SHAH ALAM - Kerusi Parlimen Batu mungkin menjadi kerusi paling hangat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila menyaksikan pertembungan 10 penjuru antara penyandangnya, P Prabakaran dari Pakatan Harapan (PH) dan sembilan lagi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerusi Parlimen Batu mungkin menjadi kerusi paling hangat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila menyaksikan pertembungan 10 penjuru antara penyandangnya, P Prabakaran dari Pakatan Harapan (PH) dan sembilan lagi pencabarnya.

Antara nama besar yang mencabar Prabakaran ialah mantan Ahli Parlimen Batu selama dua penggal merangkap bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang kini bertanding atas tiket Bebas.

Empat calon mewakili parti lain termasuklah Azhar Yahya dari Perikatan Nasional (PN), Datuk A Kohilan Pillay mewakil Barisan Nasional (BN), Naganathan Pillai (Parti Warisan) dan Wan Azliana Wan Adnan (Parti Pejuang Tanah Air).

Calon Parlimen Batu

Empat lagi calon Bebas yang turut mencuba nasib termasuklah peguam, Siti Kassim; pempengaruh media sosial, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin yang lebih dikenali dengan nama 'glamour' Cleopatra; Mohd Zulkifli Abdul Fattah dan Too Cheng Huat.

Untuk rekod, pada PRU14, Tian Chua menyatakan sokongan kepada Prabakaran yang bertanding kerusi Parlimen Batu selepas beliau hilang kelayakan.

Pada PRU14 lalu, Prabakaran yang bertanding atas tiket Bebas dengan menggunakan lambang kunci menang kerusi berkenaan selepas mendapat 38,125 undi iaitu majoriti 24,438 undi menewaskan tiga lagi individu lain termasuk Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau (13,687 undi); wakil Pas, Azhar Yahya (10,610) dan Datuk VM Panjamothy (Bebas).

Calon Parlimen Ampang

Kerusi kedua paling panas ialah Parlimen Ampang yang kini disandang oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, selepas beliau memenanginya atas tiket PKR, sejak 2008.

Parlimen Ampang menyaksikan pertembungan sengit sembilan penjuru.

Zuraida yang bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM) ditentang oleh lapan calon lain termasuk Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen (BN); wakil PH, Rodziah Ismail; Sasha Lyna Abdul Latif (PN); Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang); Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon Bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng serta M Raveendran.

Pada PRU14 lalu, Zuraida menang kerusi Ampang atas tiket PKR selepas memperoleh 54,307 undi (majoriti 41,956 undi) dengan menewaskan tiga calon lain termasuk wakil BN, Leong Kim Soon (12,351 undi); Nurul Islam Mohamed Yusoff (PAS) dan Tan Hua Meng dari Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Calon Parlimen Kota Raja

Turut 'kepanasan' pada PRU15 ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang bakal menghadapi tentangan sengit tujuh penjuru di kerusi Parlimen Kota Raja.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu bakal ditentang hebat oleh calon BN, D Kajendran; Fahmi Bazlan Muda (Pejuang); Mohamed Diah Baharun (PN); P Raveentharan (Bebas); S Surendhar (Bebas); K Kumar (Bebas) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Sarah Afiqah Zainol Arif.

Pada PRU-14, Mohamad menentang calon BN, V Gunalan serta calon PAS, Mohamed Diah Baharun yang menyaksikan beliau meraih 90,697 undi manakala PAS (19,555 undi) dan BN (17,874 undi).

Mohamad memenangi kerusi Parlimen Kota Raja dengan majoriti 71,142 undi.

Calon Parlimen Bangi

Calon Melayu dari PH di Parlimen Bangi, Syahredzan Johan juga akan berhadapan dengan pertembungan lapan penjuru menentang Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir (PN); Hoh Lee Lee (BN); Anuar Salleh (GTA); Chee Chee Meng dan tiga calon Bebas iaitu Jamal Hisham Hashim, Fauzi Hasimdari dan Suthan Mookiah.

Syahredzan mewakili DAP selepas penyandang kerusi itu, Dr Ong Kian Ming mengumumkan untuk tidak menawarkan dirinya sebagai calon dalam PRU15 dan menamakan Syahredzan yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) sebagai penggantinya.

Pada PRU14, Kian Min meraih majoriti besar sebanyak 68,768 undi, menewaskan pencabarnya, Shafie Ngah dari Pas yang memperoleh 33,789 undi, Liew Yuen Keong dari BN (19,766 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Dennis Wan (215).

Calon-calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh dari kiri Ahmad Jufliz Faiza; Mohd Akmal Mohd Yusoff; Nurhaslinda Basri; Khairy Jamaluddin; Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof; Datuk R. Ramanan dan Mohd Ghazali Md Hamin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, pula masing-masing menghadapi saingan tujuh penjuru di Parlimen Sungai Buloh dan Sungai Siput.

Khairy yang sebelum ini, adalah penyandang kerusi Parlimen Rembau bakal berhadapan dengan saingan sengit, R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff serta Nurhaslinda Basri.

Sementara itu, Vigneswaran pula bersaing dengan penyandang kerusi Sungai Siput, S Kesavan dari PH; Datuk Seri G Irudianathan (PN); Ahmad Fauzi Mohd Jaafar (Pejuang) dan tiga calon Bebas termasuk suri rumah, R Indrani; bekas Ketua Penerangan PN Sungai Siput, Baharudin Kamarudin dan ahli perniagaan, N Rajah.

Calon Parlimen Rembau

Di Parlimen Rembau menyaksikan saingan lima penjuru melibatkan saingan daripada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, wakil PH, Jufitri Joha; Ramli Awaluddin (GTA), Mohd Nazree Mohd Yunus (PN) dan S Tinagaran (PSM).

Pada PRU14, bekas penyandang kerusi itu Khairy yang kini bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh memenangi kerusi Parlimen Rembau dengan majoriti 6,028 undi selepas memperolehi 36,096 undi.

Khairy menewaskan pencabar terdekatnya ketika itu Roseli Abdul Ghani daripada PKR yang memperoleh 31,732 undi.

Tiga kerusi lain iaitu Parlimen Petaling Jaya, Labuan dan Wangsa Maju pula bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru.

Pada PRU15 kerusi Petaling Jaya menjadi rebutan enam calon termasuklah wakil PRM, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor;

Dr KJ John (Bebas); Chew Hian Tat (BN); Mazween Mokhtar (Pejuang); Theng Book (PN) dan Lee Chean Chung (PH).

Untuk rekod kerusi parlimen berkenaan sebelum ini disandang oleh Maria Chin Abdullah dari PKR yang meraih majoriti 57,137 undi pada PRU14 lalu.

Sementara itu, penyandang kerusi berkenaan merangkap, Ketua Bahagian Parti Warisan Labuan, Datuk Rozman Isli, pula bakal berhadapan dengan lima calon lain termasuk tiga muka baru, pada PRU kali ini

Lima calon berkenaan termasuklah Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Bashir Alias (BN); Ketua Bahagian Bersatu Labuan; Datuk Suhaili Abdul Rahman; Datuk Dr Ramli Tahir (PH); Dayang Rusimah@Raynie Mohd Din (PBM) dan Presiden Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia (PSBM), Datuk Seri Ramle Mat Daly (Pejuang).

Selain itu, saingan lima penjuru turut melibatkan Parlimen Langkawi, Parlimen Pandan dan Parlimen Tanjong Karang.

Calon Parlimen Langkawi

Di Langkawi, bekas Perdana Menteri yang juga penyandang kerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal berhadapan dengan empat lawannya iaitu Datuk Armishah Siraj (BN); Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN); Zabidi Yahya (PH) dan Datuk Abdul Kadir Sainudin (Bebas).

Pandan pula menyaksikan kejutan di mana Rafizi menentang empat lawan termasuk, bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat yang bertanding atas tiket Warisan; Ketua MCA Bahagian Pandan, Datuk Leong Kok Wee (BN); Muhammad Farique Zubir Albakri (PN) dan Nadia Hanafiah (Pejuang).

Untuk rekod, Rafizi dan Ong masing-masing pernah menyandang kerusi Parlimen itu pada pilihan raya lalu.

Tea Keat pernah menyandang kerusi itu selama dua penggal dari 2004 hingga 2013 ketika mewakili BN, selepas berkhidmat selama empat penggal dari 1989 sebagai Ahli Parlimen Ampang Jaya.

Calon Parlimen Pandan

Manakala, Rafizi pernah menyandang kerusi itu pada PRU13.

Pada PRU14, kerusi parlimen itu dimenangi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti 52,543 undi membabitkan pertembungan lima penjuru.

Bagaimanapun pada PRU15, Pengerusi Majlis Penasihat PKR memberi laluan kepada Rafizi apabila Dr Wan Azizah bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak.

Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata, ramai penganalisis politik sudah menjangkakan berlaku pertembungan banyak penjuru dalam PRU15 ini berikutan kecenderungan menubuhkan pelbagai parti politik baru.

DR MAZLAN

Mazlan berkata, beliau sendiri meramalkan sekurang-kurang akan berlaku pertembungan tiga atau empat penjuru bagi merebut satu kerusi pada PRU15 ini.

"Antara implikasi pertandingan banyak penjuru ini menunjukkan proses demokrasi di Malaysia kini semakin subur," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Bagaimanapun beliau melihat antara punca utama penubuhan parti politik baharu dan pertembungan banyak penjuru adalah kerana rakyat sudah mula hilang sokongan kepada pemimpin parti sedia ada.

"Kita juga boleh tengok selepas PRU15 nanti adakah parti baharu ini berjaya mendapat sokongan daripada rakyat atau sebaliknya mereka hanya sebagai pelengkap bagi memeriahkan musim pilihan raya sahaja," katanya.

Pegawai Pengurus Parlimen P135 Alor Gajah Datuk Saiful Hazwa Kipli (tengah) bersama barisan calon yang bertanding di Parlimen tersebut selepas majlis pengumuman di Pusat Penamaan Calon sempena PRU15 di Dewan Taming Sari UiTM Lendu pada Sabtu. Dari kiri ke kanan; Shahril Sufian (BN), Adly (PH) Mohd Redzuan (PN) danMuhammad Nazriq (Pejuang)

Dalam pada itu, Mazlan menegaskan nama-nama besar daripada parti dominan seperti BN, PH dan PN dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk menang atau mempertahankan kerusi masing-masing biarpun mereka menghadapi saingan banyak penjuru, pada PRU15 nanti.

"Sebagai contoh Khairy akan tetap mendapat sokongan majoriti pengundi Sungai Buloh biarpun beliau adalah calon payung terjun yang baharu dipertaruhkan BN di kerusi berkenaan.

"Ini kerana beliau adalah seorang yang popular dan dikenali sebagai seorang pemimpin kuat bekerja untuk rakyat sama ada selaku Menteri Kabinet mahu pun Ahli Parlimen Rembau, sebelum ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca