SEOUL - Baru-baru ini Korea Utara yang dipimpin oleh pemimpin muda, Kim Jong-un yang berusia 38 tahun melancarkan banyak ujian peluru berpandu sehingga ke Laut Jepun hingga mencetuskan kemarahan Korea Selatan, Jepun dan sekutu Barat, Amerika Syarikat (AS).
Namun, pada Rabu lalu, Pyongyang hampir melengkapkan ujiannya apabila melancarkan sekurang-kurangnya 23 ujian peluru berpandu dan salah sebuah daripadanya mendarat berhampiran perairan Korea Selatan dalam apa yang dikatakan oleh Presidennya, Yoon Suk-yeol sebagai satu bentuk 'pencerobohan wilayah'.
Tindakan Korea Utara melancarkan siri tembakan artileri ke kawasan zon penampan maritim juga menurut pakar adalah sebahagian daripada tindak balas agresif Pyongyang terhadap latihan udara bersama berskala besar Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan yang tamat baru-baru ini.
Bagaimanapun, sebuah peluru berpandu balistik jarak dekat yang dilancarkan melintasi Garisan Had Utara iaitu sempadan maritim 'de facto' telah mencetuskan amaran jarang berlaku dikeluarkan kepada penduduk di Pulau Ulleungdo, Korea Selatan supaya mencari perlindungan di kubu pertahanan.
Difahamkan, ia adalah kali pertama peluru berpandu Pyongyang dilaporkan mendarat begitu dekat dengan perairan wilayah selatan sejak Semenanjung Korea dibahagikan pada akhir permusuhan Perang Korea pada tahun 1953.
Dalam pada itu, usaha Korea Utara melancarkan ujian sebuah peluru berpandu balistik antara benua yang mampu bergerak sejauh 760 kilometer (km) dengan kelajuan 15 Mach pada Khamis, telah dianggap Korea Selatan sebagai pelancaran yang seakan menemui kegagalan.
Apakah yang telah mencetuskan rekod ujian senjata itu?Ujian peluru berpandu Korea Utara turut dilakukan seperti mana tentera Rusia masih menyerang Ukraine sejak 24 Februari lalu dan pencerobohan lebih tujuh bulan itu masih berterusan sehingga hari ini.
Penganalisis berkata, latihan ketenteraan AS dengan Korea Selatan yang berterusan adalah faktor utama yang mencetuskan amaran oleh Jong-un bahawa beliau sedang berusaha melakukan satu lagi ujian nuklear.
Latihan ketenteraan antara AS dengan Korea Selatan yang dikenali sebagai 'Vigilant Storm' itu adalah yang terbesar diadakan bermula pada 31 Oktober lalu dan sepatutnya berakhir pada Jumaat lalu tetapi disambung lagi pada Sabtu.
Ia melibatkan beberapa jet pejuang canggih Korea Selatan dan AS seperti F-35A dan F-35B dengan kedua-duanya adalah pesawat yang mampu mengelak dikesan radar.
Sebenarnya, Pyongyang mungkin mempunyai senjata nuklear tidak dimiliki oleh Korea Selatan tetapi tentera udara pimpinan Jong-un dianggap pasukan paling lemah dalam negaranya, kata penganalisis dan berkemungkinan tidak dapat menentang teknologi jet tempur yang tidak dapat dikesan oleh radar.
Lagipun jet tempur Korea Utara sudah ketinggalan zaman dan ia dilaporkan mempunyai bilangan pesawat pejuang canggih tetapi dalam jumlah yang kecil.
Sehubungan itu, apakah yang ditakuti oleh Jong-un yang mengantikan bapanya, Kim Jong-il yang meninggal dunia sebagai pemimpin Korea Utara pada tahun 2011?
Menurut pakar, jet yang tidak dapat dikesan oleh radar itu menyebabkan kebimbangan besar buat Jong-un.
Pada musim panas lalu terdapat laporan bahawa komando AS dan Korea Selatan sedang mengamalkan apa yang dipanggil serangan 'pemenggalan kepala' dengan hasrat mahu penyingkiran kepimpinan tertinggi Korea Utara dalam operasi ketenteraan sepantas kilat.
Pada tahun 2017, Menteri Pertahanan Korea Selatan itu, Song Young-moo pernah memberitahu di Seoul bahawa briged pasukan khas yang disifatkan sebagai unit 'pemenggalan kepala' akan ditubuhkan menjelang akhir tahun itu.
Unit itu berkeupayaan melakukan serbuan rentas sempadan dengan helikopter dan pesawat pengangkut yang mampu menembusi Korea Utara pada waktu malam.
Menurut seorang penyelidik di Institut Kajian Dasar Asan, Korea Selatan, Go Myong-hyun, pelancaran ujian peluru berpandu oleh Korea Utara itu adalah disebabkan latihan ketenteraan 'Vigilant Storm' dengan melibatkan jet yang tidak dapat dikesan oleh radar.
Pyongyang percaya jet-jet yang tidak dapat dikesan dengan radar itu akan digunakan dalam operasi 'pemenggalan kepala' itu, tambah Myong-hyun kepada AFP.
Pakar turut menyatakan bahawa tanda-tanda Jong-un berasa bimbang ialah terdapat semakan undang-undang nuklear Korea Utara dilakukan pada September lalu.
Undang-undang itu juga menyatakan bahawa pemimpin Korea Utara tersebut mempunyai kuasa tunggal ke atas sebarang keputusan untuk menggunakan senjata nuklear.
Peruntukan ini memberi isyarat bahawa Pyongyang bersedia untuk menggunakan senjata nuklear sekiranya berlaku apa yang dipanggil serangan 'pemenggalan kepala' tersebut.
Operasi 'pemenggalan kepala' itu telah disimulasikan oleh tentera Korea Selatan dan AS dalam latihan ketenteraan yang diadakan secara bersama baru-baru ini. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca