SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, 36, yang juga calon Parlimen Alor Gajah menegaskan prestasi cemerlang pemimpin negara menjadi kekuatan Barisan Nasional (BN) untuk memikat hati pengundi di Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Parlimen Alor Gajah menyaksikan pertembungan empat penjuru di mana Shahril Sufian berdepan nama besar iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang mewakili Pakatan Harapan (PH), penyandang kerusi itu yang juga bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dari Perikatan Nasional (PN) dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
"Pastinya rekod prestasi cemerlang BN memimpin negara selama lebih 60 tahun satu kelebihan yang boleh membantu menawan hati 93,000 pengundi Alor Gajah pada 19 November depan," kata Shahril Sufian kepada Sinar Premium.
Tambahnya, pengumuman Bajet 2023 juga adalah senjata utama yang mempunyai 'feel good factor' untuk meraih kepercayaan para pengundi.
"Bajet 2023 telah dirangka berdasarkan data, statistik dan kemampuan negara, berbanding manifesto alternatif yang dilihat sekadar memberikan janji.
"PRU14 telah membuktikan betapa manifesto yang dibuat sekadar untuk kelihatan populis, tidak boleh dilaksanakan dan akhirnya mengecewakan rakyat,” katanya lagi.
Berdepan dengan persepsi beliau bukan anak tempatan, Shahril Sufian menegaskan telah bersedia dengan gerak kerja untuk mendekati penduduk Alor Gajah bagi memperkenalkan diri, tawaran dan gagasan yang hendak dibawa.
"Saya faham ada persepsi yang menyatakan saya bukan orang tempatan, tetapi ini bukan penghalang untuk saya memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Alor Gajah.
"Tempoh berkempen ini akan saya gunakan untuk mendapatkan kepercayaan mereka, selain itu pelbagai program telah dirangka untuk memastikan setiap mesej yang dibawa sampai kepada para pengundi,” ujar beliau.
Selaku calon UMNO pertama bertanding di kerusi tersebut selepas tujuh penggal diwakili MCA, Shahril Sufian bersyukur kehadirannya diberi sambutan baik oleh jentera kempen dan juga penduduk Alor Gajah.
"Ini memberikan keyakinan buat kami berusaha memenangi kerusi ini.
"Moga Alor Gajah mengizinkan saya dan BN untuk memberi khidmat bakti bagi tempoh 5 tahun mendatang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca