muda baharu diketengahkan buat pertama kali.

Walaupun rata-rata mereka masih di usia awal 40-an, mereka bukan operator politik setahun jagung. Ada antara mereka telah lama aktif dalam politik peringkat akar umbi. Ada juga pernah memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan sejak usia muda 20-an di agensi-agensi kerajaan yang kanan di peringkat negeri dan Persekutuan.

Yang pasti, muda bukan mentah. Mereka sudah bersedia untuk menawarkan khidmat dan kita mendoakan yang terbaik buat mereka.

Semoga semua calon bertanding kali ini dapat berkempen atas semangat persaingan sihat, mampu menambat hati pengundi dengan naratif mantap, debat yang hebat dan idea bernas.

Ketepikanlah budaya politik usang yang cenderung melakukan pembunuhan karakter, menghina kaum dan agama, mengaibkan ahli-ahli keluarga calon lawan atau menyebar berita palsu bagi mengeruhkan suasana kempen. Pada masa sama, hormatilah mandat rakyat dalam memilih calon yang mereka rasakan paling sesuai dan berketerampilan bagi mewakili suara mereka. Jangan ugut, jangan paksa, jangan buli.

Kepada pengundi pula, jangan sia-siakan undi anda. Hargai hak demokrasi kita yang asasi. Jangan pula melacurkan undi anda demi sebungkus nasi atau sekeping wang ringgit yang hanya memberi klimaks sementara.

Fikir dahulu dengan akal bestari kerana undi anda memberi suara dan kuasa kepada wakil rakyat untuk merancang serta membuat dasar.

Selamat bertanding kepada semua calon. Apabila masuk kawasan nanti, kalau ada pengundi minta calon tolong cucikan lantai sekolah yang penuh dengan najis unggas dan cicak, buatlah sebaik mungkin. Jangan lupa rakam video dan ambil gambar.

* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro

Klik di sini untuk terus membaca