KEJAYAAN membunuh 22 anggota pengganas komunis antara pengalaman tidak boleh dilupakan oleh bekas pegawai tentera, Mejar (B) Datuk Salehuddin Abd Muttalib sepanjang 16 tahun berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Salehuddin, 74,... Klik di sini untuk terus membaca

KEJAYAAN membunuh 22 anggota pengganas komunis antara pengalaman tidak boleh dilupakan oleh bekas pegawai tentera, Mejar (B) Datuk Salehuddin Abd Muttalib sepanjang 16 tahun berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Salehuddin, 74, memberitahu, Ops Teliti 2 di Sarawak antara operasi yang masih segar dalam ingatannya kerana beliau perlu menyamar sebagai pengganas komunis.

"Pada ketika itu saya berusia 22 tahun, berpangkat Leftenan dan telah ditugaskan mengetuai kumpulan yang dianggotai oleh tiga bekas anggota komunis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Semenyih, Selangor, baru-baru ini.

Menurut beliau, tugas pasukan itu pada awalnya adalah untuk memberkas Ketua Pasukan Bersenjata 330 Parti Utara Kalimantan Komunis (PARAKU) yang dikenali sebagai Fam dan isterinya di Sarawak, pada 1972.

"Pengganas komunis pada ketika itu berkomunikasi antara satu sama lain melalui surat rahsia yang diletakkan di dalam kapsul atau botol kecil serta disembunyikan di akar pokok atau di bawah batu sungai.

"Kami hanya berpandukan surat tersebut untuk menjejaki pasangan itu di dalam hutan sekitar Engkilili, Sarawak,” ujarnya.

BUNUH KETUA PASUKAN PARAKU

Salehuddin berkata, setelah hampir seminggu menjejaki pasangan tersebut, beliau berjaya menemui mereka di dalam hutan pada waktu malam.

"Situasi untuk memberkas pasangan ini sukar dilakukan, jadi saya terpaksa melepaskan tembakan ke arah pasangan itu.

"Fam yang tercedera cuba membalas tembakan tetapi tidak mengenai sasaran. Saya bertindak nekad dengan menetak pasangan ini dengan parang,” katanya sambil menambah kematian pasangan tersebut akhirnya melumpuhkan PARAKU.

Ekoran daripada kejayaan tersebut, beliau telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB).

Salehuddin menunjukkan gambar beliau menerima pingat PGB.

Menurut Salehuddin, beliau tidak menyangka salah seorang daripada tiga bekas anggota komunis dalam pasukannya telah belot.

"Alasan bekas anggota komunis itu adalah dia telah menganggap lelaki yang menyerah diri itu sebagai bapanya dan bekas pengganas komunis yang belot tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut," katanya.

MINAT JADI ASKAR SEJAK SEKOLAH

Ketika mengimbas kembali kenangan masa lalu, Salehuddin berkata, beliau dilahirkan pada 16 November 1948 di Teluk Intan, Perak.

"Saya mula meminati bidang ketenteraan apabila menyertai Persatuan Kadet Bersatu sewaktu bersekolah di St. Michael Institution, Ipoh, Perak,” katanya.

Salehuddin berkata, pada awalnya niat beliau untuk menyertai tentera tidak mendapat persetujuan daripada bapanya yang juga seorang guru.

"Bapa saya mahu saya menjadi seorang guru, namun saya telah membuat keputusan untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia pada 1967,” ujarnya.

Salehuddin menambah, beliau telah menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja selama dua tahun. Saya kemudian dipertanggungjawabkan untuk mengekalkan ketenteraman awam di sekitar Kuala Lumpur dalam tragedi 13 Mei 1969,” katanya.

Dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969 itu, Salehuddin berkata, beliau telah diarahkan untuk berjumpa dengan masyarakat untuk memastikan mereka tidak terbabit dalam perbuatan provokasi yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

"Rejimen saya terdiri daripada berbilang kaum turut membantu mengawal keadaan pada ketika itu,” katanya.

OPERASI MENCABAR

Salehuddin memberitahu, beliau kemudian telah ditugaskan bersama Rejimen Ketiga Peninjau di Ipoh, Perak.

"Saya terlibat dalam Ops lblis pada 1971 dan sebagai pegawai perisikan, tugas saya adalah membuat perancangan untuk operasi tersebut,” ujarnya.

Salehuddin bergambar kenangan dengan kakitangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ops Iblis dilancarkan berikutan penemuan kehadiran pengganas komunis yang menjadikan kawasan hutan di Perak sebagai kubu.

"Satu pertempuran sengit telah berlaku sehingga mengorbankan sahabat saya, Kapten V Mohana Chandran,” katanya.

Salehuddin berkata, sewaktu berkhidmat dalam ATM, beliau juga banyak terlibat dalam operasi-operasi penting.

"Saya juga telah menyertai tujuh kursus berkaitan perisikan di dalam dan luar negara.

"Tanpa memikirkan soal gentar atau takut, saya perlu terlibat dalam operasi yang mencabar demi mempertahankan kedaulatan negara,” ujarnya.

DETIK AWAL PEGAWAI PERISIK

Salehuddin berkata, beliau telah ditempatkan dalam pasukan Anggota Tentera Cawangan Khas (ATCK), Kor Risik DiRaja Malaysia.

"Saya kemudian menjadi Pegawai Perisikan Tentera di Sarawak dan bukan mudah untuk menjadi seorang perisik. Pada ketika itu gaji saya hanya RM545,” katanya.

Dalam tugas baharunya, Salehuddin telah diarahkan mendapatkan maklumat mengenai anggota komunis yang berada di Sarawak dan perlu menangkap atau menembak mati mereka.

"Sepanjang bertugas, saya hanya bergerak seorang diri dengan menyamar sebagai anggota komunis bagi mengelak identiti diketahui kumpulan pengganas itu. Pelbagai cara dilakukan untuk menangkap dan mendapatkan maklumat mengenai perancangan komunis,” katanya.

Namun Salehuddin terpaksa bersara ketika berusia 33 tahun akibat mengalami gejala gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) susulan pertempuran yang dilalui.

"Saya amat menyanjung tinggi ATM kerana telah banyak mendidik dan menjadikan diri saya sebagai seorang yang berprinsip tinggi, bertanggungjawab dan sedia menerima risiko daripada semua tindakan yang dilakukan,” tegasnya.

Salehuddin menasihatkan rakyat Malaysia untuk mengekalkan semangat patriotisme dan sama-sama menjaga keamanan serta keharmonian negara.

"Jangan ditanya apa yang negara telah buat kepada kamu, tanyalah apa sumbangan kamu untuk negara,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca