KESEMUA parti politik tanah air kini bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Penamaan calon telah berlangsung pada Sabtu. Pelbagai kempen dan janji sudah mula ditabur bagi meraih undi.
Strategi diatur bagi mendapatkan undi untuk menentukan siapakah yang akan memerintah negara untuk lima tahun akan datang.
Namun, terdapat juga segelintir yang menabur fitnah memburukkan pihak lawan agar pengundi membenci mereka. Politik sebegini yang sangat memualkan kerana ahli politik tidak berkempen atas kekuatan sendiri tetapi merekayasa pelbagai cerita memburukkan karakter lawan.
Pesta demokrasi kali ini dijangka meriah dengan pelbagai isu dibangkitkan. Malah, kemunculan parti dan blok politik baharu juga menampilkan pelbagai persoalan serta harapan yang didamba rakyat.
Disebabkan jemu dengan tindakan sebegitu dan persepsi buruk dilakarkan itu, muncul segelintir golongan khususnya orang muda yang sudah mula menzahirkan perasaan tidak mahu mengundi. Malah, jika mengundi sekalipun, mereka akan merosakkan undi mereka sebagai protes terhadap ahli politik.
Reaksi itu muncul kerana sebahagian pengundi sudah tidak tahu siapa yang mereka mahu undi lagi.
Perlembagaan Persekutuan menjamin hak warganegara untuk mengundi dan undi mereka adalah rahsia. Kali ini pelaksanaan undi 18 secara automatik dilakukan.
Bagaimanapun, mengundi di Malaysia tidaklah diwajibkan. Hak mengundi dijamin, begitu juga jika seorang warganegara tidak mahu mengundi atau mengundi rosak hak tersebut juga perlu dihormati selagi tiada undang-undang dibuat mewajibkan seseorang mengundi.
Oleh itu, jika pengundi tidak mahu pergi mengundi, tiada seorang pun yang boleh memaksa dia berbuat demikian. Apatah lagi, mahu mengambil sebarang tindakan terhadapnya.
Mungkin mereka memboikot pilihan raya dengan sebab mereka sendiri seperti keliru memilih pemimpin, tidak percaya sistem demokrasi atau apa-apa sebab lain. Walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka tetapi itulah pilihan mereka.
Persoalannya, adakah dengan tidak mengundi akan menyelesaikan kemelut masalah dihadapi? Walaupun sebahagian tidak mengundi namun pilihan raya tetap diadakan dan akan ada parti yang menang serta kalah.
Orang yang tidak mengundi dan tidak bertanding tidak akan langsung berpeluang menjadi kerajaan mentadbir negara dengan baik.
Dalam sistem demokrasi kita hari ini, hanya mereka yang bertanding dan menang sahaja yang boleh menjadi wakil rakyat memperjuangkan hak rakyat.
Sebagai seorang warganegara yang mempunyai latar belakang perundangan, saya melihat pilihan raya adalah medan untuk kita menzahirkan rasa dan ekspresi kepada parti politik, arah tuju negara yang kita mahukan.
Walaupun tidak semua undi kita akan berpihak kepada yang menang, namun ia akan memberi gambaran kepada masyarakat umum hala tuju negara.
Walaupun politik bukanlah segala-galanya tetapi ia sedikit sebanyak akan mengemudi bahtera negara semasa badai melanda.
Sebagai seorang Islam dan pengundi berdaftar, saya mahukan kerajaan yang menang pilihan raya kelak mempertahankan keluhuran perlembagaan dengan memartabatkan jati diri negara yang berpaksi kepada Islam Melayu dan Raja-Raja sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun, ia tidak bermakna orang bukan Islam dan bukan Melayu perlu didiskriminasi sehingga menzalimi mereka. Perlembagaan Persekutuan sendiri memberi jaminan hak yang sah golongan minoriti dijaga. Inilah resipi keamanan negara yang selama ini kita kecapi.
Berbalik kepada PRU15, saya menasihati agar semua pemain sama ada calon bertanding, parti politik, peraih undi atau pengundi sendiri agar bermuhasabah tidak terjerumus kepada fitnah memfitnah, label melabel serta mencerca dalam dalam bersaing mendapatkan undi.
Bersainglah dengan cara sihat. Biarlah pengundi mendapat manfaat daripada undian mereka dan hormatilah hak pengundi, dengan informasi yang betul bukan berdasarkan fitnah adu domba.
Selamat bertanding kepada semua calon, selamat berkempen dengan adab dan tertib kepada penyokong serta selamat mengundi kepada semua pengundi. Undi anda penting untuk negara!
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca