SHAH ALAM - Seramai 434 calon menjadi taruhan parti-parti bertanding sekaligus menghangatkan lagi perlumbaan merebut tampuk pemerintahan tiga kerajaan negeri, Perlis, Perak dan Pahang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Berdasarkan data... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seramai 434 calon menjadi taruhan parti-parti bertanding sekaligus menghangatkan lagi perlumbaan merebut tampuk pemerintahan tiga kerajaan negeri, Perlis, Perak dan Pahang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berdasarkan data dikongsi SPR menerusi laman sesawang https://dashboard.spr.gov.my/#!/dun, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing meletakkan 116 calon.

PH pula terpaksa akur hanya bertanding di 115 kerusi selepas hilang satu kerusi berikutan borang penamaan calonnya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditolak SPR, pada Sabtu.

Penolakan borang pencalonan Manolan Mohamad diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif ketika mengumumkan senarai akhir calon yang bertanding bagi kerusi DUN Kemayan di bawah Parlimen Bera.

Susulan daripada penolakan itu, DUN Kemayan dalam Parlimen Bera menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Khaizulnizam Mohamad Zuldin dengan Shapuan Hussin (PN).

Dalam pada itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula akan bertanding di 44 kerusi DUN di Pahang, Perak dan Perlis; diikuti 23 orang calon Bebas; Parti Warisan Malaysia (Warisan) bertanding di 17 kerusi DUN; Parti Bangsa Malaysia, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) masing-masing hanya bertanding satu kerusi DUN.

Antara kerusi DUN paling mencuri tumpuan sudah pastinya, Titi Tinggi yang bakal menyaksikan persaingan sengit enam penjuru antara penyandangnya, Teh Chai Aan menentang bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding atas tiket bebas.

Turut bersaing merebut kerusi berkenaan ialah Kwaw Hock Kong (Warisan Sabah), Teh Seng Chuan (PH), Izizam Ibrahim (PN) dan Mohd Shahril Md Sarif (GTA).

Untuk rekod, Zahidi mengambil keputusan drastik bertanding atas tiket Bebas di DUN Titi Tinggi dan Parlimen Padang Besar selepas namanya tidak disenaraikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanding di mana-mana kerusi di Perlis, pada PRU15.

Keahliannya dalam UMNO bagaimanapun gugur secara automatik sesuai dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, pula akan menghadapi saingan enam penjuru dengan lima pencabarnya termasuk

Fakhrul Anwar Ismail (PN), Mohamad Khair Mohd Noor (Warisan), Mohd Shazwan Suban (Gerakan Tanah Air), Datuk Hashim Suboh (Bebas) dan Azhari Ahmad (PH).

Pada PRU14, Azlan memenangi kerusi DUN Bintong selepas mendapat 3,986 undi menewaskan calon PKR, Mokhtar Che Kassim (3,139 undi) dan Pas, Abd Jamil Kamis (2,695 undi).

Di DUN Indera Kayangan pula bakal menyaksikan pertembungan setara membabitkan empat penjuru di mana penyandang kerusi itu, Gan Ay Ling (PH) akan dicabar oleh P Pramoot (PN), Atan Jasin (Warisan) dan Lim Weng Khee (BN).

Pada PRU14, Ay Ling memenangi kerusi itu, selepas memperoleh 3,177 undi dan menewaskan calon Pas, Wan Hassan (1, 835 undi) dan BN, Chuah Tian Hee (1,846 undi)

Di DUN Kuala Perlis pula, menyaksikan pertembungan sengit lima penjuru antara penyandangnya, Nor Azam Karap (PH), bersama Kamaruddin Malik (BN), Abu Bakar Hamzah (PN), Muhamad Hairi Noordin (Warisan) dan seorang wakil Bebas, Datuk Azhar Ahmad.

Pada PRU14, Azam memenangi kerusi itu selepas mendapat 4,253 undi sekali gus menewaskan calon BN, Azam Rashid (2, 999 undi) dan Pas, Mohamad Fuat Abu Bakar (1,066 undi).

Kerusi yang turut diperkatakan adalah DUN Cheka, Pahang di mana Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, turun bertanding atas tiket PN.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, menghadapi saingan sengit empat penjuru menentang tiga calon lain termasuklah Ho Fong Mee (BN), Rasid Muhamad (PH) dan Aishaton Abu Bakar (Pejuang).

Untuk rekod, pada PRU14 lalu, calon BN, Lee Ah Wong menang tipis kerusi DUN Cheka selepas memperoleh 3,745 undi (majoriti 202 undi) menewaskan wakil Pas, Saludin Endol (3,273) dan Rasid Muhamad (2,930 undi).

Malah, Tuan Ibrahim yang bertanding kerusi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan juga disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar jika PN berjaya memperoleh majoriti mudah dan merampas pentadbiran negeri Pahang daripada BN, pada PRU15 nanti.

Pada PRU14 lalu, BN menguasai 25 kerusi di DUN Pahang, diikuti PKR (sembilan) manakala, Pas menang lapan kerusi.

Mata seluruh rakyat Malaysia juga tertumpu kepada kerusi DUN Peramu Jaya di mana anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar menjadi calon BN di kerusi itu.

Calon BN bagi DUN Peramu Jaya, Datuk Mohd Nizar Najib (depan) bersama ibunya, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar yang hadir memberi sokongan semasa penamaan calon di Pusat Penamaan Calon PRU15 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, pada Sabtu.

Mohamad Nizar yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan, berdepan saingan empat penjuru menentang, calon PN, Abu Talib Muhammad; Tugimon Abdul Hamid (PH) dan calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin.

Sebelum ini, kerusi Pramu Jaya disandang oleh Datuk Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali, yang dinaikkan pangkat bertanding di Parlimen Pekan bagi menggantikan Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah berhubung kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Satu lagi kerusi DUN mencuri tumpuan di Pahang ialah DUN Jelai melibatkan Menteri Besar merangkap Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau akan berdepan pencabar dari PN iaitu Dr Abdul Rasid Mohamed Ali dan Ismail Mohamad Husin (PH).

Pada PRU14, Wan Rosdy memenangi kerusi DUN Jelai dengan majoriti 3,507 selepas berjaya memperoleh 5,858 undi, manakala Dr Abdul Rasid dari PKR memperolehi 1,298 undi, Mat Nor Ayat (229 undi) dan Abdul Karim Mat Nor (2,351).

Di Perak pula, antara kerusi DUN bakal menjadi tumpuan ialah Kota Tampan di mana Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dicabar oleh dua calon iaitu Jamil Yahya (PN) dan Mohd Sabri Abdul Manaf (PH).

Turut mencuri tumpuan pengundi adalah kerusi ditandingi abang kepada pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias iaitu Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias Al-Hafiz yang bertanding di DUN Batu Kurau.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria pula berdepan saingan tiga penjuru bersama calon BN, Nazirul Jamaluddin dan Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar (PH) bagi mempertahankan kerusi DUN Gunung Semanggol, dalam PRU15 nanti.

Klik di sini untuk terus membaca