PENAMAAN calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) pada Sabtu, menyaksikan enjin 'kempen berasap' selama 14 hari sehingga hari pengundian pada 19 November ini.
Kenapa PRU15 penting? Adakah ia misi hidup atau mati calon dan parti untuk mendepani masa depan yang masih suram?
Beberapa insiden sebelum penamaan calon melihat beberapa perkara yang menuntut pembaharuan.
Hampir setiap parti ada isunya. Parti Barisan Nasional (BN) menyaksikan tokoh seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Halimah Mohamed Sadique, Datuk Seri Dr Adham Baba, Datuk Ahmad Nazlan Idris, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib, Datuk Mastura Mohd Yazid, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Azizah Mohd Dun, Datuk Zakaria Mohd Edris, Datuk Abd Rahim Bakri dan Yamani Musa digugurkan.
Sementara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bersara, manakala Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpindah dari Rembau ke Sungai Buloh dan Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di Rembau.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin muncul di Kota Tinggi, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad ke Simpang Renggam, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Seri Rohani Abdul Karim digugur dan Datuk Seri Nancy Shukri berpindah ke Santubong.
PKR pula melihat Maria Chin Abdullah, Datuk Johari Abdul, Chan Ming Kai dan Datin Tan Yee Kew digugurkan bersama Lee Boon Chye.
DAP tidak mencalonkan Sivarasa, Tian Chua, Kasthuri Patto dan Wong Tack mahupun Ong Kian Ming dan Tony Pua.
Ketiadaan Charles Santiago melihat perang media antara beliau dan Anthony Loke serta Govind Singh.
Adik Lim Guan Eng, Lim Hui Ying ke Parlimen Tanjong, manakala Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ke Batu Kawan.
Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dihantar ke Bagan Datuk berdepan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula ke Bandar Tun Razak. Datuk Husam Musa dan Nik Omar Nik Abdul Aziz pula bertanding atas tiket PKR walaupun milik Amanah.
Amanah memecat Pesuruhjaya Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi. Calon Pas bertanding atas tiket BN, calon BN Arau dan Padang Besar bertanding di bawah PN, Amanah di bawah PKR di Pasir Salak dan Pasir Mas.
Episod itu tidak berhenti tetapi berantai, macam perpindahan pemain bola sepak dalam politik.
Kemelut melanda parti baharu seperti Parti Bangsa Malaysia (PBM) apabila Datuk Seri Zuraida Kamaruddin dan Larry Sng, masing-masing menyatakan mereka Presiden, namun kini melakukan gencatan sementara.
Bersatu pula melihat Naib Presiden, Mohd Rafiq Naizamohideen keluar parti dan Timbalan Presiden, Ahmad Faizal Azumu berdepan calon bakal Perdana Menteri PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu Razali Ibrahim, Radzi Jidin bertembung dengan Tengku Adnan di Putrajaya.
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Che Abdullah Mat Nawi tidak dicalonkan Pas.
Gerakan Tanah Air pula secara berterusan mahukan kerjasama dengan PN dan PH namun tidak berjaya.
Tun Dr Mahathir Mohamad akan berhadapan dengan calon BN Armishah Siraj. Maka, 121 calon GTA bertanding manakala 169 calon bertanding di bawah PN dan 191 oleh BN.
Latar belakang ini memberi sebahagian gambaran bahawa ada yang tidak ada dalam bingkai pilihan raya.
Ada pula berdepan pertembungan yang menentukan masa depan karier masing-masing.
Nyata, calon diberikan perhatian mendalam oleh kesemua parti gabungan kali ini. Jika PRU ke-14 tertumpu pada isu secara komprehensif, hari ini sosok calon mengutamakan jenama dan pasaran diri sendiri.
Walaupun begitu, parti harus berhati-hati kerana ada sebahagian besar konstituensi yang masih terikat secara simbolik memangkah parti. Isu lokal mendominasi.
Andai kata, calon yang ditampil berwibawa, parti menggerakkan jentera ampuh dengan meminimumkan sabotaj dalaman, nescaya parti mampu melihat gabungan tiga serangkai (calon, jentera parti dan isu) sebagai penyuntik ke arah kesiapsiagaan menyeluruh.
Kalah menang adat, suburkan demokrasi dengan kesetiaan, muafakat serta khidmat, bukan khianat dan opportunis.
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca