SHAH ALAM - Seorang menteri dan dua timbalan menteri yang sebelum ini digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN), tetap menjadi calon bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang secara rasminya membuka tirai pada Sabtu.Menteri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang menteri dan dua timbalan menteri yang sebelum ini digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN), tetap menjadi calon bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang secara rasminya membuka tirai pada Sabtu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib mewakili Pas bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), masing-masing di Parlimen Arau dan Maran.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula bertanding sebagai Bebas di Parlimen Padang Besar dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi.

Keahlian mereka dalam UMNO bagaimanapun gugur secara automatik sesuai dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu akan memantau secara berterusan sekiranya terdapat mana-mana ahli yang terlibat secara aktif menyokong calon parti lawan, sepanjang tempoh berkempen dan tindakan memecat keahlian mereka akan diambil serta merta.

"UMNO tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan-tindakan khianat mana-mana ahli,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Shahidan yang akan mempertahankan Parlimen Arau untuk penggal ke lima berdepan saingan daripada Datuk Rozabil Abd Rahman mewakili BN, dan Fathin Amelina Fazlie mewakili Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, Shahidan, 71, menjadi wakil rakyat di Parlimen itu selama empat penggal sejak PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018.

Ismail akan berdepan lawan, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Maran, Ahmad Shuhor Awang dan seorang calon Bebas, Mohd Hafiz Ishak.

Sementara Zahidi pula ditentang empat calon lain termasuk Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahid Zarik Khan; Muhammad Saad @ Yahya (Pakatan Harapan); Rusydan Rusmi (Perikatan Nasional) and Ko Chu Liang mewakili Parti Warisan (Warisan).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan lima menteri dan empat timbalan menteri antara yang digugurkan daripada menjadi calon parti itu.

Selain Shahidan, empat lagi menteri adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Timbalan menteri yang digugurkan pula selain Ismail dan Zahidi adalah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Klik di sini untuk terus membaca