SEKALI lagi tiba musim 'berkalau-kalau' dan 'kebetulan'. Pilihan raya umum menjadikan 'kalau' sebagai kata kunci wajib. Semua parti dan calon yang bertanding akan 'berkalau'. Contohnya, Perdana... Klik di sini untuk terus membaca

SEKALI lagi tiba musim 'berkalau-kalau' dan 'kebetulan'. Pilihan raya umum menjadikan 'kalau' sebagai kata kunci wajib.

Semua parti dan calon yang bertanding akan 'berkalau'. Contohnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kata, kalau Barisan Nasional (BN) menang, setiap keluarga di seluruh negara dapat memiliki rumah sendiri selaras dengan aspirasi 'Satu Keluarga Satu Rumah'.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pecah tanah Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas, Kepala Batas Youth Centre (KBYC) dan Masjid Bandar Putra Bertam pada 2 November.

Hebat dan luar biasa janji bersyarat tersebut. Jika ikrar itu logik dan terlaksana, Malaysia akan menjadi negara nombor satu di dunia dari segi pemilikan rumah.

Ia akan meletakkan Malaysia di atas Romania yang mempunyai kadar pemilikan tertinggi iaitu 96.42 peratus, diikuti Singapura (90.83 peratus), Slovakia (90.34 peratus), Cuba (90 peratus), Croatia (89.76 peratus), Lithuania (89.47 peratus), India (86.68 peratus), Hungary (86.39 peratus), Rusia (84 peratus) dan Poland (83.5 peratus).

Jika ikut anggaran Institut Kajian Khazanah, hendak capai matlamat itu tidaklah semudah membuat janji pilihan raya kerana kadar pemilikan rumah di Malaysia baru 72.5 peratus.

Buat masa ini, yang lebih mendesak adalah memastikan keluarga yang sudah ada rumah sendiri tidak kehilangan rumah mereka akibat kos pinjaman semakin meningkat berikut tindakan Bank Negara menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) dan bank-bank komersial menaikkan kadar faedah pinjam.

Pada Khamis lalu, Bank Negara menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus. Ia kali keempat sejak Mei lalu.

Susulan tindakan Bank Negara itu, bank-bank komersial dan perbankan Islam menaikkan kadar faedah pinjaman mereka.

Malayan Banking Bhd (Maybank) misalnya, akan menaikkan kadar asas faedah pinjaman (BLR) daripada 6.15 peratus setahun kepada 6.40 peratus berkuat kuasa 7 November ini.

Selain kenaikan faedah pinjaman perumahan dan pinjaman-pinjaman lain, banyak pemilik rumah, khususnya di kawasan bandar ditekan oleh bayaran sampingan seperti cukai taksiran, caj penyelenggaraan dan keselamatan.

Tidak peliklah jika semakin ramai pemilik rumah dan hartanah yang gagal atau terlambat membayar ansuran hutang bank sehingga harta mereka dilelong.

Kalau pun Bank Negara dan bank-bank komersial tidak peduli terhadap kesan buruk kenaikan sistemik kadar faedah pinjaman, kerajaan khususnya Kementerian Kewangan tidaklah boleh bersikap lepas tangan.

Atau Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terlalu sibuk dengan usaha hendak menang pilihan raya?

Serentak dengan Perdana Menteri 'berkalau-kalau' mengenai pemilikan rumah, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pula mengumumkan kadar baharu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) murid dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung dan daripada RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa hari ini.

Tentunya banyak lagi janji bersyarat akan dibuat oleh parti dan calon yang bertanding, khususnya mengenai perkara-perkara asing kepada orang ramai.

Malah, sampai butir peribadi seperti pendidikan dan kerjaya pun ada calon yang cuba berbohong atau berdolak-dalik. Kalau ketika menjadi calon pun mereka tidak bercakap benar, bayangkan apa yang akan mereka lakukan apabila menjadi Yang Berhormat?

Kesimpulannya, janganlah ditelan bulat-bulat janji dan ikrar pilihan raya. Tengok rekod parti dan dalami latar belakang calon.

Yang tahu, kongsilah maklumat dengan yang tidak tahu melalui media sosial. Kita selamatkan kita demi Malaysia.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca