BEKAS Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pernah digelar sebagai kaki perempuan dan menjadi pemain kriket terkenal apabila membantu negaranya menjuarai Piala Dunia buat pertama kali pada tahun 1992.
Ketika itu Pakistan berjaya mengalahkan England dan lebih manis beliau bergelar kapten pasukan.
Dilahirkan pada tahun 1952, anak kepada seorang jurutera awam, Imran dibesarkan bersama empat adik perempuannya dalam keluarga Pashtun di bandar yang mewah dan kedua terbesar di Pakistan iaitu Lahore.
Dia mendapat pendidikan swasta di England sebelum beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford dengan memperoleh ijazah dalam Falsafah, Politik dan Ekonomi.
Beliau kemudian menarik perhatian dunia kriket pada awal tahun 1970an sebagai seorang pembaling bola yang pantas dan agresif dengan aksi lompatan tersendiri serta menjadi salah seorang pemain serba boleh terbaik dunia. Namun tidak cukup dengan itu, wajah tampannya menjadi pelaris dan memikat ramai wanita sehingga dia menjadi seorang kaki perempuan.
Imran, 70, pernah memiliki rakan-rakan wanita seperti penulis fesyen terkenal, Susannah Constantine; Lady Liza Campbell iaitu seorang artis seni dan anak kepada Earl Cawdor Keenam di Scotland, Hugh Campbell; Emma Sergeant yang merupakan seorang pelukis di United Kingdom (UK); model British, Marie Helvin; bintang Hollywood, Goldie Hawn serta artis British, Stephanie Beacham.
Pada tahun 1995, beliau berkahwin dengan Jemima Goldsmith iaitu anak kepada taikun perniagaan Britain-Perancis, James Goldsmith yang mempunyai darah keturunan Yahudi. Jemima turut memeluk agama Islam manakala pasangan tersebut mempunyai dua anak lelaki tetapi kemudian bercerai pada tahun 2004.
Beliau kemudian berkahwin dengan seorang wartawan Britain yang berketurunan Pakistan, Reham Khan pada tahun 2014. Imran berkenalan dengan Reham selepas penyanyi itu menemubual ahli politik dan bekas pemain kriket tersebut untuk satu program televisyen tetapi perkahwinan tersebut berakhir pada tahun 2015.
Imran seterusnya berkahwin dengan seorang janda, Bushra Bibi yang pada mulanya Imran tidak melihat wajahnya sehinggalah selepas perkahwinan mereka walaupun bekas pemain kriket tersebut telah menyaksikan gambarnya sebagai seorang wanita muda dan pasangan tersebut berkahwin pada tahun 2018 di Lahore.
DITEMBAK DI KAKI
Namun, pada Khamis lalu, bekas Perdana Menteri itu cedera ditembak di kaki kanan oleh seorang penembak lelaki ketika Imran sedang berada di atas kontena kapal yang diubah suai dan diarak dengan menggunakan sebuah lori di bandar Wazirabad, timur Pakistan.
Imran ketika itu dalam protes bagi menuntut supaya pilihan raya umum diadakan selepas beliau tersingkir daripada jawatan tersebut di Perhimpunan Kebangsaan menerusi undi tidak percaya pada April lalu.
Imran menjadi Perdana Menteri ke-22 Pakistan pada tahun 2018 setelah beliau mengalahkan ahli politik veteran, Shahbaz Sharif yang kini merupakan Perdana Menteri dalam pemilihan di Perhimpunan Kebangsaan setelah Parti Rakyat Pakistan mengambil keputusan tidak menyertai pengundian kerana berbalah dengan Sharif.
Dalam pilihan raya umum itu juga, parti politiknya, Pakistan Tehreek-e-Insaf yang ditubuhkan pada tahun 1996 menjadi parti terbesar yang memiliki 115 daripada 270 kerusi di Perhimpunan Kebangsaan dan Imran terpaksa menubuhkan kerajaan campuran bagi mentadbir negara itu.
Insiden tembakan itu pula berlaku kurang seminggu selepas beliau memulakan perarakannya dari Lahore, ibu kota wilayah Punjab bersama beribu-ribu penyokong bagi menuntut pilihan raya umum diadakan selepas Imran mendakwa penyingkirannya sebagai Perdana Menteri itu adalah konspirasi yang direka oleh penggantinya untuk jawatan berkenaan, Shahbaz Sharif dan Amerika Syarikat (AS).
Namun, Shanbaz dan Washington telah menafikan dakwaan Imran manakala Perdana Menteri Pakistan itu menyatakan pilihan raya tetap akan diadakan pada tahun 2023 seperti yang dijadualkan.
Dalam insiden tembakan tersebut, seorang penyokong bekas Perdana Menteri itu daripada parti Tehreek-e-Insaf terkorban dan sejumlah lagi mengalami kecederaan dan penembaknya pula akhirnya berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa serta anggota parti tersebut di tempat kejadian.
Imran pula dihantar ke sebuah hospital dan keadaannya dilaporkan stabil tetapi seorang pembantu kanannya berkata, ia adalah percubaan untuk membunuh Imran.
Namun, Menteri Penerangan Pakstan, Marriyum Aurangzeb berkata, penyerangnya telah ditahan dan terdapat pegawai yang menyebarkan video pengakuan jelas si penyerangnya dan menjadi tular di media sosial.
"Saya melakukannya kerana (Khan) mengelirukan orang ramai," kata seorang lelaki yang kusut masai dalam video tersebut dengan kedua-dua tangannya diikat ke belakang di kawasan yang kelihatan seperti balai polis seperti dilaporkan AFP selepas beliau ditangkap kerana menembak Imran.
KONSPIRASI
Menurut penyerang tersebut yang identitinya masih belum dikenal pasti, beliau marah dengan perarakan yang membuat bising semasa azan.
Beliau turut mengaku mahu membunuh bekas Perdana Menteri itu atas alasan-alasan tersebut.
Persoalan kini timbul adakah penembak Imran itu benar-benar melakukan perbuatan tersebut berseorangan tanpa ada kaitan dengan mana-mana kumpulan politik, agama dan pengganas?
Ini adalah kerana pembantu Imran, Chaudhry Fawad Hussain mendakwa ia adalah percubaan membunuh yang dirancang dengan baik ke atas bekas Perdana Menteri tersebut dan para kepimpinan partinya, Tehreek-e-Insaf.
Bagaimanapun, siasatan ke atas pembunuhan tersebut masih dilakukan oleh pihak berkuasa Pakistan namun serangan itu menimbulkan kebimbangan baharu tentang ketidakstabilan politik yang semakin meningkat di negara bersenjata nuklear dengan populasi besarnya seramai lebih 220 juta orang. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca