PADA Sabtu, telah berlangsung proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di 222 kerusi Parlimen. Pada 19 November ini, lebih 21 juta pengundi akan memilih 222 orang ahli Dewan Rakyat yang sekali gus akan menentukan hala... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Sabtu, telah berlangsung proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di 222 kerusi Parlimen.

Pada 19 November ini, lebih 21 juta pengundi akan memilih 222 orang ahli Dewan Rakyat yang sekali gus akan menentukan hala tuju pentadbiran negara.

Sudah tentu PRU15 antara paling sengit. Ini kali pertama negara mempunyai tiga konsortium politik besar yang mampu menawarkan tiga calon Perdana Menteri dengan kekuatan signifikan.

Barisan Nasional (BN), konsortium politik tertua negara menawarkan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi penggal ke-15 nanti.

Pakatan Harapan (PH) menawarkan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala pesaing baharu yang tidak kurang kuat ialah Perikatan Nasional (PN), menawarkan bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sudah tentu memasuki PRU sebagai Perdana Menteri memberi kelebihan kepada Ismail Sabri, berbanding Anwar dan Muhyiddin.

Menerajui pemulihan negara akibat pandemik Covid-19, musibah banjir terburuk dan kelesuan ekonomi, Ismail Sabri dilihat taruhan terbaik untuk menerajui negara berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia pada tahun depan.

Indikator-indikator ekonomi makro seperti pertumbuhan ekonomi, pelaburan langsung asing dan nilai perbelanjaan runcit rakyat menunjukkan peningkatan ketara sejak setahun lalu.

Bagaimanapun, BN yang diwakili Ismail Sabri berdepan krisis kepercayaan rakyat. Keputusan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan kes mahkamah untuk terus bertanding menimbulkan keraguan pengundi mengenai calon Perdana Menteri sebenar pasca PRU15.

Kekecohan pemilihan calon dengan pengguguran ramai menteri dan timbalan menteri yang dikatakan sekutu Ismail Sabri telah menimbulkan lagi keraguan terhadap kedudukan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri BN.

BN mungkin perlu melakukan sesuatu untuk meyakinkan pengundi, misalnya menonjolkan Ismail Sabri sebagai pemimpin utama kempen sepanjang tempoh PRU15.

Walaupun PN baru ditubuhkan, namun konsortium politik itu mempunyai barisan berpengalaman mentadbir negara dan kekuatan jentera ditunjangi oleh Pas.

Muhyiddin menjadi sasaran kritikan keras beberapa fraksi politik ketika zaman pandemik dan kegawatan politik. Namun, sebahagian rakyat akan mengenang beliau sebagai antara tokoh memimpin negara semasa zaman sukar dan terpaksa membuat keputusan tidak popular untuk menyelamatkan nyawa rakyat.

Berdepan ketidakstabilan politik, Muhyiddin memilih mengundur diri dan menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Di sebalik pelbagai serangan daripada UMNO dan pembangkang, Muhyiddin memilih mendiamkan diri serta menyusun parti baharunya.

Berpengalaman sebagai menteri kabinet selama puluhan tahun dan Perdana Menteri ketika pandemik, Muhyiddin bukan sekadar calon melukut di tepi gantang.

Bagi Anwar pula, ini kali kedua gabungan PKR dan DAP menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri. Kali pertama bersama Pas, Anwar menerajui konsortium politik Pakatan Rakyat mencabar BN yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setelah dipenjara atas kes liwat, Anwar kini kembali menerajui konsortium politik hampir sama, namun berubah nama.

Bagi pengundi muda, nama Anwar sekadar mitos yang tidak pernah menunjukkan sebarang kejayaan besar. Pengikut-pengikutnya masih melontarkan pengalaman berdekad lamanya Anwar dalam kerajaan. Namun, Anwar sudah lebih 25 tahun tidak berada dalam kerajaan selepas dipecat pada 1998.

Anwar yang diuar-uarkan sebagai pernah menjadi Menteri Kewangan Terbaik Asia, adalah juga orang yang gagal menguruskan ekonomi negara dalam krisis kewangan Asia pada 1997-1998.

Rakyat telah melihat bagaimana tokoh pemodenan dan bapa pembangunan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad juga bergelut mengurus negara setelah hampir 20 tahun meninggalkan pentadbiran kerajaan.

Selama 22 bulan pentadbiran kali kedua Dr Mahathir penuh dengan ketidaktentuan ekonomi dan politik sehingga akhirnya beliau sendiri terpaksa meletak jawatan.

Kini pilihan terletak di tangan lebih 21 juta orang pengundi, sama ada anda mahu mengambil satu lagi langkah berisiko seperti PRU14 atau mengekalkan momentum sedia ada bagi berdepan kemungkinan kemelut ekonomi pada 2023.

*Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca