SEINGAT Belalang yang mula mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10), inilah PRU yang paling penuh dengan warna-warni bagaikan pesta. Belalang tidak pernah melihat suasana meriah malah panas sepertimana yang kita semua dapat saksikan... Klik di sini untuk terus membaca

SEINGAT Belalang yang mula mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10), inilah PRU yang paling penuh dengan warna-warni bagaikan pesta.

Belalang tidak pernah melihat suasana meriah malah panas sepertimana yang kita semua dapat saksikan pada Sabtu, 5 November iaitu pada hari penamaan calon PRU15 yang berlangsung di seluruh negara.

Pada masa sama, Belalang juga tidak pernah melihat begitu ramai calon yang menawarkan diri.

Di Parlimen P115 Batu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairul Azmir Ahmad mengumumkan 10 nama yang disahkan bertanding.

Ini termasuklah bekas ahli Parlimen yang pernah mewakili kawasan itu, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua yang kali ini bertanding atas tiket Bebas. Sebelum ini beliau adalah wakil PKR.

Turut disahkan bersaing di situ ialah peguam hak asasi kontroversi, Siti Kasim yang juga bertanding atas tiket Bebas.

Penyandang kerusi Batu, P Prabakaran (Pakatan Harapan-PKR) yang pada PRU14 diberi laluan oleh Tian Chua kerana tidak boleh bertanding ekoran kes mahkamah, juga mencuba nasib sekali lagi.

Terdapat juga seorang calon glamor bernama Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra yang merupakan aktivis masyarakat juga telah menyerahkan borang pencalonan di Batu.

Lain daripada itu, boleh dikatakan semua parti utama turut meletakan calon mereka.

Tak cukup dengan 10 orang di Batu, di Ampang, sembilan calon menawarkan diri termasuklah penyandang Zuraida Kamaruddin yang bertanding atas tiket PBM walaupun beberapa hari lalu dikatakan disingkir daripada partinya sendiri. Ternyata cakap-cakap itu tidak benar, sebaliknya hanya gimik politik.

Di Ampang juga, dua orang artis terkenal tanah air iaitu Altimet dan Hans Isaac mencuri perhatian ramai apabila mereka mengiringi calon PKR, Rodziah Ismail ke pusat pencalonan selaku pencadang dan penyokong.

Selepas Ampang, Bangi mencatat rekod seterusnya sehingga terdapat lapan pencalonan. Antara nama yang menjadi sebutan ramai ialah ahli politik muda Syahredzan Johan yang mewakili DAP. Beliau adalah anak kepada tokoh wartawan negara, Tan Sri Johan Jaaffar dan pertama kali bertanding dalam PRU.

Di Sungai Buloh juga, bukan sahaja kemunculan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar menjadi tumpuan ramai tetapi tidak kurang enam lagi calon menawarkan diri.

Belalang pun turut pening memikirkan bagaimana SPR akan mencetak kertas undi nanti jika sehingga 10 nama tersenarai. Ada yang bergurau cakap satu kertas kajang pun tak cukup.

Bukan itu sahaja, para pengundi sendiri akan turut pening memikirkan siapakah calon yang sesuai untuk wakili mereka di Parlimen.

Dan akhir sekali Belalang tertanya-tanya, di sebalik meraikan demokrasi, berapa ramaikah nanti yang bakal hilang deposit.

Belalang - Bukan pencadang, bukan penyokong. Hanya pengundi....

Klik di sini untuk terus membaca